Dikuasakan oleh Blogger.

About Me

Foto Saya
ipoh, perak
X KAGAT....?.

SMS ampang ipoh 24 /6/ 11

gif webcam

DI SMA Chemor 13/5/12

pictures to gif

Di SMA Chemor

animated gif maker

Guru Pendidikan Islam Ulu Kinta Jun 13

http://picasion.com/i/1VkmT/

17 Ogo 2012

KHUTBAH IDULFITRI: di masjid Tongplu pedu


Di pagi hari yang mulia dan penuh berkat ini, marilah sama-sama kita perbanyakkan rasa syukur dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Ketakwaan yang bersungguh-sungguh sehingga membawa kita kepada rasa bertanggungjawab untuk  kita mentaati segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya, mudah-mudahan kita dikasihi Allah, mendapat perlindungan-Nya di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “SERUAN AL-BARZAKH”.

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat  yang dirahmati Allah,

Kini berakhirlah bulan Ramadhan yang kita hayatinya selama sebulan. Pemergiannya amat terasa oleh sesiapa sahaja dari kalangan kita yang berpeluang mendapat sentuhan barakahnya yang tersimpan rapi di antara malam dan siang melalui siyam dan qiyam. Pemergian Ramadhan banyak menjana pengajaran  dan iktibar yang sungguh bermakna sebagai persiapan dan bekalan bagi menjalani kehidupan selepas Ramadhan. Apa yang kita perolehi dari Ramadhan adalah bingkisan pahala bersekala besar yang di janjikan Allah SWT sebagai  bonus lumayan yang merupakan rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka. Firman Allah SWT di dalam surah Ali- Imran ayat 185:
Maksudnya: “ Maka sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang memperdayakan”.

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Pada hari ini, dengan kedatangan 1 Syawal adalah saat umat Islam di seluruh dunia dari pelbagai bangsa dan peringkat umur, bersama-sama melafazkan takbir, tahmid, dan tasbih sebagai tanda mengagungkan kebesaran Allah SWT, tanda kejayaan mendidik nafsu dan menginsafi bulan Ramadhan yang berkat ini telah meninggalkan kita dan tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana berkesempatan merayakan Idulfitri pada hari ini serta tanda perpaduan antara kita sebagai umat yang berasaskan kepada akidah yang sama. 
        Gema takbir dengan memuji Allah SWT ini menggegarkan  jiwa, perasaan, fikiran dan memberi keinsafan kepada kita kerana sambutan Idulfitri yang ditetapkan oleh agama kita dimulai dengan mentauhidkan Allah SWT. Mimbar berharap sambutan di seluruh negara pada hari ini dipenuhi dengan amalan-amalan yang sihat, tidak bercanggah dengan ajaran Islam, tidak menghina Islam dan tidak mencemarkan keberkatan Ramadhan yang baru saja berlalu dan Syawal yang mulia ini. Idulfitri bererti merayakan kemenangan kerana menundukkan hawa nafsu dan membolehkan  kita kembali kepada jati diri sebagai hamba Allah SWT yang bertakwa, hamba Allah SWT yang cintakan keamanan dan keharmonian.
Kemuncaknya maka pada saat dan di pagi yang syahdu ini, kita berkumpul di rumah Allah bagi menunaikan solat Idulfitri. Dalam detik sebeginilah kita merasa begitu teruja kerana dapat bersama-sama dan menjalinkan tautan kasih antara kita dalam pelbagai golongan samada fakir, miskin, anak-anak yatim dan golongan yang lemah.
 Justeru itu, cuba tuan-tuan dan puan sekelian perhatiankan disebelah kiri dan kanan, depan dan belakang tuan sekelian, siapakah yang tidak bersama-sama dengan kita pada pagi ini, sedangkan pada raya aidil fitri tahun lepas, mereka solat, bertakbir, solat terawikh bersama-sama dengan tuan. Kemana mereka pergi pada pagi ini. Mereka telah pergi buat selama-lamanya mengadap allah snw dan mereka tidak akan kembali kedunia ini lagi. Persoalannya sekarang ialah adakah kita boleh sampai ke ramadhan tahun hadapan. adakah kita boleh sampai ke ramadhan tahun hadapan.

Sebagai seorang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadith, kita mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati adalah peringkat kewujudan yang wajib dilalui oleh semua manusia. Dalam peringkat kehidupan kita di dunia, jarang umur manusia melebihi 100 tahun tetapi puratanya  mencapai umur antara 60 hingga 80 tahun . Umur pendek atau panjang tidak menjadi persoalan kerana akhirnya manusia pasti mati. Bagaimana sihat seseorang, bagaimana megah kuasa dan kayanya, namun manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah para Nabi, Rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan tuhan, bahkan manusia yang menjadi kekasih Allah SWT pun tidak dapat lari dari kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di padang Mahsyar.  Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 78:
Yang bermaksud: Di mana sahaja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat.

        Malaikat maut telah menghantar beberapa seruan dan perutusan kepada manusia. Contohnya tumbohnya uban, pandangan mulai kabur kerana rabon, kulit yang beransur kendor, sengal-sengal pada sendi, sakit-sakit disana sini dan sebagainya.
Seruan malaikat maut itu seolah-olah berbunyi” wahai manusia yang berusia 40 tahun, inilah masanya untuk kamu mencari bekal akhirat kerana tubuh badan mu tengah kuat dan gagah, hati dan fikiran waras dan tidak nyanyok.
Manusia pada umur 20 tahun hingga 30tahun tidak begitu menghiraukan seruan kerana mereka mungkin sedang mabuk remaja, namun kepada golongan remaja itu malaikat maut tetap mengingatkan mereka bahawa banyak buah-buah masih muda juga gugur.kepada manusia yang berumur 50 dan 60 tahun malaikat maut hanya menunggu arahan dari allah sahaja untuk berkunjung tiba bila tiba masanya.

Setiap manusia pasti mati kerana mati bermakna manusia kembali kepada asal kejadiannya. Ia berasal dari tanah, maka pastilah ia akan kembali menjadi tanah agar menjadi peringatan kepada manusia. Persoalan mati adalah suatu kejadian yang paling hebat, suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan. Bila seseorang manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri manusia kerana jasadnya menjadi hancur lebur kembali menjadi tanah dan roh telah keluar dari badan manusia. Rohlah yang menyebabkan kita hidup, boleh mendengar, melihat, berakal, merasai dan berfikir.

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat  yang dirahmati Allah,

Menurut kamus Mukhtar al-Shahhah (مختار الصحاح) oleh Abu Bakr al-Razi, Barzakh bermaksud   dinding pembatas antara dua benda.  Berdasarkan iktikad al-Sunnah wa al-Jama'ah, setiap manusia akan berada di dalam satu alam yang dinamakan alam Barzakh. Ia terletak di antara alam dunia dan alam akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati sehingga dibangkitkan. Alam Barzakh juga tempat permulaan manusia di hukum segala amalannya di dunia.
Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran siksaan kubur di alam barzakh. Sebaik sahaja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengkebumikan dan dalam perjalanan pulang ke rumah maka dalam suasana yang gelap gelita dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir datang menghampiri dan mendudukkan jenazah. Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal soleh serta ketakwaan yang unggul maka alam barzakh adalah suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah SWT, maka alam barzakh adalah episod ngeri yang dipenuhi gelombang azab sengsara hingga datangnya hari kiamat. Mereka berkeadaan seperti orang yang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan.

 
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras).” (Riwayat al-Tirmizi).
Sahabat Nabi bernama Ubaid bin Umair al-Laitsi pernah berkata, “ setiap mayat yang hendak meninggal, pasti liang lahad di mana mayat itu di kubur akan memanggilnya, “Akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sendiri. Jika waktu hidupmu kau taat kepada Allah SWT maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu. Jika kau derhaka, maka hari ini aku akan menjadi seksa bagimu. Siapa memasukinya dengan taat, akan keluar dengan bahagia. Dan sesiapa masuk dengan derhaka, dia akan keluar dengan penuh penyesalan.”

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat  yang dirahmati Allah,
Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang akan berakhir di alam kubur. Seorang ulama al-Rifa’i pernah berkata: “ Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali alam kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali buat selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan, dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dahulu lidahnya fasih bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dahulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.” Khalifah Umar bin Abdul Aziz pula pernah berkata kepada beberapa orang rakannya di dalam satu majlis, “Wahai fulan, engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir tentang alam kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu keadaan sebenarnya dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya .”

Ketika khalifah Umar mengiringi jenazah sahabatnya lalu kubur memanggilnya dan bertanya, “ Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukah aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan terhadap jenazah yang kau cintai ini? Ya jawab Umar. Kubur itu menjawab: Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya. Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Tentu jawab Umar. Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, Peha dari lututnya.aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya. Khalifah Umar menangis dan berkata.” Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Yang muda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati. Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku dan bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang diturunkan oleh tuhanku.

Mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa pada akhir zaman ini, semakin kurang atau amat sedikit dari kalangan manusia yang bercakap tentang kematian, alam berzakh dan Mahsyar, kerana manusia sedang sibuk dengan pembangunan kerjaya, kemewahan dan kelazatan kehidupan dunia serta hiburan. Akhirnya mereka terkejut besar apabila malaikat Izrael datang dengan mencabut nyawanya. Saididna Ali RA pernah berkata, bahawa manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara mendadak”.
Kesibukan mencari keseronokan dan kelazatan dunia merupakan penyumbang terbesar kelalaian manusia mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian. Sebagai contoh mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti penagihan dadah, arak,  pengamal seks bebas sanggup melakukan apa saja termasuk mengambil ubat-ubat jalanan yang mengandungi dadah dan bahan-bahan terlarang bagi menambah lagi nikmat keseronokan. Perbuatan ini seolah-olah mengali lubang kubur sendiri. Mereka ini akan menanggung siksaan hidup dengan penyakit-penyakit kronik yang akhirnya membawa kepada kehancuran dan kematian. Justeru mimbar menyeru kepada jemaah sekalian insaflah dan sedarlah tentang kehidupan yang sebenarnya dan jangan kita lalai dari mengingati kematian kerana ianya akan menambah lagi ketakwaan kita kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud: Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian  (Riwayat Muslim)

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat  yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada pagi ini, mimbar menyeru insaflah dan sedarlah bahawa kematian merupakan perjalanan hidup yang tidak akan kembali  lagi ke dunia yang fana ini. Kita sering bercakap tentang kematian rakan dan sahabat kita yang telah kembali menyahut seruan Ilahi. Bagaimanapun sayang sekali apakah kematian rakan-rakan kita itu telah menimbulkan keinsafan dan kesedaran untuk kita membuat persiapan serta menyediakan bekalan yang mencukupi menghadapi kematian yang pasti itu. Ingatlah dan sedarlah bahawa alam barzakh sentiasa menanti-nanti kehadiran kita dan sentiasa membuka pintunya untuk kita. Tidak kira di mana kita berada atau bila masanya kematian pasti mendatangi dan menjemput diri kita, cuma persoalannya adakah kita sudah bersedia menghadapi kematian ini. Sebagai renungan marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT surah al-Jumu’ah ayat 8:
Maksudnya : Katakanlah: Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).



Sidang Jemaah muslimin dan muslimat  yang dirahmati Allah,
Ketika kita sedang bergembira menyambut Idulfitri ini, kita perlu insaf dan sedar bahawa terdapat saudara mara, kaum kerabat, jiran, sahabat-kenalan dan saudara seagama kita yang menyambut Idulfitri dalam keadaan sukar, bersendirian, daif dan sebagainya. Mereka ini terdiri daripada orang miskin, anak-anak yang terbiar dan mereka yang berada  di pusat-pusat Serenti, Penjara,  rumah orang tua, rumah anak yatim, rumah kebajikan dan sebagainya. Justeru, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menghidupkan suasana Idulfitri ini dengan amalan ziarah-menziarahi, kunjung mengunjungi dan menghubungkan silaturahim terutama sekali terhadap kedua ibu bapa kita dengan memohon kemaafan atas kesalahan, perbuatan zalim dan perbuatan dosa yang telah dilakukan samada yang disedari ataupun yang tidak disedari. Dengan demikian jiwa kita dapat merasai ketenangan,kebahagiaan yang sejati. Sabda rasulullah SAW:

Bermaksud: Tiga perkara adalah diantara budi pekerti yang mulia disisi Allah SWT; Hendaklah engkau memaafkan orang yang telah menganiaya dirimu. Hendaklah engkau menolong orang yang telah memutuskan pemberiannya kepadamu. Hendaklah engkau menghubungkan dengan orang yang telah memutuskan perhubungan denganmu.” (Riwayat al-Khattib)



KHUTBAH KEDUA IDULFITRI

Marilah pada hari yang penuh bahagia  ini kita melafazkan rasa kesyukuran di atas nikmat Iman dan Islam yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sesungguhnya Idulfitri  yang disyariatkan oleh Islam adalah untuk memperbaharui kehidupan kita sebagaimana yang digariskan bagi orang yang beriman dengannya, iaitu kehidupan persaudaraan, kesatuan dan kekuatan menghadapi musuh. Merayakan Idulfitri ialah merayakan hari kemenangan dalam jihad nafsu ketika melakukan ibadah puasa di bulan Ramadhan dan berjaya melaksanakannya dengan sempurna. Justeru jihad melawan hawa nafsu ini perlulah diteruskan pula di bulan Syawal ini dengan melakukan puasa enam yang mana pahalanya menyamai dengan puasa sepanjang tahun. Puasa ini boleh dilakukan berturut-turut atau berselang. Sabda Rasulullah  SAW dalam hadithnya:

Maksudnya:“barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, dan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun”.(Riwayat Muslim)

Idulfitri juga hari perdamaian kerana pada hari ini dinyatakan perdamaian hidup dalam rumah tangga, hubungan kaum kerabat dan sanak saudara. Seluruh umat Islam sama ada dalam lingkungan desa mahupun kota, wajah berseri-seri, hati riang ria, tangan bersalam-salaman mengucapkan salam Idulfitri serta ampun dan maaf sebagai  tanda keakraban dan silaturrahim.
Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,

Mimbar mengingatkan sekali lagi bahawa  perpaduan asas keutuhan Idulfitri. Melalui zakat fitrah dan zakat harta yang telah kita bayar di bulan Ramadhan telah memberi kecerian dan keriangan kepada golongan fakir miskin untuk sama-sama menyambut hari kemenangan ini. Keberkatan Ramadhan juga mengingatkan kita bahawa perpaduan  yang ditetapkan Islam adalah melangkaui sempadan negara dan benua. Umat Islam di mana mereka berada adalah sama, kita sama dari segi makan minum, kita sama dari segi peraturan,  halal dan haram  dan kita  juga sama dari sudut akidah. Namun kehidupan umat Islam hanya teristimewa dengan iman  kepada Allah SWT. Kita perlu insaf terdapat saudara-saudara kita di luar negara hidup dalam keadaan sukar sepanjang hayat, membesar dalam keadaan perang, generasi silih berganti  terus hidup menderita terutama saudara kita di Palestin, pelarian muslim Rohingya dan lain-lain umat Islam yang sedang mengalami musibah.
Berdasarkan pemerhatian mimbar terdapat umat Islam yang menjadi penduduk minoriti di beberapa buah negara terutama di rantau ini juga menghadapi keperitan hidup. Mimbar ingin menarik perhatian jemaah sekalian cuba bayangkan bagaimana umat Islam di negara yang mengalami peperangan dan kehidupan yang  sukar menjalani puasa dan sambutan Idulfitri. Selari dengan dasar perpaduan, maka mimbar pada hari ini, menyeru marilah kita bersama-sama membantu saudara seagama yang hidup daif dan menderita. Keberkatan Ramadhan mengingatkan kita supaya mengulurkan bantuan yang diadakan dari masa kesemasa melalui masjid-masjid, akhbar-akhbar dan sebagainya, mudah-mudahan rezeki kita ditambah, umur dipanjangkan Allah SWT dan kasih sayang di kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.
Sidang Jemaah Yang di Rahmati Allah,

Pada hari ini marilah kita memperbanyakkan ucapan salawat dan salam ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW kerana telah menyampaikan Islam kepada kita melalui berbagai bentuk pengorbanan dan jihad. Tanda kasih kita kepada Baginda hendaklah dirakamkan dalam bentuk ucapan selawat dan salam sebagaimana Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahzab ayat 56:
Bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

sesiapa pun boleh copy untuk khotbah

Masjid Solatiah GR

http://picasion.com