Dikuasakan oleh Blogger.

About Me

Foto Saya
ipoh, perak
X KAGAT....?.

SMS ampang ipoh 24 /6/ 11

gif webcam

DI SMA Chemor 13/5/12

pictures to gif

Di SMA Chemor

animated gif maker

Guru Pendidikan Islam Ulu Kinta Jun 13

http://picasion.com/i/1VkmT/

29 Sep 2010

IBADAH MENGHIDUPKAN JIWA INSAN


Sesungguhnya kehidupan paling bernilai bagi seorang insan bermula dari saat dilantunkan taubat, dijatuhkan butir air mata dan diperah segenap perasaan yang mengaku berdosa. Taubat bukan hanya hak milik sesetengah mereka yang berdosa, kotor dan jelik pada pandangan manusia. Taubat juga amalan nabi dan rasul, orang salih serta pejuang ilmu yang mengamalkan agamanya dengan segenap pengorbanan. Baginda SAW mengajar umatnya sentiasa berasa diri hina di hadapan Allah walaupun selepas berada pada kemuncak amal yang paling ikhlas.
Sehingga tidaklah lahir pada jiwa orang yang beramal itu rasa suci dan hebat berbanding orang lain. Betapa ramainya orang terseleweng selepas melakukan amal salih, iaitu apabila menganggap diri sempurna dan memandang rendah pada orang lain.
Belitan iblis terlalu halus, ia datang tanpa disedari orang beramal. Untuk itu, Baginda SAW mendidik sahabat supaya membiasakan diri melafazkan istighfar selesai saja mengerjakan sembahyang dan amal salih yang mungkin dicemari riak.
Istighfar yang memerlukan istighfar lainnya, begitulah hakikat apabila berada pada kemuncak ilmu dan amal. Semakin tinggi ilmu dan makrifah seorang hamba kepada Allah semakin jatuh hatinya rebah ke tanah, mengaku tidak mampu memikul amanah dan menyesal atas setiap detik berlalu dalam keadaan bermaksiat kepada Allah dan menganiaya manusia.
Alangkah peliknya, hamba yang tidak mengambil berat mengenai istighfar. Mengapa? Apakah kerana amalnya sudah cukup untuk menghapus kejahatannya, atau hatinya sudah mencapai tahap keikhlasan yang murni? Apakah ilmu yang dimiliki mampu mendekatkan dirinya kepada Allah? Apakah sudah lahir akhlak mulia di mata manusia sehingga kedudukannya bagaikan permata berkilauan di tengah-tengah mereka?
Sedangkan Nabi SAW dan sahabat yang sudah berada pada tahap ketinggian dan kemuliaan di sisi Allah menyediakan masa, membuat pengakuan taubat pada penghujung malam pada waktu sahur. Tidakkah hamba lalai dan sedikit ilmu itu lebih memerlukan taubat untuk menghidupkan kembali jiwa mereka? Sesungguhnya Rasulullah SAW berdoa dalam sembahyang malam dengan lafaz yang bermaksud: “Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang malampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada pada diriku.” Imam Al-Bukhari dan Muslim)
Jika kekasih Allah masih menganggap dirinya berdosa, mengapa manusia biasa tidak sudi mengaku hina? Sesungguhnya tangisan taubat umpama air hujan yang menyuburkan tanah, menghasilkan rimbun daun dan lebatnya buah. Ia menghidupkan jiwa insan yang hampir mati, menggetarkan hati beku oleh maksiat dan membuka jalan bagi mengenali Tuhan.
Oleh itu, hanya yang pernah merasai kemanisan taubat memahami hakikat ini.
Mereka tidak pernah jemu membuat pengakuan dalam hati dan lisan setiap kali melakukan suatu perbuatan, mengharap Allah mengampuni apa yang tersilap secara disedari atau tidak. Kemanisan taubat bukan hanya dapat dirasai dalam hati tetapi ia janji Allah bagi mereka yang menepati.
Begitulah khabar daripada al-Quran dan sunnah mengenai keutamaan taubat. Ada tiga kesenangan yang layak dimiliki pencinta taubat.
Pertama: dikurniakan kenikmatan berpanjangan. 
Kedua: terhindar daripada pelbagai musibah.
ketiga:  menjadi penghapus dosa. 
Adapun dalilnya disebut dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menjadi cahaya bagi orang mencari jalan keselamatan. Nabi Hud menyeru umatnya untuk kembali kepada Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (secara terus menerus) kepada kamu.” (Surah Hud: 3)
Begitu juga Nabi Nuh yang bersabar selama 950 tahun menasihati umat supaya bertaubat. Al-Quran merakamkan kenyataan Nabi Nuh dengan janji yang turun daripada Allah yang bermaksud: “Maka aku (Nuh) katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan memperbanyakkan harta dan anak-anak kamu, mengadakan kebun-kebun dan sungai-sungai untuk kamu.” ( Nuh  10-12)
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengulas mengenai nikmat dikurniakan Allah kepada orang yang bertaubat, bahawa kenikmatan itu mencakupi jasmani dan rohaninya. Kerana ramai orang yang nampak saja bahagia dengan harta benda tetapi menderita jiwa dan rohaninya.
Sedangkan Allah tidak sesekali menurunkan kesusahan, kecemasan dan penderitaan kepada orang yang mencintai taubat dengan rezeki menggembirakan hati. Oleh itu, sesiapa merasai kesedihan dan suka merungut dengan pemberian Allah hendaklah memperbaharui taubatnya. Boleh jadi tiada keberkatan dalam rezekinya disebabkan dia meninggalkan taubat. Yang kedua, taubat menjadi benteng melindungi seorang hamba daripada musibah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah tidak sesekali mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah pula Allah akan mengazab mereka sedang mereka meminta ampun.” ( Al-Anfal, ayat 33)
Sesungguhnya ada dua jenis musibah dalam kehidupan manusia iaitu musibah yang memberi pengajaran semata-mata untuk mempertingkatkan keimanannya kepada Allah, berlaku kepada orang Islam dan musibah berupa azab yang menutup peluang serta merta kepada orang kafir yang dilaknat.
Walau bagaimanapun, musibah tetap menjadi suatu kenyataan menakutkan bagi orang mukmin dan mereka disuruh berlindung kepada Allah daripada sebarang mudarat yang boleh membahayakan iman. Hakikatnya, musibah paling dahsyat bagi orang mukmin adalah terhalangnya diri daripada merasai kenikmatan bermunajat kepada Allah. Hal ini pernah diungkapkan melalui luahan jiwa seorang pendeta bani Israil seperti mana disebut dalam kitab Shaydul Khatir.
Ibnul Qayyim mengungkapnya: “Pendeta bani Israil itu berkata: Wahai Tuhanku, betapa aku sering melakukan maksiat kepada-Mu, tetapi mengapa tak kunjung datang azab-Mu menimpa diriku? Didatangkan ilham kepadanya melalui ilmunya: Alangkah besarnya azab Allah kepadamu, tetapi engkau tidak mengetahui hakikatnya. Tidakkah engkau berasa dirimu dihalangi daripada merasai kemanisan beribadat kepada-Nya?”
Untuk itu benteng bagi orang beriman adalah taubat kerana dengan istighfar sesukar apapun musibah yang ditelan ia tidak akan menjejaskan agamanya dan hatinya pun sentiasa diliputi kemanisan iman. Ia adalah janji dan pertolongan Allah kepada pencinta taubat.
Keutamaan taubat yang terakhir, ia menjadi penghapus dosa dan pembuka pintu syurga seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun atas dosa mereka dan siapakah lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan Allah dan syurga yang mengalir di dalamnya sungai dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal.” ( Ali Imran, ayat 135-136)
Sesungguhnya sesiapa yang mencari kasih sayang Allah, carilah ia dengan taubat, sesiapa yang menjual dunia untuk mendapatkan akhirat janganlah lupakan taubat, kerana walaupun amal soleh berjaya dikumpulkan tidak mustahil dicemari hasutan syaitan.
Tangisilah dirimu, biarkan syaitan berputus asa. Hakikatnya, tangisanmu itu membuat syaitan menangis juga. Seperti mana dia menangis melihat seorang hamba bersujud kepada Allah, sedangkan dia dulu tidak mahu bersujud.
Renung-renungkan!

28 Sep 2010

ADAB BERJIRAN


TIDAK dinafikan kedudukan jiran dalam kehidupan seseorang Muslim sangat penting, tidak boleh diabaikan begitu saja malah perlu dijaga hubungan yang baik secara berterusan dengan penuh keikhlasan. Ini kerana jiran adalah orang yang paling dekat dengan kita dan dianggap orang yang boleh diharapkan terutama pada saat memerlukan pertolongan atau bantuan. Sekiranya kita dalam kecemasan dan saat sangat terdesak, maka sudah tentu jiran orang paling awal tempat kita mengadu hal.
Namun hal ini tidak mungkin terjadi sekiranya kita tidak menjaga hubungan baik dengan mereka. Lantaran itulah, Islam menyuruh kita supaya selalu berbuat baik terhadap jiran sebagaimana dapat difahami dari Surah An-Nisa ayat 36 yang bermaksud, “…dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.”
Tentu ada di kalangan kita masih keliru mengenai had lingkungan jiran? Menurut ulama, had lingkungan jiran itu ialah orang yang dapat mendengar azan yang sama dalam satu kawasan (tanpa pembesar suara). Namun pendapat yang masyhur ialah yang pernah diriwayatkan oleh ‘Aisyah bahawa had lingkungannya 40 rumah dari segenap penjuru. Kalau kita renungi dalam kehidupan sekarang terutama di kota besar, apakah semangat berjiran itu masih diamalkan? Apakah kita kenal siapakah jiran sebelah? Bagi orang Islam yang benar-benar menghayati segala tuntutan Islam sudah tentu tidak timbul sedikitpun persoalan demikian. Ini kerana walau di mana tempat tinggal akan selalu bergaul mesra, berbuat baik serta menghormati jiran tanpa mengira darjat, bangsa dan agama. Inilah bukti keimanan seseorang sebagaimana dijelaskan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW iaitu, “Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan jirannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Pergaulan serta perhubungan yang baik dengan jiran akan membuahkan kehidupan harmoni serta sejahtera. Lebih daripada itu, akan tampak perpaduan dalam masyarakat. Bagi melahirkan suasana itu, maka seseorang perlu tahu dan amalkan adab dalam kehidupan berjiran. Tanggungjawab yang perlu disempurnakan oleh setiap individu Muslim terhadap jirannya sebagaimana garis panduan yang pernah diutarakan oleh Imam Al-Ghazali di dalam kitab Bimbingan Mukmin iaitu:
1.  Memulakan memberi salam kepada jirannya;
2.  Menziarahinya ketika sakit dan mengucapkan takziah ketika berlaku kematian atau mengucapkan tahniah ketika mendapat kejayaan;
3. Jangan terlalu banyak bertanya hal-hal peribadinya;
4.  Memaafkan segala kesalahan dan kesilapannya;
5.  Menutup keaiban yang berlaku pada jirannya;
6. Sentiasa bersikap lemah-lembut terhadap anak-anak jirannya;
7. Sentiasa membantu apabila ditimpa musibah atau kemalangan;
8. Tidak menyakiti dan menyusahkan jirannya.
Renung-renung sejenak....

26 Sep 2010

LIHATLAH DENGAN MATA HATI


MATA suka memandang dan mempengaruhi hati supaya menjatuhkan hukuman terhadap orang yang dipandang. Walaupun baru sekali berjumpa, ada yang sudah bijak menilai orang lain semata-mata dengan asas prasangka buruk.
Orang itu jahil, si polan fasik, jiran kamu sombong, kawan kamu penipu, suami kamu pembohong, beliau yang dihormati itu sebenarnya zalim, saudara kamu munafik, khianat, penjenayah, perampas hak orang dan segala kejahatan hanya milik mereka yang hadir dalam kehidupannya. Itulah mata jahat yang bersatu dengan hati busuk. Tetapi kadang-kadang mata dan hati boleh tertipu oleh rupa paras dan tingkah laku orang yang dilihatnya. Baru sekali duduk minum dan mendengar tutur bicara halus dan idea bernas, terus percaya kepada orang di hadapannya itu umpama malaikat.
Semua baik, tidak ada cacat dan celanya. Akhirnya tertipu oleh imej palsu yang dilihat dengan cermin mata suram. Bertolak daripada kebaikan dan keburukan yang dilihat melalui mata zahir maka manusia terus mencari jalan tengah supaya dia dapat membuat penyesuaian dengan persekitaran secara selamat.
Sikap terbaik ketika menjalinkan hubungan dengan orang lain ialah ambil manfaat daripada kebaikannya saja, usah peduli dengan aib orang itu dan berhati-hati supaya diri tidak dimanipulasi. Namun begitu kita berasa diri diperhati tanpa mahu mengaku bahawa kita juga suka memerhati orang lain.
Sebenarnya sikap suka memerhati ini boleh memberi kesan positif dalam diri iaitu dengan syarat, perhatian itu hanya kepada mutiara kebaikan saja. Adapun keburukan orang lain, cukuplah dijadikan sempadan tanpa disertai celaan kepada orang itu kerana tiada siapa yang sempurna di dunia ini.
Jika setiap orang mengenal dirinya sendiri dengan sedalam-dalamnya nescaya tiada seorangpun tergamak menghina keaiban orang lain kerana dia masih melihat kelemahan yang banyak dalam dirinya sendiri. Alangkah eloknya jika kita menumpukan perhatian kepada kelebihan dianugerahkan Allah kepada orang lain untuk mengambil faedah daripadanya. Antara manfaatnya ialah:
1. Menghilangkan rasa ujub pada diri sendiri.
Hati manusia berubah-ubah, ada kala hari ini baik, esok pula belum tentu, hari ini angin yang bertiup itu sepoi-sepoi bahasa, namun tidak mustahil boleh bertukar menjadi puting beliung yang mengganas.
Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.” (Surah ali Imran ayat 8)
Oleh itu, semua penilaian mengenai seseorang itu sifatnya relatif, boleh berubah-ubah seperti kenyataan Rasulullah SAW yang mengakui bahawa manusia dicipta dengan hati yang berbolak-balik sehingga Baginda mengajarkan umatnya supaya berdoa dengan sabdanya yang bermaksud: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku pada agama-Mu.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad)
Manusia adalah makhluk yang relatif berubah, sehingga tidaklah boleh dinilai secara mutlak. Jika kita mahu mengambil manfaat daripada orang lain maka ambillah teladan daripadanya ketika dia berada di atas kemuncak kebaikannya.
Jangan sesekali melihat ketika dia jatuh, lemah, berdosa, penuh aib dan cela kerana jika kita suka melihat saat dia di bawah maka rasa ujub akan menguasai diri. Boleh jadi kita akan berkata: “Alangkah baiknya agamaku, amal dan ilmuku, keluarga dan kehidupanku jika dibanding dengan dirinya! Betapa buruk perangai orang itu, zalim sungguh tangannya, tamak dan kedekut sifatnya, kasar dan kurang ajar perangainya, tidak ada kebaikan langsung berbanding diriku!”
2. Menyuntik semangat berlumba-lumba ke arah kebaikan.
Orang yang suka memerhati potensi saudaranya tidak seharusnya melahirkan rasa dengki, cemburu dan iri hati. Hanya orang yang berjaya saja yang boleh menjadikan kehebatan potensi orang lain sebagai inspirasi dan penyuntik semangat untuk lebih berjaya.
Al-Quran menyindir perangai orang yang suka mendengki terhadap kehebatan orang lain seperti Rasulullah SAW pernah menjadi mangsa kedengkian mereka. Firman Allah yang bermaksud: “Orang kafir dari Ahli Kitab dan orang musyrik tidak suka kiranya diturunkan kepadamu sesuatu kebaikan daripada Tuhanmu. Padahal Allah berhak menentukan rahmat-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki- Nya dan Allah jugalah yang mempunyai kurnia yang amat besar.” (Surah Al-Baqarah, ayat 105)
Ayat itu memberi amaran kepada diri kita yang mungkin sedikit sebanyak menyimpan dengki. Betapa seseorang itu menjadi hamba yang membangkang atas keputusan Allah memilih orang lain untuk diberi anugerah. Maka pandanglah dengan hati kerana pandangan mata itu selalunya gelap tidak mampu melihat hakikat, sedangkan hati yang suci suka memandang dengan pandangan Tuhannya. Apa yang baik menurut Allah itulah yang baik baginya dan sebaliknya.
3. Sumber inspirasi, muhasabah diri.
Sesiapapun boleh menjadi sumber inspirasi. Jangan pedulikan keburukan orang di sekitar kita dan terus perhatikan kebaikan mereka. Suami boleh menjadi cermin kepada isteri tanpa menafikan kelemahannya. Ibu menjadi cahaya bagi anaknya walaupun dirinya tidak berpelajaran tapi jiwanya cukup arif membahagi cinta.
Guru menjadi penyelamat anak yang bodoh, lembap dan bingung sehingga mereka menemukan jalan terang walaupun guru juga memiliki kekurangan peribadi tetapi jangan dinafikan merekalah sebenarnya paling berpengaruh mewujudkan cita-cita setiap insan.
Siapapun yang berjasa, berbuat baik dan berjaya mereka tidak terlepas daripada cacat cela. Tetapi untuk apa mempersoalkan yang negatif jika yang positif itu mampu menghapus yang negatif? Tiada insan sempurna, berilah peluang kepada siapapun di sekitar kita untuk menjadi sumber inspirasi dalam hidup. Jika kita sudah mengambil manfaat daripada kelebihan orang lain, bagaimana pula menjadikan keburukan dan aib mereka sebagai sempadan?
Seorang Muslim bukanlah mereka yang memilih untuk diam apabila melihat kemungkaran berlaku di sekeliling mereka. Mereka bukan orang yang penakut, takut menyatakan yang salah itu salah dan yang benar itulah hakikatnya. Mereka tidak takut menyuarakan jalan inilah yang Allah reda dan jalan itu sebaliknya. Seorang Muslim berkewajipan memandang, menilai dan menasihati saudaranya jika berbuat silap seperti tuntutan agama yang mahu amar makruf dan nahi munkar ditegakkan.
Apabila melihat aib orang lain, berusaha membantu diri sendiri kemudian orang lain ke arah kebaikan. Langkah pertama ialah pastikan diri kita sudah berada di jalan yang benar, lurus dan diredai Allah kemudian barulah kita boleh menuntun tangan saudara kita ke sana. Apa yang disampaikan mestilah diamalkan terlebih dulu. Lidah, hati dan amal perbuatan mesti selari, sehati dan sejiwa langsung tiada unsur munafik. Prinsip amar makruf nahi munkar yang betul ialah buat dulu kemudian suruh orang lain.
Allah amat membenci perangai orang yang cakap tidak serupa amal ini melalui firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah al-Shaff, ayat 2-3)
Ada pula yang bermulut manis dan menyatakan pujian di hadapan saudaranya tapi di belakang mengata lain, bermuka-muka dan menikam dari belakang. Bahkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika kamu melihat orang yang suka memuji (mengampu) di hadapan kamu, maka taburkanlah debu tanah di mukanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebaik-baiknya setiap Muslim berhati-hati dengan pemuji yang melampau ini kerana mereka akan mencela dengan melampau juga. Menggunakan ayat penuh rahmat bukan ayat kesat dan menyimpan emosi negatif. Mengapa nasihat yang kita beri kepada isteri, anak dan saudara kita tidak berjaya? Puncanya kerana tiada hubungan kasih sayang kerana Allah.Kaedah dan cara menasihat pun tidak mengikut petunjuk Allah dan Rasul-Nya. Di samping itu, faktor emosi yang susah dikawal sehingga melahirkan nasihat berunsur kemarahan, kritikan pedas dan sindiran tajam menjadi penghalang keikhlasan dalam memberi nasihat.
Nyata begitu susahnya bergaul dengan manusia di sekeliling kita. Bukan hanya kesabaran dituntut tetapi keberanian untuk merasai sakit juga diperlukan dalam menjalinkan persaudaraan. Mungkin itulah sebabnya mengapa ramai memilih menyendiri dan tidak pedulikan orang lain. Tetapi sampai bila kita boleh bertahan? Pastinya yang terbaik ialah mencari kekuatan diri dalam persaudaraan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar atas gangguan mereka lebih baik daripada orang mukmin yang tidak bergaul dan tidak bersabar atas gangguan mereka.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Adaptasi adalah suatu proses membentuk rasa cinta dan kasih sayang. Sesiapa yang tidak sabar melaluinya dia tidak akan merasai kenikmatan menjalinkan hubungan sesama insan. Waspadalah dengan sikap antisosial. Ia boleh menghalang seseorang mendapat rahmat Allah. Adapun tanda seseorang mendapat rahmat-Nya adalah ketika manusia tertarik dengan keperibadiannya.
Renung-renungkan. ...

25 Sep 2010

GUNAKANLAH AKAL...


Kebolehan dan kehebatan akal manusia sangat sangat luar biasa.Ia boleh mengetahui rahsia alam dan seluruh isinya.Akal manusia boleh menjelajah kesemua empat penjuru dunia.Boleh menjelajah alam maya tanpa sempadan.Kemampuan akal manusia bebas, merdeka, gelanggang kehidupan nya luas.Bagi akal manusia, dunia ini kecil sebesar mangkuk, ia berada di hadapannya dan dapat melihat segala isinya.Segalanya akal dapat perhatikan dan mengetahui rahsianya.Ada minyak dan emas dalam bumi, ada gas di udara dan ada khazanah di lautan dalam.Semuanya akal dapat mengetahuinya.
Begitulah kehebatan akal manusia yang dicipta oleh Allah Taala, kebolehan nya luar biasa.
Namun walaupun akal manusia itu di cipta hebat manusia akan rasa hidupnya sempit kalau tidak ada iman atau iman nya lemah.Jika akal sahaja kuat dan merdeka sedangkan iman lemah akhirnya akal juga turut lemah.
Sebab itu Islam menyuruh umatnya jangan hanya menguatkan akal semata mata tapi yang penting hendaklah sentiasa kuatkan jiwa.Jiwa hendaklah dikuatkan dengan iman dan sifat sifat taqwa agar apabila di uji jiwa  tidak sempit dan menderita.Fikiran tetap merdeka.
Oleh itu jangan lah kita biarkan jiwa kita terkurung oleh dunia dan masaalahnya. Jangan penjarakan akal dengan keseksaan nafsu yang memang tidak suka akal dan jiwa bebas dan merdeka.Yang paling penting hendaklah  kita jadikan jiwa dan akal sentiasa bersama Tuhan dan jangan biarkan dia keseorangan. Kita jadikan Tuhan sebagai kawan jiwa dan akal kita.jangan lepaskan dia daripada berkawan dengan Tuhan.
 "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal (yaitu) orang orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab api neraka". (Ali Imran Ayat 190-191).

15 Sep 2010

25 PESANAN LOKMAN AL-HAKIM


01 – Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yg dalam, banyak manusia yg karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yg bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.
02 – orang – orang yg sentiasa menyediakan dirinya utk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yg insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.
03 – Hai anakku; orang yg merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kpd ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.
04 – Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.
05 – Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.
06 – Dan selalulah berharap kpd ALLAH tentang sesuatu yg menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kpd ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dr sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.
07 – Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yg telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yg tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dr tempatnya semula itu lebih mudah drpd memberi pengertian kpd orang yg tidak mahu mengerti.
08 – Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengankat batu besar dan besi yg amat berat, tetapi akan lebih lagi drpd semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yg jahat.
09 – Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yg bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.
10 – Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yg berbahaya.
11 – Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah utk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedang kan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.
12 -Janganlah engkau makan sampai kenyang yg berlebihan, kerana sesungguhnya makan yg terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kpd anjing sahaja.
13 – Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.
14 – Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yg takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.
15 – Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yg mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.
16 – Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.
17 – Selalulah baik tuturkata dan halus budibahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yg pernah memberikan barang yg berharga.
18 – Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yg tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yg mengharapkan sesuatu darimu.
19 – Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yg tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya~ yg akan mendatangkan cela pd dirimu.
20 – Hai anakku; janganlah engkau condong kpd urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.
21 – Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yg busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.
22 – Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yg menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yg pasti, janganlah engkau bertanya sesuatun yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan hartamu.
23 – Barang sesiapa yg penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yg pendiam akan selamat daripada berkata yg mengandungi racun, dan sesiapa yg tidak dapat menahan lidahnya dr berkata kotor tentu akan menyesal.
24 – Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yg alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yg subur lalu disirami air hujan.
25 – Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yg selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yg engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yg bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.
Pesan saya…jadilah manusia yang berilmu

8 Sep 2010

TIP DAN PANDUAN ZINA HATI


1. Selagi dinamakan manusia, kita mempunyai perasaan suka mengasihi dan dikasihi.
Memang adat kehidupan bahawa kasih cinta didahului dengan berasa rindu, namun jangan pula rindu berlebihan. Kerinduan kepada kekasih, sering kali membekaskan duka, penyakit menyebabkan kelemahan hati. Kita sebenarnya berperang dengan perasaan. Namun, seorang Muslim akan terasa nikmat jika dapat menjauhi keluhan, kesedihan dan kerinduan ini.
2. Ibnu Qayyim memberikan terapi mujarab mengenai masalah rindu. Sebelum itu beliau memberikan sebab mengapa rasa rindu berlebihan terjadi antaranya: Hati tidak terisi oleh rasa cinta, syukur, zikir dan ibadah kepada Allah sebaliknya membiarkan mata meliar. Pandangan dan renungan mata adalah jalan membawa kepada kesedihan dan keresahan.
3. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pandangan mata itu satu daripada sekian banyak anak panah iblis.”Setiap penyakit ada ubatnya. Ubat yang terbaik adalah meneguk daripada pengajaran al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: “Demikianlah supaya kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba kami yang terpilih.” – (Surah Yusuf, ayat 24)
4. Ikhlas kepada Allah. Ikhlas adalah ubat penyakit rindu. Ikhlas kepada Allah bermakna selalu berusaha berada di pintu ibadah dan memohon kesembuhan daripada Allah.
Jika kita ikhlas kepada Allah, Allah akan menolong kita daripada penyakit kerinduan melalui cara tidak pernah terdetik di hati.Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan: “Sungguh jika hati telah berasakan manisnya ibadah kepada Allah dan ikhlas kepada-Nya, nescaya ia tidak akan menjumpai hal lain yang lebih manis, indah, nikmat dan baik daripada Allah. Manusia tidak akan meninggalkan sesuatu dicintainya, melainkan selepas memperoleh kekasih lain yang lebih dicintainya.
5. Doa mengundang sikap, rasa fakir dan rendah diri di hadapan Allah. Oleh itu doa adalah salah satu bentuk ibadah yang agung.
Ketika kita berada dalam kesempitan, kita bersungguh-sungguh dalam berdoa, berasakan Allah amat dekat mendengarkan rayuan.
6. Mengurus mata dan pandangan. Pandangan yang berulang-ulang adalah suis penting menyalakan api rindu. Orang yang memandang dengan sepintas lalu jarang berasakan hati terusik dan jatuh. Ibnul Qayyim menyatakan: “Orang berakal tidak mudah tergelincir jatuh hati dan rindu, dia tidak tertimpa pelbagai kerosakan. Barang siapa yang terjun ke dalamnya maka ia termasuk orang yang menzalimi diri sendiri, tertipu dan akhirnya binasa.Jika dia tidak melakukan pandangan berkali-kali terhadap orang yang dikagumi dan usahanya itu meragut benang asmara, pastilah asmara tidak akan kukuh mencengkam jiwanya.”
7. Bernikah dan membina rumah tangga adalah langkah paling baik. Inilah ubat rindu paling baik. Tidak semestinya bernikah dengan orang yang kita kagumi. Meskipun pernikahan itu dilangsungkan tidak dengan orang dicintai dan diidamkan.

6 Sep 2010

RENUNG LAH SEBELUM DATANG SYAWAL


Tidak lama lagi Ramadan akan pergi meninggalkan kita dan Syawal akan menjelma. Kedatangan Syawal diterima dalam dua keadaan, satu golongan bersedih kerana menyedari kurangnya ibadat yang dapat dilakukan disebabkan sibuk, sakit dan terlalai dan golongan ini amat bimbang kalau Ramadan tahun ini merupakan yang terakhir baginya,manakala satu golongan lagi amat gembira kerana sudah tidak perlu berpuasa lagi dan menganggap berpuasa hanyalah sesuatu yang amat membebankan. Termasuk golongan manakah kita?,fikir-fikirkanlah.
Walaubagaimanapun kita tidak boleh menahannya, Ramadan tetap akan pergi, kehidupan perlu diteruskan sebaiknya. Oleh itu mari kita renungkan dan fikirkan pula bagaimana seharusnya kita menyambut Aidilfitri tahun ini.Apakah kita sudah bersedia dengan pengisian menyambut kehadirannya ? Sebaik sahaja jatuh matahari akhir Ramadan, umat Islam dituntut bertakbir, bertasbih dan bertahmid memuji kebesaran Allah kerana mencucuri rahmat ke atas kita. Penuhkan malam satu Syawal dengan perkara-perkara yang baik yang dituntut dan janganlah hendaknya meniru budaya negatif kerana ia tidak dibenarkan oleh agama.Jauhkan diri dari apa-apa hiburan yang melalaikan. Janganlah diulangi amalan bathil yang dilakukan sebelum Ramadan.
Kalaupun kita tidak gembira dengan cara-cara yang dituntut agama, maka janganlah kita pula jadi penghalangnya atau menjadi penyubur kemungkaran, mudah-mudahan dengan ini kita akan terus mendapat kurniaan rahmat Allah sampai bila-bila. Kedatangan Aidilfitri perlu disambut secara yang wajar. Jadikan satu Syawal untuk mengukuhkan persaudaraan dan persahabatan terutama antara ahli keluarga.
Semasa menyambut Aidilfitri kita dianjurkan menziarahi satu sama lain dan perbuatan menyendiri di rumah atau tempat-tempat tertentu tidak digalakkan. Membiarkan anak-anak menyendiri di rumah boleh menyemai sikap sombong dan bongkak serta tidak mempedulikan orang lain.
Hubungan silaturahim perlu disemarakkan asalkan dijaga tatasusila sesama anggota masyarakat. Suami dan isteri sepatutnya mesti saling bermaafan antara satu sama lain, tiada berdendam dan tiada perselisihan, bermaaf-maafanlah sepanjang masa, jangan tunggu pagi satu Syawal kerana itu bukan tuntutan agama.
Menunggu pagi Syawal baru bermaafan hanyalah suatu adat dan amalan yang tidak menguntungkan, kita masih tidur dengan berdosa di akhir Ramadan jika masih ada membuat kesalahan kepada suami, isteri atau orang lain.
Bermaaf-maafan mesti dilakukan secepat mungkin bila kesalahan disedari, bermaafan dan bersalaman di pagi Syawal, hanya sesuai bagi mereka yang sudah lama tidak berjumpa disamping mengasuh kanak-kanak menghayati amalan yang baik sedangkan bagi kanak-kanak sebenarnya mereka tiada dosa, mereka belum mengerti apakah dosa dan pahala.Orang Islam juga dituntut menyediakan makanan untuk dirasai oleh saudara mara dan sahabat handai tetapi mestilah halal dan disediakan tanpa perasaan riak dan tanpa membazir.
ZIARAH IBUBAPA
Anak-anak yang terpisah, tidak tinggal bersama ibubapa mesti menjadikan hari ini hari yang paling baik untuk pulang dan menziarahi mereka. Alangkah sedihnya jika ada anak tetapi berhari raya seorang diri. Jika boleh baliklah awal sebelum satu Syawal dan tuntutlah kemaafan dari mereka sebelum jatuhnya akhir Ramadan bukan seperti biasa hanya pada pagi Syawal.
Sesungguhnya ganjaran bila melakukan kebaikan dalam bulan Ramadan tidak sama dengan yang dilakukan dalam bulan-bulan yang lain. Bila menziarahi ibubapa atau orang yang lebih tua, bawalah sedikit buah tangan untuk menggembirakan mereka walaupun bukan itu yang mereka harapkan. Firman Allah, ” Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya yang mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu, dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Luqman 14
Anak-anak yang diwasa yang tidak dapat pulang atau tidak dapat pulang awal terutama yang berkeluarga jangan lupa untuk menghubungi ibubapa dengan cara yang lain supaya ganjaran pahala kebaikan tersebut masih kita dapati. Jangan anggap ia sesuatu yang remeh. Kecanggihan alat komunikasi memungkinkan segala masalah perhubungan antara ahli keluarga dapat diselesaikan dengan mudah. Sewaktu bersama ibubapa, gembirakanlah mereka dengan isi perbualan yang baik-baik tetapi benar dan elakkan pendengaran mereka dari yang tidak menggembirakan seperti kehidupan susah masa lalu serta masalah kewangan yang kita hadapi.
Tanggungjawab sewaktu mendidik dan membesarkan kita, sudah cukup membebankan mereka. Insaflah, walau apa pun yang telah berlaku kita tidak akan dapat membalas jasa mereka kepada kita.Jangan memberatkan ibubapa dengan perbelanjaan dan kerja. Kita sepatutnya mengambilalih tugas rumahtangga seperti menyediakan makanan, layanan kepada tetamu dan sebagainya dan benarkan ibubapa berehat dan bergembira dengan tetamu atau cucu-cucu jika ada.
Ibubapa yang sakit atau kurang sihat memerlukan masa yang panjang dan layanan yang lebih istimewa dari anak-anaknya. Bagi ibubapa pula; Elakkan membuat perbandingan status dan keberadaan sesama anak menantu kerana ini boleh mendatangkan rasa rendah diri atau kecil hati terutama bagi yang kurang berada atau kurang mampu. Hariraya adalah hari untuk bergembira. Tanpa sedar ibubapa kadangkalanya banyak berbicara kearah merenggangkan hubungan kekeluargaan.
Limit dan fokuskan pertuturan dan perbualan kepada yang positif dan baik-baik sahaja.
ZIARAH SAHABAT HANDAI DAN AHLI KELUARGA YANG LAIN
Di Hariraya, kita dituntut untuk menziarahi sesama muslim sebanyak mungkin terutama orang yang pernah menjadi sahabat ibubapa kita.Gunakan peluang ini untuk bermaaf-maafan dan mengucapkan syukur kehadrat Allah atas limpah kurnia rahmat dan rezekiNya. Sayugia diingat bersalaman sesama ajnabi dalam majlis sebegini adalah dilarang walaupun berlapik kerana ia adalah tidak perlu dan boleh mendatangkan fitnah.
Bersentuhan secara berlapik atau tidak bagi ajnabi hanya dibolehkan atas perkara-perkara terdesak sahaja.
Disamping itu dalam Islam kita tidak digalakkan berlama-lamaan dalam melakukan ziarah begini, kerana ini akan membuka ruang kepada perkara-perkara yang tidak baik seperti fitnah dan sebagainya. Kebanyakan kita tidak mampu menjaga isi perbualan daripada memperkatakan benda-benda yang tidak baik dan melalaikan. Berlama-lamaan juga mungkin akan membebankan orang yang kita lawati. Bergeraklah sebelum gembira bertukar sebaliknya. Mungkin tuan rumah juga mempunyai agenda mereka sendiri atau untuk menerima tetamu yang lain pula.
Sewaktu melakukan ziarah atau sebagainya, hormatilah waktu solat. Jagalah tertib berpakaian sepertimana yang dianjurkan Islam. Sesungguhnya sudah terlalu banyak yang kita terlepas pandang dalam perkara aurat dan pakaian yang diamalkan sehari-hari.
Dalam Islam tidak ada beza aurat dalam solat dengan luar solat, cuma mungkin bentuk dan warna pakaian sahaja yang berbeza. Hariraya juga memberi peluang kepada kita untuk merapatkan hubungan yang sudah lama terputus samaada keluar bekerja, belajar atau lain-lain.
Apa-apa persengketaan antara dua pihak juga perlu ditamatkan dengan hadirnya hari yang mulia ini. Firman Allah “ Tolaklah kejahatan yang ditujukan kepadamu dengan cara yang lebih baik, apabila kamu berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib” Fussilat 34
Mengadakan jamuan dan menjemput seramai mungkin orang Islam dan bukan Islam untuk bergembira beramai-ramai menyambut Aidilfitri adalah satu perkara yang baik tetapi perlulah dijaga adab pergaulan supaya selari dengan keperluan agama.
ZIARAH PERKUBURAN
Orang lelaki digalakkan membersih dan menziarahi perkuburan bagi mencetuskan kesedaran terhadap kematian, manakala ziarah perkuburan kepada kaum wanita pula ada pendapat mengatakan haram dan ada yang hanya mengharuskan sahaja iaitu tidak digalakkan. Jika kaum wanita ingin juga pergi, maka perlulah dijaga adab-adab dengan sewajarnya. Di perkuburan, bacalah doa-doa yang baik yang diharapkan boleh membantu mereka yang telah meninggal dunia. Perlu diingat, ziarah tanah perkuburan tidak semestinya dilakukan bila menyambut Aidilfitri sahaja.
DUIT RAYA
Memberi duit raya terutama untuk kanak-kanak adalah amalan yang baik tetapi mestilah berlaku adil. Kanak-kanak tidak berupaya menyimpan rahsia sekiranya ada perlakuan dan agihan secara tidak adil. Oleh itu berhati-hatilah. Di samping itu orang diwasa seharusnya tidak menyuburkan budaya mengemis di kalangan anak-anak sewaktu melakukan ziarah terutama di hari kebesaran Islam ini. Meminta-minta sebegini bukan budaya Islam.
Tujuan asal amalan ziarah adalah untuk merapatkan silaturrahim dan ianya bukanlah satu cara untuk mengumpul wang. Selain dari perkara-perkara di atas, banyak lagi yang boleh dilakukan seperti menziarahi dan memberi makan atau pakaian kepada anak yatim, orang miskin, rumah orang tua, orang kurang upaya dan sebagainya. Firman Allah “ Dan bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa ( Aali Imran 133 ).
Hadis Rasulullah ( Dari Ibnu Hibban ) “ Sukakah kamu aku tunjukkan orang yang paling dicintai Allah, dan yang paling dekat denganku di hari kiamat’ Mereka menjawab “Sudah tentu” Rasulullah menyatakan “ Iaitu orang yang paling baik akhlaknya di antaramu
Hadis Rasulullah ( Dari Uqbah ), “Ya Uqbah, sukakah kamu aku khabarkan tentang akhlak ahli dunia dan ahli akhirat yang paling afdal ? iaitu kamu menjalinkan hubungan dengan orang yang memutuskan hubungan denganmu, memberi kepada orang yang tidak memberi kepadamu dan kamu memaafkan orang yang berbuat zalim kepadamu”
Mudah-mudahan dengan sedikit catatan ini dapatlah kita menghayati Ramadan dan Syawal secara yang disenangi Allah subhanahuwataala.
DRS. KHALIL IDHAM LIM

3 Sep 2010

HIKMAH DISEBALIK SUNNAH


1. Cara makan, kenapa kita gunakan tangan? Mengikut cara Rasulullah s.a.w, beliau akan menggaulkan lauk dan nasi dengan tangan kanannya dan kemudian membiarkan sebentar, lalu Rasullah saw akan mengambil sedikit garam menggunakan jari kecilnya(yg last tu), lalu Rasullah saw akan menghisap garam itu. Kemudian barulah Rasulullah makan nasi dan lauknya. Mengapa? Kerana kedua belah tangan kita ada mengeluarkan
3 macam enzim, tetapi konsentrasi di tangan kanan kurang sedikit dari yg kiri. Ini adalah kerana enzim yg ada di tangan kanan itu merupakan enzim yang dapat menolong proses penghadaman (digestion), ia merupakan the first process of digestion. Mengapa menghisap garam? Kerana garam adalah sumber mineral dari tanah yg diperlukan oleh badan kita. Dua cecah garam dari jari kita itu adalah sama dgn satu liter air mineral. Kita berasal dari tanah maka lumrahnya bahan yang asal dari bumi (tanah) inilah yg paling berkhasiat untuk kita. Kenapa garam? Selain dari sebab ia adalah sumber mineral, garam juga adalah penawar yang paling mujarab bagi keracunan, mengikut Doktor2 dihospital-hospital , the first line of treatment for poisoning adalah dengan memberi Sodium Chloride, iaitu GARAM. Garam juga dapat menghalang sihir dan makhluk-makhluk halus yang ingin menggangu manusia.
2. Cara Rasulullah mengunyah - Rasulullah akan mengunyah sebanyak 40 kali untuk membiarkan makanan itu betul-betul lumat agar perut kita senang memproseskan makanan itu.
3. Membaca Basmalah (Bismillahirrahma Nirrahim). Membaca Basmalah sebelum makan untuk mengelakkan penya kit . Kerana bakteria dan racun ada membuat perjanjian dengan Allah swt, apabila Basmalah dibaca maka bakteria dan racun akan musnah dari sumber makanan itu.
4. Cara Rasulullah minum:- Janganlah kita minum berdiri walaupun ia makruh tetapi ia makruh yang menghampiri kepada haram. Jangan kita minum dari bekas yg besar dan
jangan bernafas sedang kita minum. Kerana apabila kit a minum dari bekas yg besar, lumrahnya kita akan meneguk air dan dalam proses minum itu, kita tentu akan bernafas dan menghembuskan nafas dari hidung kita. Kerana apabila kita hembus, kita akan mengeluarkan CO2 iaitu carbon dioxide, yang apabila bercampur dgn air H20, akan menjadi H2CO3, iaitu sama dengan cuka, menyebabkan minuman itu menjadi acidic. Jangan meniup air yang panas, sebabnya sama diatas. Cara minum, seteguk bernafas, seteguk bernafas sehingga habis.
renungan bersama

Masjid Solatiah GR

http://picasion.com