Dikuasakan oleh Blogger.

About Me

Foto Saya
ipoh, perak
X KAGAT....?.

Blog Archive

SMS ampang ipoh 24 /6/ 11

gif webcam

DI SMA Chemor 13/5/12

pictures to gif

Di SMA Chemor

animated gif maker

Guru Pendidikan Islam Ulu Kinta Jun 13

http://picasion.com/i/1VkmT/

30 Apr 2010

LIDAH LAGI TERGIGIT


Rasulullah bersabda, "Sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga."
(Riwayat Anas Bin Malik)
Tidak indahkah dijanjikan dengan sebuah rumah di tengah-tengah syurga? Sekalipun kita di pihak yang benar, namun untuk mengelakkan perbalahan berpanjangan, mengalah sahajalah. Rugikah kalau beralah? Bagi sesetengah orang yang mementingkan diri sendiri mungkin tidak munasabah jika mahu beralah tetapi apa kata kalau saya katakan ‘orang yang beralah akan menang besar kemudiannya?’
Pergaduhan suami isteri akan sentiasa berlaku. Bak lagu P.Ramlee ‘Sedang lidah lagi tergigit’. Anda tidak akan sentiasa boleh berkata ‘ok’ kepada isteri anda begitu juga dia. Setiap kali pergaduhan berlaku, pasti akan ada hati yang akan terluka terutamanya hati orang perempuan yang memang diketahui tidak dapat diramalkan.
Jika pergaduhan itu berpunca daripada sesuatu yang sangat kecil, maka jika kita perbesarkan, maka akan terlihatlah peribadi sebenar seseorang itu. Sungguh akan terlihat betapa hodoh sekali seseorang itu tambahan pula, mulutnya mudah sekali melancangkan kata-kata yang tidak sedap didengar.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor."
(Riwayat Ibnu Mas’ud RA)
Dalam sabda ini, dapatlah kita fahami bahawa orang yang berkata keji bukanlah orang mukmin sebenar. Betapa iman kita dapat disukat dengan perlakuan yang sangat keji ini.
Pernahkah anda melihat pergaduhan suami isteri ini daripada sudut yang positif? Sebenarnya, pergaduhan akan menyebabkan terbentuknya satu penyatuan pelbagai perkara termasuklah cita rasa dan impian pasangan itu. Bagi mencapai tujuan inilah kita sering bertelingkah dengan pasangan untuk mencapai sesuatu yang terbaik. Tidaklah saya maksudkan pergaduhan adalah baik, namun hal ini adalah lebih baik daripada kita berdiam dan tidak berbincang sehingga akhirnya tidak ada penyatuan antara suami dan isteri.
Justeru, pergaduhan menjadi medium kepada pasangan dalam menyatukan kasih sayang. Setiap individu akan melahirkan perasaan tidak puas hati dan sebagainya. Maka, di sini adalah tempat untuk mencurahkan perasaan. Jadi, janganlah memendam perasaan sehingga jiwa kita menjadi tertekan ibarat belon yang akan pecah akibat ditiup dengan angin yang kuat. Jika tidak diluahkan, pasangan anda tidak mungkin akan tahu perkara yang ada dalam hati anda.
Di sini, saya akan kongsikan beberapa tip untuk bertengkar secara positif:
1. Jangan terlampau banyak bercakap – Ketika bertengkar, hati masing-masing pasti dalam keadaan marah. Ketika marah, pasti perkara yang logik sekalipun tidak diterima melainkan masing-masing mahu menegakkan pendapat masing-masing. Jika anda sebagai suami mempunyai hak untuk bercakap sekalipun, kurangkan daripada terlalu menegakkan pendapat anda sendiri. Hal ini akan mencetuskan perasaan tidak puas hati kepada pasangan anda sehingga perlahan-lahan dia akan menjadi bosan dengan anda. Yang perlu anda lakukan adalah dengan memikirkan secara mendalam cara untuk mem-betulkan keadaan.
2. Jangan menyebut kelemahan pasangan – Bukan hanya isteri anda yang mempunyai kelemahan, anda juga ada ke-lemahan sendiri. Jadi, dengan mengungkit kelemahan dia, anda akan turut merangsang pasangan mengungkit kelemahan anda. Lagi pula, anda tidak akan menang dengan hanya mengungkit sebegini tetapi menyebabkan keadaan lebih parah. Jika mahu menegur pasangan, minta dia meluahkan ketidak-puasan hatinya tentang anda dahulu supaya apabila giliran anda nanti, dia tidak akan meninggikan suara.
3. Jangan membalas perbuatannya – Sebagai contoh, pasangan anda bermesra-mesra dengan lelaki sebelah rumah. Anda mahu membuatkan dia sedar bahawa perbuatannya salah. Jangan anda pula bermesra-mesra dengan perempuan lain di hadapan dia. Keadaan ini hanya memberi peluang yang lebih kepada isteri anda untuk menjauhi anda. Akhirnya, anda turut terlibat dalam menjarakkan perhubungan anda sendiri.
4. Jangan cuba mengubah pasangan – Anda dibesarkan dalam keluarga ‘begini’, isteri anda dibesarkan dalam keluarga ‘begitu’. Pastilah terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Anda harus memahami bahawa cara dia melihat sesuatu pasti tidak sama dengan pandangan anda.
5. Fokus pada masalah – Jangan meleret-leret sehingga perkara yang bukan masalah akhirnya akan turut menjadi masalah.
6. Jangan tinggikan suara – Semakin tinggi suara kita ketika bergaduh, semakin tinggilah suara pasangan kita nanti. Pergaduhan seperti ini tidak akan menjadikan keadaan semakin baik malah semakin kusut. Cubalah bercakap dengan tenang sehingga isteri anda yang sedang marah akan turut tenang dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah dengan lebih cepat.
7. Gunakan panggilan manja – Ada pasangan yang pada masa biasa menggunakan panggilan ‘sayang’ atau ‘manja’ tetapi ketika bergaduh, keadaan akan beralih sebaliknya. Panggilan kasar mengambil alih menyebabkan pasangan anda merasakan dirinya rendah sekali. Jangan emosi sehingga tergamak menggunakan panggilan kasar termasuklah ‘aku’ dan ‘kau’.
8. Elakkan terlalu emosional – Ketika sesi bergaduh ini, pasti pasangan anda akan selalu terlepas mulut. Jadi, jangan ambil perkara yang dikatakannya terlalu serius memandangkan ketika sedang bergaduh, seseorang itu cenderung berkata yang tidak-tidak terhadap lawannya.
9. Gunakan perkataan yang baik-baik – Selain menggunakan panggilan manja, gunakanlah juga perkataan yang tidak menyalahkan. Perkara ini akan menyebabkan masalah akan cepat selesai. Antara contoh perkataan yang boleh anda gunakan ialah, "Abang rasa sayang tak patut buat macam ni," berbanding "Ni semua salah engkaulah!"
10. Jangan bertengkar di depan makanan atau di tempat tidur – Hal ini kerana tempat tersebut sepatutnya tempat kita menjamu selera dan bermesra-mesra sesama sendiri.
11. Dengar luahan isteri – Mungkin sahaja perkara yang disampaikan oleh isteri anda itu dapat menyelesaikan masalah. Jika anda hilang tumpuan ketika ini, bukan sahaja anda akan kehilangan idea yang baik malah anda menggunakan cara sendiri yang belum tentu dapat menyelesaikan masalah anda berdua.
12. Jangan bergaduh di depan anak – Dengan bergaduh di hadapan anak, anda hanya akan membuatkan anak keliru dan mengadili sama ada ibu atau bapa mereka yang berada di pihak benar atau salah. Perkara yang lebih menakutkan akan berlaku jika anak anda menceritakan keadaan anda berdua kepada orang luar. Hal ini akan menjejaskan imej anda sekeluarga.
13. Bersabar – Sekalipun anda lelaki dan anda lebih kuat secara fizikal berbanding dengan isteri anda, jangan sekali-kali anda cuba untuk mengasari isteri anda. Dibimbangi dia juga akan belajar untuk melawan dan membaling segala jenis pinggan mangkuk ketika bergaduh pada masa lain.
14. Say NO to third party – Selagi terdaya menyelesaikan masalah anda sendiri, jangan libatkan orang lain. Campur tangan pihak ketiga kebanyakannya hanya menyulitkan keadaan. Sekiranya perlu, pilihlah orang yang adil untuk menyelesaikan masalah anda.
15. Mengalah tidak bererti kalah – Mengalah ketika saat genting ini tidak menunjukkan anda kalah. Anda hanya perlukan masa untuk membuktikan bahawa tindakan anda sebenarnya betul.
16. Jangan keluar dari rumah sebelum selesai – Selalu menonton drama di TV? Kebanyakannya menunjukkan suami akan segera meninggalkan rumah semasa bergaduh untuk memudahkan cerita. Tindakan ini sebenarnya akan menyebab-kan isteri anda ditinggalkan dalam keadaan keliru. Hal ini menyebabkan dia akan berasa tertekan dan anda perlu ingat bahawa anak-anak akan ditinggalkan bersamanya di rumah. Perempuan yang hilang kewarasan akibat tekanan yang dahsyat akan menyebabkan mereka akan bertindak yang bukan-bukan. Mungkin sahaja dia akan memudaratkan dirinya atau anak-anak anda boleh menjadi mangsa keadaan. Sekiranya anda rasa tidak dapat menahan marah, beritahu isteri anda bahawa anda perlukan sedikit ketenangan dan hal ini lebih menampakkan rasa tanggungjawab anda terhadap permasalahan anda berdua.
17. Luahkan – Selain menjadi pendengar kepada permasalahan isteri, anda turut perlu meluahkan perasaan anda. Tunggu sehingga dia habis berbicara sebelum anda menyambung pendapat anda. Sekiranya anda tidak memberitahu keadaan sebenar anda, belum tentu dia dapat memahami keadaan anda.
18. Pelukan dan kemaafan – Hal inilah detik paling indah dalam pergaduhan. Setelah dirasakan masalah telah selesai, jangan melewatkan detik untuk memeluk pasangan anda seeratnya. Ucapkan perkataan maaf dan berharap agar perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi. Keadaan ini akan menyebabkan perhubungan anda selepas itu lebih erat dan mantap dengan satu kesatuan hati yang lebih hebat.

29 Apr 2010

6 KELEBIHAN HARI JUMAAT


ASSALAMUALAIKUM. Apa khabar hari ini? Apa cerita Jumaat anda?  Ya, hari ini hari Jumaat. Hari untuk kita mendapatkan lebih success dalam hidup kita. Hari untuk kita lebih cemerlang, lebih kuat berbanding hari-hari yang lain.
Jadi, apa pun yang anda buat pada hari ini, pastikan itu adalah yang terbaik, yang terhebat untuk diri anda sendiri. Kalau selalu bangun pagi sepuluh minit lagi ke waktu subuh, maka jadikanlah Jumaat untuk anda lebih berjaya.
Jadikan Jumaat untuk lebih special daripada hari-hari yang lain. Buat janji, bahawa Jumaat aku mesti bangun tiga puluh minit sebelum ke waktu subuh. Hah, kan bagus.
Hari ini saya nak cerita sedikit tentang hebatnya dan kelebihan-kelebihan hari Jumaat. Moga anda di luar sana memperoleh manfaat, saya yang menulis juga lebih-lebih lagi mendapat faedahnya. Jadi 6 kelebihan Jumaat akan saya senaraikan. Semoga Jumaat kali ini menjadikan kita lebih berjaya, lebih cemerlang! 
1. Berlakunya hari kiamat.
 Ya, Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya hari kiamat. Dalam suatu hadis riwayat Muslim, Nabi SAW ada menyebut bahawa, “Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.”
 2. Nabi Adam diciptakan dan dia juga disingkirkan dari syurga.
 Hari Jumaat memang istimewa. Hari ini nabi Adam diciptakan, dan hari ini jugalah beliau diturunkan daripada syurga.Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam a.s. diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.”
 3. Penghulu segala hari.
 Saya suka sebut Jumaat ni special. Kenapa ya? Jumaat ini adalah hari yang sangat-sangat istimewa kerana agama kita sendiri yang meletakkan Jumaat itu ketua dan lebih sedikit ganjarannya berbanding hari-hari yang lain. Dalam suatu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”
 4. Selamat dari fitnah kubur bagi yang mati pada hari Jumaat.
 Menurut Nabi SAW, “Tidak seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah  daripada fitnah kubur.”Jadi, sama-samalah kita berdoa moga-moga Allah memilih kita di kalangan manusia-manusia yang diberikan kelebihan oleh Allah ini.
 5. Kebaikan dengan memotong kuku.
 Peliharalah kebersihan anda. Kalau boleh, Jumaat ni bagi lebih-lebih lagi. Mana yang dah lama tak potong rambut, maka potonglah. Kasi kemas. Kalau kuku dah rasa mula nak panjang, hah potonglah. Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.”
 6. Makbulnya doa di antara dua khutbah.
 Yang ini pun kita dah selalu dengar. Daripada zaman sekolah lagi mungkin ramai yang telah diberitahu akan perkara ini. Baca doa ketika imam sedang duduk antara dua khutbah selalunya makbul doanya tu. Ya, kan? Banyak ulamak yang berpendapat bahawa makbulnya doa yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua.
Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah yang bermaksud, “Pada hari Jumaat ada satu saat yang bertepatan dengan orang Islam ketika dia sedang sembahyang, di mana tatkala ia berdoa maka doanya itu akan dimakbulkan.” Dan rasulullah menunjukkan isyarat tangannya yang membawa maksud sedikit sahaja waktu itu.
Abi burdah bin Abi al-Amusa al-Asy’ari r.a berkata bahawa beliau pernah mendengar bahawa Abdullah bin Umar r.a pernah mendengar bahawa Rasulullah pernah menjelaskan bahawa waktu yang paling mustajab itu adalah waktu antara imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai didirikan.
 TUAN, puan, abang, kakak dan adik-adik semua, marilah kita jadikan Jumaat kita kali ini lebih bererti. Bukannya apa, untuk kebaikan kita juga. Semua kelebihan yang ada pada Jumaat ini sebenarnya merupakan ruang dan peluang untuk  kita rebut.
Kita mengaku kita orang Islam. Kita pun mengaku bahawa kita ni mengamalkan segala suruhan agama. Jadi, apalah salahnya sedikit amalan yang nampak macam tak seberapa ini kita rebut.
Kalau rasa-rasa selalunya macam malas nak selawat, macam tak ada mood nak berzikir, maka jadikanlah hari Jumaat untuk anda lebih bersemangat unttuk berselawat, berzikir, istighfar dan sebagainya.
Nabi sendiri ada menyebut barangsiapa yang banyak beristihfar, Allah akan bagi jalan keluar bagi setiap masalah yang dihadapinya.
Mari kita jadi lebih baik, sedikit pun tak apa. Asal kita jadi lebih baik. Kita usaha, kita cuba betul-betul. Mana tahu andai Allah juga bakal tarik nyawa kita di hari Sayidul aiyam ini. Subhanallah…

28 Apr 2010

SENYUM ITU SEDEKAH ?...


Hari ini saya kongsikan sesuatu perkara yang amat mudah untuk kita lakukan sehari-hari dan akan beroleh pahala pula jika kita mengerjakannya, insya Allah.
Hadis dari Abu Dzar r.a. bahawa Rasulallah SAW yang bermaksud, “Tidak ada lain dari anak Adam itu sedekah pada tiap-tiap hari yang naik matahari padanya.”
Bertanya para sahabat, “Dari mana datangnya harta untuk kami bersedekah wahai Rasulallah?” Sabda Nabi, “Bahawa pintu-pintu kebajikan itu banyak; Tasbih, Takbir, Tahlil, Amar makruf dan nahi (mencegah) mungkar, membuang duri di jalan, mendengar orang pekak, menunjuk jalan kepada orang buta, menunjuk arah perjalanan kepada yang meminta ditunjuk, memberi air minuman kepada yang dahaga, menolong meringankan beban orang yang tidak berdaya. Semua itu sedekah bagi diri kamu.” Malah dalam riwayat yang lain menambah, “Senyum anda terhadap saudara anda adalah sedekah.” (Hadis riwayat Ibn Hiban dan Al Baihaqi)
Ini adalah sebuah hadis yang dikira cukup baik yang memerlukan setiap orang berfikir, dapat mengetuk dan membuka pintu hati dan jiwa manusia ke arah kebajikan dan juga dapat mengikat diri manusia dengan kasih sayang dan cinta yang mendalam.
‘Sedekah’ perkataan yang selalu didengar, biasanya dikaitkan dengan wang ringgit dan harta benda. Ia berlaku apabila si kaya membantu si miskin, atau orang yang kuat memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukan. Demikianlah fahaman sempit yang selalu kita dengar dan kesannya pun amat terhad, walhal terdapat lebih banyak lagi cara kita bersedekah, selain daripada pemberian material semata-mata. Tidaklah dinafikan bahawa ianya mampu menjadi satu mekanisma untuk menwujudkan keadilan sosial dalam masyarakat, tetapi hadis ini meluaskan lagi skop sedekah dan pemikiran mengenainya; iaitu dari makna material kepada makna yang bersifat kejiwaan, membuka suatu ruang yang luas tanpa sempadan.
“Setiap yang baik itu sedekah, setiap orang mampu bersedekah.” Benar, sedekah dari skop kebendaan adalah terbit dari hati yang baik, kalau tidak sedekah atau derma itu menjadi riak, bohong, menunjuk-menunjuk kotor dan keluar dari hati yang tidak ikhlas. Maka kalau sedekah yang lahir dari hati yang tulus dan jiwa yang baik, itulah sumber kebaikan yang sebenar kerana setiap yang baik terbit dari jiwa yang baik dan setiap yang kotor keluar dari hati yang kotor. Jesteru itu, sebuah senyuman manis yang ikhlas adalah lahir dari jiwa yang jernih dan tulus ikhlas.
Seseorang yang membantu orang lain dengan wang seringgit atau dua ringgit, membantu orang yang lemah melintas jalan, menolong mengangkat barang yang berat ataupun lain-lain yang seumpama, dan ianya terbit dari hati yang bersih dan ikhlas maka itulah yang dikatakan rasa kemanusiaan yang amat tinggi nilainya, iaitu dengan menolong sesama manusia terasa ada hubungan kemanusiaan antara yang menolong dan yang ditolong. Ini juga salah satu bentuk sedekah, seperti yang disebutkan dalam hadis di atas.
Jika sedekah dihadkan kepada bentuk material, nescaya kebaikan itu juga terhad kepada mereka yang berada sahaja, tetapi Rasullallah SAW mahu kebaikan itu berada di setiap diri individu, yang mana cahayanya akan melimpah ruah yang tidak ada had dan kesudahannya. Rasullallah SAW bukan sekadar memperkenalkan punca atau asas kebaikan, tetapi lebih lagi dari itu, Baginda mengajar kita supaya membiasakan diri dengan kebaikan adalah jiwa hidup, bergerak dan berkesan. Jiwa yang kaku dan beku adalah jiwa yang mati sebelum ajal yang tidak akan melahirkan apa-apa kebaikan darinya.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Adakah orang yang dilapangkan dadanya oleh Allah untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah) dari Tuhannya sama dengan orang yang sesat (keras) hatinya (dengan kedurhakaan) . Maka celakalah bagi mereka yang keras hatinya untuk menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah az-Zumar ayat 22)
Senyum itu satu sedekah
Senyum itulah sedekah yang paling  mudah. Tetapi sesetengah orang amat berat dan payah sekali untuk berbuat demikian. Ada yang sukar memberi senyuman, mungkin jiwanya sakit atau dalam dirinya tertutup pintu kebaikan dan kebajikan. Mukanya masam, muram dan kusam. Menjengkil perasaan benci kepada sesama manusia. Isunya di sini bukanlah seteguk air, sesuap nasi, atau sebuku roti, tetapi ‘pemberian’ yang didalangi oleh gerak dari dalam diri membuka dan mengetuk pintu hati yang tertutup.
Senyuman itu berkait dengan jiwa bagi mereka yang sedang berdepan dengan masalah, dengan tersenyum jiwa mereka akan merasa lega dan tenang. Manakala apabila melihat orang memberi senyuman padanya, jiwa yang lesu akan kembali ceria. Senyuman secara umumnya adalah sedekah.
Mari kita ikuti kisah teladan di bawah :
Pada suatu hari Abu Yazid Al-Busthami, ahli sufi terkenal didatangi seorang lelaki yang tinggal sekampung dengannya. Lelaki itu memang terkenal rajin, ringan tulang dan kuat ibadat. Namun hidupnya sentiasa dilanda kesulitan. Dengan wajah murung lelaki itu mengadu kepada Abu Yazid.
“Sepanjang hidup, saya tak pernah lupa beribadat kepada Allah. Orang lain tidur saya masih bermunajat.” Lelaki itu diam seketika, mukanya kelat tanpa secalit pun senyuman.Abu Yazid memerhatikan wajah lelaki yang sedang duduk dihadapannya. Raut mukanya itu seperti orang yang menangung masalah yang maha berat.“Selalunya sebelum isteri saya bangun pagi, saya sudah mengaji. Saya tidak pernah lupa tuhan, tapi.......” lelaki itu tidak dapat meneruskan kata-katanya.
Abu Yazid mengangguk kerana dia memang amat mengenali jirannya itu, rajin dan warak. malah dia tidak pernah melihat orang sebaik dan serajinnya.Kemudian lelaki itu melepaskan keluhan yang berat, “…entahlah tuan, nasib saya selalu malang dan hidup penuh dengan kesulitan...”
Abu Yazid memegang bahu lelaki tersebut dan berkata, “Sahabatku, senyumlah. Mulai hari ini, ubah penampilan kamu kerana aku lihat kamu tidak pernah senyum dan dahi sentiasa berkerut walaupun ketika bercakap dengan aku. Cubalah senyum, insya Allah nasibmu akan berubah. Rasulullah SAW adalah orang yang paling miskin semasa hidupnya. Namun wajahnya tidak pernah keruh, bermuram dan berkerut dahi, baginda sentiasa senyum, ceria dan wajahnya berseri-seri.”
Abu Yazid menyambung sambil melemparkan senyuman kepada lelaki tersebut. Lelaki itu hanya mengangguk tapi raut wajahnya masih tidak berubah. Dia seperti belum dapat memahami apa yang telah disampaikan oleh Abu Yazid.
“Menurut Rasulullah, salah satu tanda penghuni neraka ialah orang yang bermasam muka dan membuat orang lain curiga padanya,” Abu Yazid menambah.
Setelah mendengar nasihat Abu Yazid, lelaki itu balik, lelaki tersebut telah mengubah penampilannya. Sesiapa sahaja yang ditemui dia akan mendahului dengan salam dan tersenyum walaupun mereka tidah pernah dikenalinya. Lelaki itu berubah menjadi peramah, kerut-kerut di dahinya sudah dibuang jauh dan mukanya sentiasa manis. Dari hari ke hari hidupnya semakin senang dan rezekinya melimpah ruah.
Itulah contoh jelas betapa besarnya hikmah senyuman dalam kehidupan seharian kita sehingga Rasulullah SAW sendiri sebagai sedekah yang paling murah tetapi tinggi pahalanya. Manfaat senyum adalah besar, ia jalan untuk membuka rezeki, pengubat jiwa, memudahkan urusan dan mengeratkan kasih sayang. Paling penting senyuman adalah perhiasan diri yang paling mahal kerana dari sifat itu akan lahir keceriaan, kegembiraan, wujud keyakinan dan tanda kesediaan untuk didekati. Kepada orang menerima senyuman, mereka akan merasa dihargai. Secara tidak langsung, bangkitlah rasa keyakinan dalam diri mereka.
Senyuman itu berkait dengan jiwa bagi mereka yang sedang berdepan dengan masalah, dengan tersenyum jiwa mereka akan merasa lega dan tenang. Manakala apabila melihat orang memberi senyuman padanya, jiwa yang lesu akan kembali ceria. Senyuman secara umumnya adalah sedekah.Walau bagaimanapun, beringatlah, bukan semua senyuman yang dilemparkan itu sedekah. Senyuman juga ada berbagai-bagai tafsiran. Ada senyuman kambing sinis, senyuman kelat dan senyuman terpaksa. Yang dikatakan senyuman sedekah itu adalah yang ikhlas, secara sukarela dari jiwa yang suci dan spontan.
Tidak kira kepada siapa kita lemparkan senyuman, asalkan dengan ikhlas dan hati yang bersih, ia adalah sedekah. Pahala yang Allah ganjarkan untuk senyuman itu adalah sama dengan pahala kita bersedekah.
Senyumlah hiaskan diri anda dengan senyuman terutama kepada orang yang paling hampir dengan kita seperti ibu bapa, ketua, orang bawahan, jiran dan teman-teman. Senyumlah, kita tidak akan rugi apa-apa...SENYUM-SENYUMLAH SELALU. INSYAALLAH...
Renung-renungkan dan mari beramal!

26 Apr 2010

RAGAM DITEMPAT KERJA 1


1. JENIS SUKA MELAGA-LAGAKAN ORG  - al kisah kononnya nak tolong kawan lah.. sampaikan berita ttg orang sekian.. sekian... cakap macam nie kat hang... pastu pegi pulak kat orang yang satu lagi cakap dia cakap cam nie kat ang... org nie kalo ada memang takkan aman opis...
2. JENIS CAKAP BESAR -- beli baju mahal lah... husband dia bagi hadiah lah gelang emas  tebal macam rantai kapal ... anak dia ada 3 handphone lah... --- padahal masa sama-sama gie kursus kat KL, aku bawak hang pi shopping tempat mahal-mahal tak plak hang beli... Aku bawak pi jalan TAR hang borong abih.. baju kurung yang murah : RM30 sepasang???. .. abih mana mai baju yang konon mahal tue... ( yang nie kalo ada bahaya jugak boleh menyebabkan telinga kita berdarah... tak larat dengar...  hehehe...)
3. JENIS YANG SUKA MENGAMPU PASTUE PIJAK KEPALA ORANG LAIN --- hg nak mengampu.. hang mengampu lah aku tak kisah pun.. tapi pasal apa hang mengampu dengan pi sampai cerita kat boss dia nie lagu nie, dia nie lagu tu.... bila boss kata kat hang nanti buat kerja nie ok?? Hang pun jawab baik!!! Tapi pasal apa bila sampai kat unit kita hang habaq kata boss suruh semua buat.. hang cakap hang pun banyak kerja... pasal apa tak habaq kat boss hang banyak kerja.. pastue bila dah siap, hang habaq kat kami bagi boss suruh hang kumpul bagi kat hang... hang pun bagi kat boss.. habaq kata dah siap dah... yang dapat pujian hang sorang je... kesian kat kawan lain...
4. DALAM MEETING CAKAP YA... BOLEH BOSS.... sebelum masuk meeting hang habaq kat kami boss tak patut buat macam nie, macam nie.. pastu hang habaq kat aku.. habaq lah dalam meeting... aku tak pandai cakap dalam meeting.. yang aku pun percaya hang tu kawan aku... dalam meeting pun memberikan cadangan yang menentang boss.. tapi bila boss tanya hang... hang jawab.. saya setuju dengan cadangan boss.. padahal yang aku tolong cakap tue cadangan hang.... JEBON tul...
tapi hakikatnya silap aku jugak... lurus sangat... percaya sangat cakap kawan-kawan yang sebenarnya bukan kawan...
nielah worst working experience yang pernah dialami... Tapi boleh bertahan 6 tahun.. kira hebat erkk... Tapi tak lama dah aku nak jadi boss korang... tulah aku cakap jgn pandang orang sebelah mata.. Kan dah sendirik yang termalu... macamana...? ??

25 Apr 2010

MAKAN DENGAN SYAITAN


Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis bahawa Muhammad ibn 'Ubayd telah menceritakan kepada kami, 'daripada Abdullah ibn Umar da  daripada Nafi' daripada Ibn 'Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Janganlah kamu makan dan minum menggunakan tangan kiri kerana syaitan makan dan minum menggunakan tangan kiri." (HR. Imam Ahmad)
Imam Ahmad meriwayatkan melalui hadis Ismail ibn Abu Hakim daripada Urwah daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang makan menggunakan tangan kiri, sesungguhnya dia makan bersama syaitan. Barangsiapa minum dengan menggunakan tangan kiri, sesungguhnya dia juga minum bersama syaitan." (HR. Imam Ahmad)
Imam Ahmad berkata bahawa Muhammad ibn Jaafar telah menceritakan kepada kami, Shu'bah relah memberitahu kepada kami daripada Abu Ziyad al-Tahan yang mendengar Abu Hurairah r.a. mengatakan bahawa beliau telah mendengar daripada Nabi SAW bahawa, "Baginda telah melihat seorang lelaki yang minum sambil berdiri. Lalu baginda menegur lelaki itu dengan bersabda, "Awas!" "Kenapa?", tanya lelaki itu dengan nada terkejut. Nabi SAW menjawab, "Adakah engkau suka jika engkau minum dengan seekor kucing betina?" "Tidak," jawabnya. Sambung Nabi SAW lagi, "Sesungguhnya ketika kamu minum tadi, ada makhluk yang lebih buruk daripada kucing telah minum bersama kamu iaitu syaitan." (HR. Imam Ahmad)
Imam Ahmad juga telah meriwayatkan bahawa 'Abd al-Razzaq telah menceritakan kepada kami daripada al-Zuhriy daripada seorang sahabat daripada Abu Hurairah r.a. mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, "Jika seseorang yang minum sambil berdiri, tahu apa yang ada di dalam perutnya nescaya dia akan muntah kembali." (HR. Imam Ahmad)
Imam Ahmad berkata bahawa Musa telah  daripada Ibn Zubayr bahawa beliau telah bertanya kepada Jabir, "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Apabila seorang lelaki memasuki rumahnya sendiri, lalu dia menyebut nama Allah SWT ketika dia masuk dan ketika dia makan, syaitan akan berkata (kepada kaumnya), "Kamu tidak dapat tinggal dan makan disini." Apabila lelaki itu masuk ke rumahnya tanpa membaca nama Allah SWT, syaitan akan berkata (kepada kaumnya), "Kamu dapat tinggal dan makan di sini." Jabir berkata, Ya! Benar katamu itu." (HR. Imam Ahmad)

21 Apr 2010

ADAKAH LALUAN ANDA BETUL ?...


LALUAN MENUJU KE KUBUR
a. Jauhkan dari perbuatan mengumpat & mengeji
b. Hindarkan perasaan irihati (benci)
c. Jangan terpengaruh dengan harta dunia
d. Sucikan kadha' hajat dgn istibra (berdehem selepas buang air kecil!)
LALUAN UNTUK BERJUMPA IZRAIL
a. Bersihkan diri dengan bertaubat
b. Gembirakan hati orang Mu'min
c. Bayar semula kadha' (solat & puasa) yang tertinggal d. Kasih sepenuh hati kepada ALLAH Taala
LALUAN UNTUK BERTEMU MUNGKAR NANGKIR
a. Mengucap dua kalimah syahadat
b. Suka memberi sedekah
c. Berkata benar
d. Bersihkan dan perbaiki hati
LALUAN UNTUK MEMBERATKAN TIMBANGAN

a. Belajar atau mengajar ilmu yang bermanafaat
b. Sucikan perkataan dan pakaian
c. Bersyukur dengan yang sedikit
d. Suka dan redha dengan yang didatangkan oleh ALLAH
LALUAN MEMANTAPKAN AMALAN
a. Jauhkan perkataan yang sia-sia
b. Pendekkan cita-cita dunia
c. Banyakkan puji-pujian kepada ALLAH
d. Banyakkan sedekah dan khairat
LALUAN MELALUI TITIAN SIRAT AL-MUSTAKIM
a. Kasihilah aulia ALLAH Ta'ala
b. Berbaktilah kepada kedua ibubapa
c. Berpegang teguh dengan hukum syara'
d. Bercakap perkataan yang baik sesama makhluk
LALUAN MENJAUHKAN DIRI DARI NERAKA
a. Banyakkan membaca al-Quran
b. Banyakkan menangis kerana dosa-dosa yang lalu
c. Tinggalkan perkara yang maksiat
d. Jauhkan segala yang haram
LALUAN UNTUK MEMASUKI SYURGA
a. Membuat kebajikan seberapa banyak yang boleh
b. Kasihi orang yang soleh
c. Kerjakan segala suruh-suruhan ALLAH
d. Merendahkan diri di antara semua makhluk ALLAH
LALUAN BERJUMPA DENGAN NABI MUHAMMAD

a. Kasihilah Nabi ALLAH
b. Kasihilah Rasulluah
c. Tuntutilah yang difardhukan oleh ALLAH
d. Banyakkan selawat Nabi S. a. w.
LALUAN UNTUK BERTEMU ALLAH
a. Serahkan seluruh jiwa raga kepada ALLAH
b. Hindarkan diri dari menderhaka kepada ALLAH
c. Betulkan dan baikkan i'tiqad kepada ALLAH
d. Bencikan segala yang diharamkan-Nya

20 Apr 2010

BERCAKAP BANYAK ?..

KEBOLEHAN BERCAKAP:
  • Di antara keistimewaan yang Allah anugerahkan kepada manusia ialah kebolehan bercakap.
  • Oleh itu boleh "bercakap" itu ada lah juga amanah Allah kepada manusia.
  • Orang mukmin hendak lah berfikir terlebih dahulu sebelum bercakap.
  • Takut takut "cakap" nya itu di benci orang dan di murkai Allah.
Islam menganjurkan manusia apa bila hendak bercakap kena hati hati saperti yang di sabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Barang siapa yang beriman dengan Allah dan Akhirat hendaklah ia bercakap yang baik atau diam sahaja."
Orang yang bercakap mempunyai tujuan yang berbeza beza.Dan boleh di kategorikan saperti berikut:
  1. Golongan cakap orang merapu
  2. Golongan orang peramah
  3. Golongan kaki cakap
  4. Golongan cakap sebagai pejuang
  5. Golongan cakap orang politik
  6. Golongan cakap orang pendiam
  7. Golongan cakap orang sombong
  8. Golongan cakap orang biasa
  9. Golongan cakap cakap nak perdaya
  10. Golongan petah bercakap
  11. Golongan cakap hendak tunjuk pandai
  12. Golongan cakap cakap kotor dan lucah
  13. Golongan cakap suka memaki
Selain dari di atas ada peringkat peringkat yang bercakap ialah:
  1. Bercakap perkara yang perlu sahaja
  2. Bercakap yang terpaksa
  3. Bercakap kerana kewajiban
  4. Tidak suka bercakap
  5. Bercakap yang sengaja di sukat kerana menjaga status
  6. Bercakap yang menggoda.

19 Apr 2010

CABAR DIRI UNTUK BERJAYA


Dalam sebuah artikel motivasi yang saya baca, katanya untuk berjaya kita kena ada prinsip 3S – Sasaran, Strategi, Sikap.Nak berjaya, orang lain tak boleh paksa-paksa. Keinginan mahu berjaya tu kena timbul dengan sendirinya dari dalam diri Anda.
Cetusan untuk berjaya biasa datang dari orang-orang sekeliling. Kekadang orang perlekeh kita, orang pandang rendah kita, kekadang orang memijak-mijak potensi diri kita. Dek tak tahan asyik di ‘buli’ dan direndah-rendahkan, kita tekad nak berjaya sebab kita mahu buktikan yang kita boleh mencapai sesuatu, memiliki sesuatu mengalahkan mereka.
Kejayaan sekarang diukur dari aspek material dan kewangan.Dalam masyarakat kita, kejayaan seseorang di ukur dari dua aspek tadi – harta dan duit. Anda masih dianggap kurang berjaya bila harta Anda cuma sedikit. Orang akan pandang Anda sebelah mata apabila duit Anda masih sedikit.
Saya menyeru Anda supaya mencabar diri sendiri untuk berjaya. Memiliki material dan sumber kewangan besar yang mantap tak salah, janji niat kita empamerkannya adalah untuk dijadikan sumber inspirasi pada orang-orang lain di sekeliling kita.
Jangan nak menunjuk-nunjuk dah le.
Hati kita sendiri pun kena dikontrol. Sebab bila dah berharta dan berduit, kita terdorong untuk bersikap riak.Orang lain hatta mak bapak kita sendiri tak boleh paksa kita nak berjaya. Makin diorang paksa, makin keras kepala kita.
Kita akan makin tak nak. Contohnya? Berjaya dalam pelajaran.Mak suruh belajar, bapak suruh belajar. Makin di suruh belajar, makin kita tak nak. Pelajar yang cemerlang mahu cemerlang sebab kemahuan tu timbul dari keinginan diorang sendiri. Tak dipaksa. Cepat atau tidak keinginan kita nak berjaya tu muncul bergantung pada diri kita, khususnya matlamat kita. Apabila kita tahu apa yang kita nak capai, secara otomatik keinginan untuk berjaya tu akan timbul serta merta, membara dan makin membara dari sehari ke sehari.
Makin kita ingat apa yang kita nak capai, makin bersemangatlah kita jadinya.
Mulai hari ini, seperti yang saya katakan tadi, saya menyeru Anda, mengajak Anda mencabar diri untuk berjaya.
Saya cabar Anda, Anda cabar saya balik.Masing-masing kita saling cabar mencabar. Bukan mencabar apa, mencabar diri untuk berjaya. Sebagai seorang blogger, saya mencabar diri saya untuk menghasilkan banyak artikel berkualiti, bukan sembarang punya artikel, saya pentingkan kualiti.
Kat dalam blog ni, saya tak ada Editor. Jadi, saya baca artikel tu banyak kali, padam banyak kali, ubah banyak kali sampai betul-betul puas hati. Sebelum 1 artikel keluar. Sebagai seorang pekerja, saya cabar diri saya buat kerja sehabis baik, sebaik mungkin, sebagus mungkin, sehebat mungkin, serajin mungkin, sekualiti yang mungkin. Saya tak kisah pasal politik pejabat. Yang penting, kerja saya siap on-time, kualitinya bagus dan memenuhi kriteria ketua saya. Ketika bekerja, saya lebih pentingkan professionalisma.
Agama Islam mengajar kita jadi berdisiplin. Buktinya, orang yang menyempurkan sembahyang di awal waktu, ganjaran pahalanya lebih baik dari orang yang bersembahyang di akhir-akhir waktu. Islam memberi amaran pada umatnya yang melambat-lambatkan sembahyang, yang melengah-lengahkan waktu sembahyang, bahkan memberi amaran yang amat keras pada orang yang suka bersembahyang di akhir waktu.
Ingat 3 S tadi - Sasaran, Strategi, Sikap.

18 Apr 2010

pokok punya motivasi


Tahukah Anda bila kita selalu dekat dengan pokok, kita akan rasa tenang, bersemangat dan penuh dengan inspirasi? Mungkin Anda kurang menyedari hal ini.
Kita jadi bersemangat apabila kita selalu hampir pada alam terutama hampir dengan pokok dan rumput-rumput hijau. Orang-orang Barat cepat mencapai kemajuan kerana mereka suka bersantai di taman bersama keluarga. Dekat pada pokok-pokok dan alam semulajadi menjadi kebiasaan buat mereka.
Oleh kerana mereka dekat dengan alam, fikiran mereka jadi lebih positif sebab mereka merasa tenang sentiasa sedangkan ramai daripada mereka bukan beragama Islam seperti kita. Dari fikiran positif, tindakan mereka lebih banyak mengarah kepada tindakan positif lantas membuat mereka banyak mencapai pencapaian-pencapaian positif.
Pokok mempunyai tenaga positifnya tersendiri. Tenaga positif ini dipanggil ‘prana’.
Tiap kali kita duduk berhampiran pokok atau kita duduk 30-60 minit di bawah pokok yang besar, sedar tak sedar tubuh kita menyerap pancaran tenaga positif yang terpancar dari pokok melalui kulit tubuh kita. Kesannya, fikiran kita berubah jadi tenang dan kita berada dalam emos santai.
Bila kita sudah tenang dan santai, kita jadi bersemangat. Bila sudah bersemangat, rasa gusar, risau dan tertekan hilang tiba-tiba.
Masalah yang kita fikirkan nampak penyelesaiannya. Fikiran yang  berserabut seolah-olah jadi ‘ringan’ tak semena-mena.
Tiap kali Anda berasa resah, gelisah, hati terluka, bawa diri Anda duduk bersendirian di bawah pokok. Tak jumpa pokok yang besar, cari pokok yang rimbun dan dekatkan diri Anda pada pokok tu terutama di taman-taman yang suasananya tenang. Lebih kerap Anda berada hampir dengan pokok, lebih bermotivasilah Anda. Ni satu terapi diri yang baik, mudah dan murah

17 Apr 2010

APA PUNCANYA.....RENUNG SEJENAK ?.


Sabda Rasulullah s.a.w. "Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)" dimana yang nak dipukul tu? Tapak kakinya... .. bukan muka, punggung, telinga dan ditempat-tempat yang sensitif... . itu salah...
"Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau peluk mereka sebagai tanda penghargaan. Kala umur mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan .. Tetapi selalunya usia beginilah ibu bapa mula merenggangkan hubungan dan ini menyebabkan anak derhaka".Yang penting anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan sayang, maka mereka tidak akan tergamak menderhaka . "Saya pernah tinjau, anak-anak yang lari daripada rumah, berpunca daripada rasa bosan. Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumahnya. Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di rumah. Yang penting dia balik ke rumah suka, dan pergi sekolah pun seronok. "Mungkin ibu bapa punya alasan tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk.
Kita boleh cuba cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah tidur, pergi bilik dan cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup." Jangan kita tunjuk sikap kita yang panas baran, pemarah dan ada kuasa veto kepada mereka, jangan suka mengherdik mereka dengan perkataan "bodoh, kurang ajar, sumpah seranah dan sebagainya yang merupakan doa kepada mereka". inilah yang menyebabkan mereka derhaka kepada kita...
DOA ANAK-ANAK TERMAKBUL
Lazim orang tua, pantang anak menegur walaupun tahu mereka bersalah. Jangan rasa tercabar kerana pesan orang tua-tua, bisa ular tidak hilang walau menyusur di bawah akar. Sayyidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima. Begitu juga dengan Rasulullah, kalau berjumpa anak-anak kecil, Baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak tidak berdosa. Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah. Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegur pun dengan ekor mata dan herdikan. Si anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka mengadu, bila jumpa kawan baik tidak mengapa, tetapi jumpa yang samseng, ia sudah tentu membawa padah.
BERTAUBAT SEBELUM MELARAT
Jika Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat. Tetapi apa caranya jika orang tua telah meninggal sedangkan sewaktu hidupnya kita derhaka dan melawan mereka? Bila insaf, selalulah ziarah kubur emak ayah kita dan bacakan ayat-ayat suci untuknya. Jumpa semula kawan-kawan baik ibu atau jiran-jiran yang masih hidup dan buat baik dengan mereka. Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu redha dan Allah ampunkan dosa.
Allah maha pengampun dan luas rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala turun. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Misalnya tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, selidik apa salah yang telah kita buat hari ini. Pertama bagaimana hubungan kita dengan Tuhan, jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan dengan ibu? "Pastikan hubungan dengannya sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalinkan hubungan yang baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita."
HUBUNGAN DENGAN BAPA
Lazim ibu yang dilebihkan, sedangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak-anak. "Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, nabi suruh utamakan ibu dahulu.. Tiga kali ibu barulah sekali kepada bapa." Bagaimanapun sebaik-baiknya, kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati. Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depanmereka. Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak ambil kira kata-kata mereka tetapi kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua."
USAH DERHAKA KEPADA MENTUA
Mentua mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri.. Kalau mereka kecil hati, samalah seperti tersinggungnya hati emak. Kita sayang anaknya kenapa tidak sayang orang yang melahirkannya juga? "ada menantu kecil hati dan pendam perasaan terhadap mentua yang terlalu ambil berat tentang anaknya. Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung,"
Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri. Isteri kena faham, kalau dia sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang wajar. "Sebaliknya anak perempuan, yang pertama Allah, kedua rasul dan ketiga suami.. Jalan pintas ke syurga bagi anak-anak selain Allah adalah emak dan ayahnya. "Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu. Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail. Suatu hari, Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah isterinya pun tidak kenal dengan mentuanya. Menantu berkasar menyebabkan Nabi Ibrahim kecil hati. Dan sebelum balik dia berpesan kepada menantunya suruh suaminya tukar alang rumah kepada yang baru. Bila Nabi Ismail balik, isterinya pun menggambarkan rupa lelaki tersebut menyampaikan pesan. Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya. Nabi Ismail insaf di sebalik simbol kata-kata ayahnya, bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan. Nabi Ismali berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa NabiIbrahim. Nabi Ibrahim tertarik hati dan sebelum balik berpesan lagi, katakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain.

FIKIR-FIKIR ?...


Pastinya rutin harian kita berbeza dengan rutin kehidupan haiwan, atau dengan manusia yang bukan  Muslim. Sepatutnya berbeza. Sewajarnya berbeza. Kadang-kadang dalam kesibukan hidup ini, kita tidak sempat untuk berfikir isu-isu begini. Kita sibuk dan kita disibukkan atau kita menyibukkan diri kita sendiri!
Kita mungkin sibuk kerana kita hanya berfikir tentang 'cari makan atau mencari duit untuk makan dan perkara yang berkisar disekitarnya .. kerjaya, kontrak, naik pangkat, perniagaan, kebun...'. 
Itu menjadi agenda utama hidup kita seharian. Itu yang terdetik di fikiran kita apabila kita membuka mata di waktu pagi.  Itu juga mungkin yang menjadi bahan lamunan kita ketika hampir melelapkan mata.
Kita mungkin disibukkan atau menyibukkan diri dengan bahan hiburan yang tiada penghujung. Buka mata pasang radio.. sibuk dengar lagu, masuk kereta.. sibuk dengar musik, masuk ofis.. sibuk dengar gossip,  balik..dalam kereta.. sibuk lagi dengar lagu.., malam.. sibuk tengok TV, tengok wayang  dan pelbagai lagi..  
Masa bilalah boleh kita peruntukkan sedikit masa untuk memikirkan perkara yang besar dan penting bagi kita? Sambil anda berada di depan komputer, rehatkan mata anda.  Pejamkan mata dan bayangkan jawapan bagi persoalan ini.  Sambil anda berada di dalam pengangkutan awam, pejamkan mata anda dan jawab persoalan ini.  Ketika anda di rumah sebelum tidur dan cuba melelapkan mata, bayangkan  seketika persoalan di bawah. 
Sambil anda memandu, perlahankan sedikit hi-fi stereo kereta anda dan bayangkan bagaimana kita boleh mendapatkan jawapan kepada persoalan ini.
“Apa beza hidupku dengan kehidupan haiwan? Berbezakah hidupku dengan haiwan?”“Apa beza hidupku dengan hidup orang kafir? Berbezakah hidupku dengan orang kafir??”

“ Hendak ke mana aku sebenarnya dalam hidup ini?” " Ke mana aku selepas matiku nanti?
"
Fakir-fikir, renung-renung dan muhasabahlah diri…

16 Apr 2010

10 AMALAN TERBALIK


Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-
1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.
4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.
6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
7.. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.
8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.
9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.
10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.
11. Kita cukup teruja untuk meng'forward'kan sms atau emel dalam bentuk gossip2 artis kepada kawan2. Malah kebanyakkan sms emel tersebut tidak benar dan boleh menjatuhkan maruah org lain. Tapi kenapa susah sangat nak forward emel2 peringatan sebegini kepada kawan2 kita??.....
Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita. Sabda Rasullullah SAW: 'Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat.' (Riwayat Bukhari)
Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

Masjid Solatiah GR

http://picasion.com