Dikuasakan oleh Blogger.

About Me

Foto Saya
ipoh, perak
X KAGAT....?.

Blog Archive

SMS ampang ipoh 24 /6/ 11

gif webcam

DI SMA Chemor 13/5/12

pictures to gif

Di SMA Chemor

animated gif maker

Guru Pendidikan Islam Ulu Kinta Jun 13

http://picasion.com/i/1VkmT/

29 Dis 2011

Biodata Rasulullah Saw

Pepatah Melayu ada mengatakan "Tak Kenal, Maka Tak Cinta". Demikianlah sikap kita terhadap Rasulullah SAW. Seseorang itu tidak akan menyambut kelahiran Rasulullah SAW jika tiada perasaan cinta terhadap baginda. Malahan sesetengahnya langsung tidak mempedulikan Rasulullah SAW, seolah-olah tiada apa-apa keistimewaan dengan kelahiran dan pengutusannya. Menyedihkan lagi, sebahagian daripada umat Islam lebih mengingati kelahiran paderi ' St. Valentino ' daripada mengingati Rasulullah SAW, lebih mengingati biodata para artis daripada biodata Rasulullah SAW. Beginikah kecintaan kita kepada seorang kekasih dan utusan Allah SWT? Justeru itu kita harus berasa bertanggungjawab untuk memaparkan biodata dan kronologi hidup Baginda SAW untuk tatapan dan ingatan kita bersama agar kita lebih mencintai kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW.

BIODATA RASULULLAH SAW

· Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
· Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571
Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah
Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
· Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
· Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
· Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
· Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba
perempuan bapa Rasulullah SAW).
· Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
· Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali
Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).

USIA 5 TAHUN

· Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat
untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.

USIA 6 TAHUN

· Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa '
(sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah).
· Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN

· Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
· Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).

· Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan
perniagaan..
· Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira
(Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang
pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa
itu.

USIA 20 TAHUN

· Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ' Sirah ' ,
jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah
14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan
berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
· Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' ; perjanjian damai untuk memberi
pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.

USIA 25 TAHUN

· Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah
binti Khuwailid Al-Asadiyah.
· Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.
· Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya
yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk
meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
· Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN

· Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah.
· Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk
Makkah.
· Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ke
tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan
batu tersebut.

USIA 40 TAHUN

· Menerima wahyu di gua Hira ' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul
akhir zaman.

USIA 53 TAHUN

· Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar
Al-Siddiq.
· Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN

· Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12
Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW

§ Khadijah Binti Khuwailid.
§ Saudah Binti Zam'ah.
§ Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
§ Hafsah binti ' Umar (anak Saidina ' Umar bin Al-Khattab).
§ Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
§ Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
§ Zainab Binti Jahsy.
§ Maimunah Binti Harith.
§ Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
§ Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin ' ; Ibu Orang Miskin).

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW

1. Qasim
2. Abdullah
3.. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra '

ANAK TIRI RASULULLAH SAW

Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina
Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah,
Khadijah adalah seorang janda).

SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW

IBU SUSUAN/SAUDARA SUSUAN
1. Thuwaibah 1. Hamzah
2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad

SAUDARA SUSUAN

1. Halimah Al-Saidiyyah 1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
2. Abdullah bin Harith bin Abdul ' Uzza
3. Syaima ' binti Harith bin Abdul ' Uzza
4. ' Aisyah binti Harith bin abdul ' Uzza

BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW
(ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)


1. Al-Harith
2. Muqawwam
3. Zubair
4. Hamzah ***
5. Al-Abbas ***
6. Abu Talib
7. Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
8. Abdul Ka ' bah
9. Hijl
10. Dhirar
11. Umaimah
12. Al-Bidha (Ummu Hakim)
13. Atiqah ##
14. Arwa ##
15. Umaimah
16. Barrah
17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) ***

*** Sempat masuk Islam.
## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.

Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai
aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam
syurga." (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )

اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه وسلم

Nabi Muhammad SAW - Manusia agong

KENALI NABI MUHAMMAD S.A.W. SECARA LAHIRIAH

Begitu indahnya sifat fizikal
Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua
muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran
apa yang disampaikan oleh Baginda.

Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:

- Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah saw..
- Aku melihat cahaya dari lidahnya.
- Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari
terbit.
- Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
- Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
- Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
- Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.
- Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
- Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
- Wajahnya seperti bulan purnama.
- Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
- Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa
marah.
- Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.
- Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli
di bahagian sudut.
- Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali
pertama kali melihatnya.
- Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
- Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
- Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
- Janggutnya penuh dan tebal menawan.
- Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.
- Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
- Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
- Rambutnya sedikit ikal.
- Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah
bahu tapi disisir rapi.
- Rambutnya terbelah di tengah.
- Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur
dari dada ke pusat.
- Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya
lebih drpd biasa.
- Seimbang antara kedua bahunya.
- Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar
dan tersusun dgn cantik.
- Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
- Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.
- Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
- Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
- Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan
putih.
- Warna putihnya lebih banyak.
- Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
- Warna kulitnya putih tapi sihat.
- Kulitnya putih lagi bercahaya.
- Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh.
- Badannya tidak gemuk.
- Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran
sederhana lagi kacak.
- Perutnya tidak buncit.
- Badannya cenderung kepada tinggi, semasa berada di kalangan org ramai
baginda kelihatan lebih tinggi drpd mereka.

KESIMPULANNYA :

Nabi Muhammad sa.w adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh
sepanjang zaman.
Baginda adalah semulia-mulia insan di dunia.

sumber: www.idhamlim.blogspot.com

28 Dis 2011

Jangan Pentingkan Diri Sendiri

Maksud hadis: Dari Abu Hurairah r.a. katanya:Bersabda Rasulullah SAW: 
Tiga macam orang bukan saja tidak akan mendapat layanan dan ampunan pada hari kiamat kelak, bahkan akan mendapat seksa yang pedih:
1. iaitu seorang yang mempunyai kelebihan air di tengah padang pasir, sedangkan ia tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan.
2. seorang yang menjajakan barang dagangannya sesudah lewat waktu Asar sambil bersumpah dusta bahawa pokoknya sekian-sekian dan dipercayai oleh si pembeli.
3. seorang lagi yang membai'at pemimpin hanya untuk maksud manfaat keduniaan; apabila kelak maksudnya tercapai, ia patuh dan jika tidak, ia mungkir (berpaling tadah).
Huraian Hadith: 
Jujur dan telus adalah sifat yang datang dari dalam jiwa insan yang beriman. Orang-orang yang selalu mementingkan dirinya tidak akan memikirkan kepentingan orang lain sebaliknya akan sanggup berbuat apa sahaja asalkan hajatnya tercapai. 
Dalam hal ini kehidupan kita bukanlah bersandarkan kehendak hawa nafsu tetapi ia perlu kepada semangat kekitaan dan kasih sayang yang mengenepikan segala unsur peribadi yang menjadikan seseorang itu lupa diri dan lupa saudara. Seharusnya apa sahaja yang dilakukan hendaklah bermula dari niat yang betul dan ikhlas. Kedua-dua sifat tersebut menentukan sejauhmanakah kita bepegang pada prinsip walaupun di akhirnya kita terpaksa berkorban.
jakim....

23 Dis 2011

Pagar Diri

Maksud Hadis: Dari Jabir r.a, katanya dia mendengar nabi s.a.w bersabda: 
Apabila ada di antara kamu yang tergoda hatinya kepada seorang wanita maka hendaklah dia pulang kepada isterinya untuk melepaskan rasa rindunya. Sesungguhnya yang demikian itu dapat mententeramkan gejolak hatinya.
Huraian Hadith:
Rumah tangga orang beriman adalah benteng mempertahankan maruah dan harga diri. Rumah yang didiami bukan sekadar tempat berlindung dari panas dan hujan bahkan ia merupakan tempat untuk beristirehat, membina kasih sayang antara ahli keluarga, anak dan isteri dan mencari keredhaan Allah S.W.T. Sesungguhnya, alasan yang paling kukuh mengapa manusia itu perlu berkahwin adalah disebabkan tuntutan psikologi. 
Dengan perkataan lain ia adalah fitrah yang dijadikan oleh Allah S.W.T. Maka atas tuntutan tersebut, tanpa adanya perkahwinan kadangkala manusia akan terjerumus ke lembah perzinaan dan maksiat. Sebab itulah Islam memuliakan sebuah perkahwinan dan amat menggalakkan umatnya supaya berkahwin sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
"Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)." (Bukhari)

12 Dis 2011

Dilarang memohon untuk mati

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud: Janganlah ada diantara kamu yang bercita-cita hendak mati. Sekiranya ia seorang yang baik mudah mudahan ia dapat menambahkan lagi kebaikan, dan sekiranya ia seorang yang jahat mudah mudahan ia dapat bertaubat kepada Allah.
Riwayat Hadith Al-Bukhari dan Muslim
Huraian Hadith: 
1. Haram hukumnya bagi seseorang muslim bercita cita dan berdoa untuk mati apabila hidup didalam kesengsaraan dan menderita.

2. Setiap mukmin yang panjang umurnya mempunyai banyak peluang untuk ia beramal ibadat kepada Allah sebagai bekalan di akhirat nanti.

3. Islam tidak membenarkan umatnya bercita cita untuk mati, tetapi menggalakkan umatnya supaya bercita cita untuk menambahkan ilmu pengetahuan demi kemajuan ummah.

23 Nov 2011

golongan yang dilaknat

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Bersabda Rasulullah s.a.w.:
Tiga macam orang bukan saja tidak akan mendapat layanan dan ampunan dari Allah pada hari kiamat, bahkan akan mendapat siksa yang pedih; iaitu si tua bangka yang berzina, raja atau kepala negara atau penguasa yang pendusta dan fakir yang sombong.
Huraian Hadith: 
Setiap perbuatan berdosa adalah dikira sebagai maksiat kepada Allah SWT. Orang yang tidak pernah bertaubat daripada dosa yang pernah dilakukannya akan ditimpa laknat daripada Allah dan di akhirat kelak akan mendapat hukumannya. Tiga golongan yang disebutkan di dalam hadith di atas melambangkan tentang besarnya kesalahan dan dosa yang dilakukan memandangkan perkara-perkara tersebut sewajarnya tidak berlaku pada orang-orang yang menggunakan akal fikiran dan benar-benar menyedari hakikat diri mereka. Hanya orang yang keras hati dan mati jiwanya sahaja tidak takut akan kemurkaan Allah SWT dan tanpa mempedulikan kebenaran kewujudan hari pembalasan, mereka sanggup melakukan apa sahaja mengikut hasutan hawa nafsu sekalipun ia jelas perbuatan terkutuk dan terlarang dan sekalipun manusia sekeliling amat membenci dan mengutuknya. 
jakim

16 Nov 2011

Amalan Yang Dituntut

Nabi s.a.w bersabda:
"Apabila Allah hendak membahagiakan seseorang hamba-Nya, Allah Taala menyeru Jibril dengan firman-Nya: "Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah engkau mengasihinya"; Jibril pun mengasihinya; kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit katanya: Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah kamu sekalian mengasihinya; dengan itu penduduk langit pun mengasihinya; setelah itu orang yang tersebut dikasihi dan diberi sambutan di bumi. Dan apabila Allah Taala bencikan seseorang hamba-Nya, Allah memanggil Jibril serta berfirman: "Sesungguhnya Aku bencikan si anu maka hendaklah engkau bencikan dia". Jibril pun membencinya; kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit, katanya: "Sesungguhnya Allah bencikan si anu maka hendaklah kamu sekalian membencinya"; dengan itu penduduk langit pun membencinya; setelah itu orang yang tersebut dibenci dan dipulaukan di bumi."
Riwayat: Abu Hurairah r.a 

ii) Orang yang mempunyai sifat dan amalan yang baik sesungguhnya amat dikasihi oleh Allah S.W.T. Dia juga disayangi oleh sekalian makhluk yang ada di langit dan bumi.

iii)Pengisytiharan kasih mahupun benci oleh Allah terhadap seseorang itu adalah sebagai memberi nilai yang sewajarnya agar kesan kebaikan dan kejahatan tersebut dapat dirasai oleh pelakunya di dunia sebelum ia menerima balasan sepenuhnya di hari akhirat.

iv)Kita selaku manusia biasa adalah tidak layak untuk menilai tentang buruk baiknya seseorang apalagi menghukum dan membenci manusia yang lain kerana hanya Allah sahaja yang berhak berbuat demikian.
Pengajaran Hadith:
i) Umat Islam dilarang melakukan perkara yang buruk dan dibenci agama dan masyarakat tetapi hendaklah sentiasa berbuat kebaikan.

Ii) Orang yang mempunyai sifat dan amalan yang baik sesungguhnya amat dikasihi oleh Allah S.W.T. Dia juga disayangi oleh sekalian makhluk yang ada di langit dan bumi.

Iii) Pengisytiharan kasih mahupun benci oleh Allah terhadap seseorang itu adalah sebagai memberi nilai yang sewajarnya agar kesan kebaikan dan kejahatan tersebut dapat dirasai oleh pelakunya di dunia sebelum ia menerima balasan sepenuhnya di hari akhirat.

iv) Kita selaku manusia biasa adalah tidak layak untuk menilai tentang buruk baiknya seseorang apalagi menghukum dan membenci manusia yang lain kerana hanya Allah sahaja yang berhak berbuat demikian.
sumber:jakim

11 Nov 2011

Menjaga Hati

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.
Huraian Hadith: 
i) Diri manusia terbahagi kepada dua iaitu fizikal dan spiritual. Spiritual tersebut termasuklah akal, nafsu, perasaan dan yang paling utama ialah hati kerana tindakan, prilaku dan sikap seseorang dipengaruhi oleh hati.

ii) Hati dan perasaan haruslah dijaga dari sifat-sifat yang merosakkan. Ia hendaklah dipandu ke arah jalan yang betul berdasarkan ajaran Islam yang sebenar. Jika tidak, hati akan dikuasai oleh nafsu dan syaitan yang menyebabkan pelbagai penyakit seperti hasad dengki, tamak, pemarah, riya' dan sebagainya. Maka untuk membersihkan hati yang kotor hendaklah membiasakan diri dengan berzikir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah.

27 Okt 2011

Suami dayus sebelum malam pertama

Saat menjadi raja sehari adalah saat yang sangat berharga bagi ramai pasangan yang telah lama bercinta. Setelah akad nikah dilafazkan di hadapan wali dan para saksi, maka sempurnalah syarat bagi mengisytiharkan mereka sebagai pasangan suami isteri yang sah. Malam pertama ditunggu-tunggu.

Ramai yang leka. Sebenarnya Perkahwinan adalah soal tanggungjawab. Lelaki yang menikahi itu adalah seorang khalifah (ketua) yang dilantik di dalam sebuah kerajaan yang dipanggil (keluarga). Maka, sangat besar dan berat akan tanggungjawab seorang suami khususnya di dalam misi memelihara maruah isterinya dan memimpin isterinya menuju ciri isteri solehah.

Malang sekali, ada ramai lelaki yang awal-awal bergelar suami, sudah pun bergelar DAYUS di sisi Allah. Memang amat berat penyataan ini, namun buktinya boleh dillihat nyata di dalam maysrakat Melayu kita hari ini.

Sewaktu akad nikah berlangsung, isterinya duduk tidak jauh di satu sudut sambil tersipu malu. Mukannya berseri dengan solekan tebal, anggun di sebalik baju pernikahan yang cantik dan rambut hitamnya bersanggul kemas, diselitkan sekuntum bunga mawar. Tetamu-tetamu lelaki bukan muhrim melihat aurat rambut isterinya yang tidak bertudung itu.

Kemudian, di saat persandingan pula, persalinan pun ditukar. Si suami dan isteri berarak menuju jinjang pelamin. Suami segak berbaju Melayu, bersamping dan bertanjak dan si isteri memakai tudung. Nampak lebih Muslimah tatkala melihat si isteri bertudung. Namun di bawah, terbujur sepasang baju pengantin yang sendat mengikut bentuk dada dan pinggang isterinya. Seperti ratu kebaya. Akibat rekaan sendat yang disengajakan, tetamu-tetamu majlis hari itu secara percuma dihidangkan dengan dua bonjolan cantik yang sangat ketara daripada dada isterinya. Bahagian lengan baju yang jarang menampakkan kulit lengannya yang putih melepak. Persalinan yang sendat hingga ke bahagian punggung dan peha akhirnya menyebabkan setiap kali isterinya berjalan, kain pengantinnya yang juga lembut melekat dan mengikut alur bentuk betis dan pehanya pada setiap langkah. Sangat seksi.

Para tetamu lelaki bukan muhrim yang berada di sekeliling terpaku melihat isterinya dan ada yang sambil memuji tuah si suami mendapat isteri yang cantik. Tetapi, di dalam benak nafsu serakah mereka, hanya Allah sahaja yang tahu. Nafsu mereka tercetus setelah melihat si isteri tadi dan beberapa di antara mereka sudah pun ‘merogol’ isteri lelaki tersebut di dalam fantasi kotor mereka. Kasihan, isteri itu telah ‘dinodai’ sebelum malam pertama bersama suaminya.

Pada saat raja sehari itu jugalah, secara rasminya si lelaki itu menjadi SUAMI YANG DAYUS. Dia telah mula menanggung dosa besar akibat maksiat mata dan akal yang telah dicetuskan oleh cara berpakaian isterinya yang tidak memelihara aurat dengan sempurna.

Jadi, apa pengajarannya wahai bakal-bakal pengantin sekalian ? Sila ambil berat soal aurat bakal isteri anda. Jangan awal-awal sudah jadi DAYUS ! [
]

 http://www.kedahlanie.info/

25 Okt 2011

Sifat-sifat Mereka Yang Hidup Untuk Islam.

i. Benar-benar Terikat dan Menurut Ajaran Islam.
Iman itu bukanlah hanya dengan angan-angan sahaja, tetapi ia adalah suatu yang tertunjang di dalam hati dan dibuktikan oleh perbuatan. Di dalam firman Allah selalu sahaja mengaitkan antara iman dan amal. 

Di antaranya:
إِلَّا الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ
Yang bermaksud:
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. (Surah Al-Asr, Ayat: 3).

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنْسَوْنَ أَنْفُسَكُمْ وَأَنْتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Yang bermaksud:
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?. (Al-Baqarah: 44).

كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ
Yang bermaksud:
Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. (Surah As-Saff, Ayat: 3).

Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali berkata: "Dua lelaki telah memberi musibah ke atas diriku, pertama orang alim yang melanggar larangan agama dan kedua orang jahil yang beribadat. Si jahil memperdayakan orang ramai dengan ibadatnya manakala si alim pula memperdaya orang ramai dengan pelanggaran terhadap agama". Rasulullah s.a.w berwasiat kepada seluruh umat Islam supaya berjaya-jaga:

"Jadilah kamu orang-orang yang memelihara ilmu dan janganlah kamu menjadi tukang riwayat". (Riwayat Abu Nu'aim).

ii. Mengutamakan Kepentingan Islam.
Berhubung dengan tuntutan ini Rasulullah s.a.w bersabda:
"Berkisarlah kamu bersama-sama dengan Kitab Allah (untuk kepentingan Islam) di mana kepentingan berkisar-kisar".

Baginda juga bersabda:
"Sesiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat perihal orang Islam maka dia bukanlah dari golongan mereka".

Rasulullah s.a.w menjelaskan perkara ini secara langsung:
"Engkau memegang pos penting dari pos-pos Islam, maka (awas) jangan sampai musuh dapat terlepas dari pengawasan kamu".

Di dalam peperangan Uhud Saad bin Ar-Rabie' ditemui di dalam saat-saat menghampiri maut sedang di tubuhnya terdapat tujuh puluh liang luka kerana rejaman tombak, tetakan pedang dan tusukan panah, lalu ia menoleh kepada Zaid bin Thabit lalu berkata: "Katakanlah (sampaikanlah berita ini) kepada Rasulullah s.a.w, sesungguhnya saya telah mencium bau syurga dan beritahulah kaumku orang-orang Ansar, tidak ada keuzuran mereka di sisi Allah sekiranya mereka benar-benar ikhlas kepad Rasulullah s.a.w selama mata kamu masih belum pejam, kemudian di saat itu juga dia menghembuskan nafasnya yang terakhir".

iii. Merasa Mulia Dengan Kebenaran Islam dan Yakin Kepada Allah.
Ini adalah di antara sifat-sifat orang yang beriman.

Firman Allah s.w.t:
وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ
Yang bermaksud:
Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman.
(Surah Al-Munafiquun, Ayat: 8).

Firman-Nya lagi:
وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
Yang bermaksud:
Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.(Surah Aali Imraan, Ayat: 139).

Diriwayatkan pula bahawa ketika orang-orang Islam yang berhijrah mencari perlindungan kerana mempertahankan agama mereka di Habsyah, lalu mereka masuk menghadap raja Najasyi, lantas paderi dan pendeta yang ada di situ meminta mereka sujud untuk menghormati raja. Tetapi Jaafar bin Abi Talib yang menjadi ketua rombongan menjawab: "Kami adalah satu kaum yang tidak sujud kecuali kepada Allah".

Malah di dalam sejarah Islam kita menemui ratusan contoh yang memperlihatkan kemuliaan, ketegasan pendirian dan keberanian yang dirakamkan oleh generasi pertama umat Islam seperti Khubaib bin Adi, Zaid bin Ad-Dathanah, Rub'ie bin Amir, Mus'ab bin Umair, Said bin Jubair, Said bin Al-Musayyab dan lain-lain yang sewajar dipelajari perjalanan hidup mereka untuk dijadikan contoh teladan.

iv. Beriltizam Dengan Kerja-kerja Islam dan Kerjasama Dengan Aktiviti-aktiviti Islam.
Apabila saya mengaku sebagai seorang muslim, maka saya wajib bekerja untuk Islam. Saya patut bekerja dalam satu jemaah, bekerjasama dengan pendakwah lain yang menyeru kepada Allah dan menyuruh kepada kebaikan serta mencegah keburukan. Saya harus bekerja keras untuk mengujudkan individu muslim, rumah tangga muslim, masyarakat muslim dan negara yang benar-benar Islam.

Allah berfirman:
سَنَشُدُّ عَضُدَكَ بِأَخِيكَ
Yang bermaksud:
Kami akan menguatkan tenaga dan daya usahamu dengan saudaramu (Harun).
(Surah Al-Qasas, Ayat: 35).

Firman-Nya lagi:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Yang bermaksud:
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. ( Al-Maidah: 2).

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Seseorang muslim dengan seorang muslim yang lain laksana satu bangunan yang tersusun, saling kuat-menguatkan di antara satu sama lain".
Sabda baginda lagi:

"Tangan (atau pertolongan) Allah itu bersama jemaah. Sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang terpisah (dari kumpulannya)".
Sabdanya lagi:
"Kamu wajib bersama jemaah muslimin dan Iman (pemimpin) mereka".

Sabda baginda yang lain:
"Jemaah itu berkat".

"Jemaah itu rahmat dan perpecahan itu azab".

Petikan: Fathi Yakan

19 Okt 2011

Bagaimana Cara Saya Hidup Untuk Islam:


Supaya hidup ini terarah menurut lunas-lunas Islam maka beberapa masalah pokok haruslah difahami serta dihayati sebagai satu kewajipan.


Contohnya:
i. Mengenai Tujuan Hidup.

Firman Allah:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Yang bermaksud:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surah Az-Zaariyaat, Ayat: 56).

Firman Allah yang ke seterusnya:
وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
Yang bermaksud:
Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang ArasyNya berada di atas air (Dia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. (Surah Hud, Ayat: 7).

ii. Menginsafi Nilai Dunia Ini Dibandingkan Dengan Akhirat.

Firman Allah:
أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ
Yang bermaksud:
Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. (Surah At-Taubah, Ayat: 38).

Firman-Nya lagi:
ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
Yang bermaksud:
Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (Surah Aali Imran, Ayat: 14).

Diriwayatkan, pada suatu ketika Rasulullah s.a.w menghadap ke suatu tempat membuang sampah (mazbalah), lalu baginda memanggil para sahabat baginda sambil bersabda: "Ayuhlah, kejarlah dunia"; kemudian baginda mengambil cebisan kain yang telah usang dan tulang-tulang yang sudah reput sambil berkata: "Inilah dunia".

Menurut riwayat yang lain, pada suatu hari Rasulullah s.a.w melihat kepada bangkai anak kambing yang dibuang oleh tuannya lalu baginda berpaling kepada para sahabatnya dan bersabda: "Adakah kamu melihat betapa hinanya bangkai kambing itu di sisi tuannya, demi Allah dunia ini lebih hina di sisi Allah melebihi kehinaan kambing tersebut di sisi tuannya. Kalaulah nilai dunia ini menyamai nilai sebelah sayap seekor nyamuk nescaya Allah tidak akan memberi seteguk airpun untuk minuman orang kafir".

Baginda juga bersabda: "Hari kiamat semakin hampir sedangkan manusia semakin tamak-rakus kepada dunia dan mereka juga semakin jauh dengan Allah".

Baginda juga bersabda: "Dunia ini adalah penjara untuk orang mukmin dan syurga bagi orang kafir".

iii. Menginsafi Bahawa Maut Pasti Tiba.

Firman Allah:
كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ. وَيَبْقَى وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ.
Yang bermaksud:
Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa. Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan. (Surah Ar-Rahmaan, Ayat: 26 - 27).

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Yang bermaksud:
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Surah Aali Imran, Ayat: 185).

Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Yang bermaksud:
Sentiasalah mengingati pemusnah kelazatan dan pemisah golongan-golongan (iaitu kematian). (Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban).

Abu Zar Al-Ghiffari r.a berkata: "Saya berkata kepada Rasulullah s.a.w: Apakah kandungan Suhuf Nabi Musa?" Baginda menjawab: "Keseluruhannya adalah pengajaran". Aku merasa hairan terhadap orang yang yakin kepada kematian tetapi ia masih terus bergembira, Aku hairan kepada orang yang yakin tentang neraka tetapi ia masih ketawa, Aku hairan terhadap orang yang meyakini qadar ketentuan Allah tetapi masih kecewa, Aku hairan terhadap orang yang melihat dunia yang membolak-balik penghuninya tetapi ia masih merasa aman terhadap dunia, Aku juga merasa hairan terhadap orang yang meyakini adanya hisab di kemudian hari tetapi masih tetap tidak beramal (untuk bekalan)".

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa beliau keluar bersama-sama Rasulullah s.a.w mengiringi jenazah. Rasulullah s.a.w bersabda sambil duduk menghadap ke arah sebuah kubur: "Tiap hari kubur ini menyeru dengan nyaringnya: Hai anak Adam lupakan engkau kepada aku. Tidakkah engkau ketahui bahawa aku ini tempat keseorangan, tempat kesunyian, tempat cacing dan tempat yang sempit kecuali yang Allah lapangkan baginya". Kemudian baginda bersabda: "Kubur ini adalah salah satu taman dari taman-taman syurga atau (sebaliknya) salah satu lubang dari lubang-lubang neraka".(Diriwayatkan oleh Tabrani).

iv. Mengetahui Hakikat Islam.
Iaitu dengan mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu agama, dasar-dasar, hukum-hakam, yang halal dan yang haram.

Firman Allah s.w.t:
وَقُلْ رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا
Yang bermaksud:
Dan berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku. (Surah Taha, Ayat: 114).

Rasulullah s.a.w bersabda:
Yang bermaksud:
"Sesungguhnya ilmu itu hanya diperolehi dengan belajar dan kefahaman pula hanya didapati dengan mendalaminya, sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan pada dirinya, diberikan kefahaman yang mendalam di dalam urusan agama".(Riwayat Tabrani).

Rasulullah s.a.w bersabda:
Yang bermaksud:
"Sesungguhnya para Nabi tidaklah meninggalkan dinar dan dirham. Hanya mereka yang meninggalkan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya ia telah mengambil bahagian yang lumayan".
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

v. Mengetahui Hakikat Jahiliah.
Iaitu dengan meneliti ciri-ciri pemikiran jahiliah, aliran-aliran dan perancangannya. Di samping menyingkap akibat-akibat dan keburukannya. Dengan memahami hakikat ini kita tidak terperangkap ke dalajaring-jaringnya selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w:

Yang bermaksud:
"Sesiapa yang mempelajari bahawa suatu kaum ia terselamat dari rancangan jahat mereka".

catatan: Ustaz Fathi yakan 

10 Okt 2011

Bercita-cita Mati...?.

TERJEMAHAN HADIS:

Daripada Anas r.a katanya: telah bersabda Rasulullah s.a.w: janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu bercita-cita untuk mati disebabkan kerana musibah yang menimpanya.(tetapi) Sekiranya dia tepaksa juga berbuat demikian, maka ucapkanlah(berdoalah):Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan ini lebih baik bagiku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu adalah lebih baik bagiku (Mutafaq Alaihi- Buhkari & Muslim)

SYARAH AL-HADIS:

Hadis ini melarang kita mengharapkan atau berdoa supaya cepat mati kerana musibah atau bencana yang menimpa kita seperti sakit , kefakiran, ketakutan,ataupun sebab-sebab lain yang seumpama itu. Hal ini disebabkan bercita-cita supaya lekas mati boleh membawa kepada beberapa keburukan,antara lain:

1. Sikap tersebut (bercita-cita untuk lekas mati itu) menandakan bahwa oarang yang berkenaan tidak reda dengan musibah yang menimpanya. Pada hal kita disuruh agar banyak bersabar menghadapi cubaan Allah dan berusaha untuk mengatasinya. Sedangkan bercita-cita untuk lekas mati adalah bercanggah dengan prinsip di atas.

2. Sikap demikian juga dapat melemahkan jiwa, mendorong sifat malas dan putus asa. Padahal setiap kita dituntut agar membasmi sifat-sifat negatif tersebut. Dan berusaha keras melenyapkannya atau mengurangi semampu yang boleh dengan harapan semoga usaha kita itu mendapat restu dan taufiq Allah swt.

3. Sikap tersebut juga melambangkan kejahilan dan kebodohan orang berkenaan, Dia tidak tahu apa yang akan menimpanya setelah dia mati. Barangkali dugaannya meleset (tidak tepat), dikiranya dengan lekas mati dia boleh terlepas daripada penderitaan, rupanya di alam sana (barzakh dan alam akhirat) dia ditunggu oleh penderitaan yang lebih dasyat. Wallyadzu billah
MinDzaalik(semoga kita dilindungi oleh Allah daripada keadaan yang demikian.)

4. Sesungguhnya dengan kematian , bererti terputuslah atau berakhirlah kesempatan atau peluang seorang hamba daripada melakukan amal-amal salih yang sepatutnya ia lakukan bagi menambah bekalnya di akhirat nanti dan agar sisa umurnya dapat diisi dengan sesuatu yang bermakna. Dan bagaimana dia boleh bercita-cita untuk memutuskan kesempatan beramal, padahal
kalaulah satu bibit amal salih itu dia tanam dalam hayatnya di sini, nescaya dia akan memungut hasilnya kelak di akhirat lebih baik daripada dunia dan segala apa yang terdapat di dalamnya.

5. Dan yang paling merugikan ialah dengan sikap demikian maka akan luputlah daripadanya ganjaran yang amat besar. Pada hal jika dia bersabar menghadapi sesuatu ujian daripada Allah , maka dia akan mendapat bermacam-macam ganjaran Allah, antara lain, pengampunanan dosa, kasih sayang Allah dan ganjaran yang tidak terkira. Firman Allah:

Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.(Az-zumar:10)

Jadi atas dasar inilah maka pada akhir Hadis baginda Rasulullah s.a.w bersabda

(tetapi)Sekiranya dia tepaksa juga berbuat demikian, maka ucapkanlah(berdoalah):Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan ini lebih baik bagiku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu adalah lebih baik bagiku.

Dalam hal ini kita disuruh agar menyerahkan perkara berhubungan dengan hidup dan mati kita kepada Allah , Yang Maha Mengetahui tentang mana di antaranya yang lebih baik. Dia mengetahui kemaslahatan (kebaikan) hamba-Nya yang hamba-Nya sendiri tidak mengetahui. Ini berbeza dengan kandungan hadis Nabi s..a.w:

Janganlah hendaknya salah seorang daripada kamu berdoa: Ya Allah , ampunilah (dosa-dosa) ku jika engkau mahu, ya Allah, kasihanilah aku jika Engkau mahu. Tetapi hendaklah dia memohon dengan azam yang putus.

4 Okt 2011

Qiamat dah dekat ...?.

1.Sembahyang diabaikan (diringan-ringankan).

2.Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui iklan, buku, gambar, risalah,atau filem.


3.Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.


4.Perkara benar menjadi salah dan salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.


5.Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.


6.Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.


7.Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.


8.Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.


9.Fenomena lelaki berkahwin dengan lelaki (homoseksual) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.


10. Perempuan menguasai lelaki dengan memakai ubat guna-guna, sihir dan amalan syaitan lain.


11. Anak-anak mengingkari dan menderhaka ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).


12. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.


13. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.


14. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.


15. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya


16. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.


17. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.


18. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama.


19. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.


20. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.


21. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).


22. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah.


SUMBER :
http://www.facebook.com/Ustaz.Azhar.Idrus.Original

3 Okt 2011

Tiupan Sangkakala

Sangkakala pertama

Maksud surah Az-Zumar [68] Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya);……
Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi,….
Sangkakala itu berbentuk tanduk dan ditiup oleh Malaikat Israfil. Mengikut hadis, malaikat sudah ready (bersedia) untuk meniup, hanya menunggu arahan sahaja.
Abul-Laits juga telah meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata: Rasullullah s.a.w. bersabda: “Ketika Allah s.w.t. telah selesai menjadikan langit dan bumi, Allah s.w.t. menjadikan sangkakala dan diserahkan kepada Malaikat Israfil, maka ia meletakkannya dimulutnya melihat ke Arsy menantikan bilakah ia diperintahkan.” Saya bertanya: “Ya Rasullullah, apakah shur (sangkakala) itu?” Jawab Rasullullah s.a.w.: “Bagaikan tanduk dari cahaya.”
Tiupan sangkakala yang pertama untuk mematikan adalah perlahan, makin lama makin kuat. Masa ini orang Islam sudah tiada, dimatikan dengan angin. Saintis, orang kafir dan fasik mencari-cari punca bunci itu dengan segala teknologi yang canggih masa itu. Mereka mula takut dan panik, akhirnya “heart fail”, jantung mereka berhenti berdenyut dan matilah.
…kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya);…
Kecuali Malaikat Jibrail, Mikail, Israfil. Izrail dan 8 Malaikat yang memikul arasy.
Tersebut dalam surah Al-Haqqa [17] yang bermaksud: Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu
Arasy ini makhluk Allah yang terbesar.
Malaikat Izrail (malaikat maut) yang terakhir sekali mati, dia mencabut nyawanya sendiri. Ada juga riwayat yang mengatakan Jibrail yang terakhir mati. Dua-duanya betul. Jibrail malaikat yang terakhir mati berbanding malaikat dan makhluk lain. Izrail yang terakhir mati kerana tugasnya mengambil nyawa. Mereka mati bukan melalui tiupan sangkakala, tetapi dicabut nyawa.

Sangkakala kedua

Az-Zumar [68]……….kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta-merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).
Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata: Rasullullah s.a.w. bersabda: “Diantara dua kali tiupan sangkakala itu jaraknya empat puluh tahun (Tiupan untuk mematikan dan membangkitkan semula). Kemudian Allah s.w.t. menurunkan hujan air bagaikan mani orang lelaki, maka timbullah orang-orang mati bagaikan timbulnya tanaman (sayur-sayuran).
Dalam masa 40 tahun itu, dihapuskan bukit-bukau dan diratakan bumi ini seperti roti:-
Ta-Ha[106] Lalu Dia membiarkan tapak gunung-gunung itu (di bumi) rata lagi licin. [107] Engkau tidak akan melihat pada tapaknya itu tempat yang rendah atau yang tinggi.
Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Pada Hari Kiamat nanti bumi akan berubah seolah-olah menjadi sepotong roti yang dilambungkan oleh Tuhan Yang Maha Perkasa
…..
Az-Zumar [68]……….kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta-merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).
Tiupan yang kedua adalah untuk membangkitkan semula. Pada masa ini manusia sudah siap untuk bangun setelah dihidupkan kembali. Allah s.w.t. menurunkan hujan air bagaikan mani lelaki pekatnya dan warna kekuningan seperti air benih perempuan untuk menghidupkan kembali manusia dan makhluknya. 
Dalam surah Fatir [9]. Mksudnya …..lalu Kami hidupkan bumi sesudah matinya dengan (hujan dari awan) itu. Sedemikian itu pula kebangkitan manusia (hidup semula sesudah mati).
Setelah hujan selama sebulan siang dan malam, air masuk ke dalam bumi untuk memulihkan kembali manusia dengan air hujan yang masuk melalui tulang sulbi mereka (yang tidak dihancurkan).

Rujukan: nasbunnuraini.wordpress.com

8 Sep 2011

Manusia berwajah syaitan

Dalam sejarah kewujudan dunia, didapati Iblis adalah makhluk pertama yang menderhaka dan menentang hukum Allah SWT. Allah telah memerintahkan para Malaikat dan Iblis sujud kepada  Nabi Adam AS sebagai menghormati manusia makhluk Allah yang paling mulia. Para Malaikat mematuhi perintah Allah tetapi Iblis terus ingkar dan menderhaka perintah Allah. Sejak penentangan itu, Iblis berikrar akan terus menderhakai Allah dan akan memujuk manusia menyertainya menentang perintah Allah.

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 121:Maksudnya:Dan sesunggguhnya Syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantahmu; dan jika kamu menurut hasutan mereka, maka sesungguhnya kamu tetap menjadi orang musyrik.”.

Menurut Ulama, Syaitan adalah golongan kafir daripada Jin. Bapa mereka ialah Iblis. Syaitan adalah musuh utama manusia dan syaitanlah yang mengeluarkan Adam dan Hawa daripada Syurga. Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia tidak dapat memasuki syurga dan menjauhkan diri daripada jalan kearahnya. Walaupun demikian sifat syaitan, namun  masih ada manusia yang menurutnya dan meninggalkan syariat Allah SWT dan petunjuk para Nabi dengan menerima pujuk rayu syaaitan. Kerja Syaitan ialah:

 Pertama: Mewas-waskan manusia dengan melakukan tipu daya supaya  manusia berbuat kejahatan dan mengajak kearah keburukan dan kekejian.
 kedua: Menjadikan pekara-perkara buruk kelihatan baik pada pandangan pengikut-pengikutnya sehingga manusia tidak nampak keburukan.
 ketiga: Melalaikan manusia daripada melakukan tugas-tugas dakwah dan menjauhkan manusia daripada mengingati Allah.
 keempat, Syaitan akan meninggalkan dan membiarkan manusia pada saat genting apabila manusia telah terjebak mengikut telunjuk Syaitan.

Manusia yang berwajah Syaitan atau saudara Syaitan adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya dan menjadi pengikut jalan para perosak. Mereka ini tidak mendapat petunjuk dari Allah SWT sedikit pun. Di dalam hatinya terdapat sifat-sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, malah mendorong ke arah kemaksiatan dan kederhakaan kepada Allah SWT.

Sayidina Ali RA berkata: “yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran.”

  Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 21: Maksudnya : "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh melakukan perkara yang keji dan yang mungkar.

Mereka yang dikalahkan oleh hawa nafsunya, kebatilan menguasai hati dan menyangka bahawa Syaitan adalah teman karibnya sehingga menjadi pengikut dan bertopengkan Syaitan, maka ingatlah bahawa musuh Allah SWT ini sentiasa mengintai-intai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam.

Manusia yang berwajah Syaitan licik memutarkan kata-kata, manis bibirnya, bijak melaksanakan program-program Syaitan. Antaranya dengan melakukan pujuk rayu , bisikan, tipu daya, fitnah dan kata-kata nista.  Pujuk rayu merupakan bahagian terpenting dari seluruh langkah-langkah program Syaitan, kerana ianya tersembunyi dan boleh menimbulkan kesan negatif  yang sangat merbahaya bagi manusia. Dengan pujuk rayu Syaitan akan menerbitkan perbuatan mencaci, mencela, mengutuk, mengumpat mengaib serta memutuskan hubungan Silaturrahim sesama insan. Lebih dari itu mereka ini sanggup melakukan apa saja seperti menipu dan membunuh.

Dalam usaha menjadikan manusia itu sebagai pengikutnya, maka sudah menjadi kebiasaan Syaitan melakukaan kefasadan, memusuhi anak Adam,  mendatangi anak Adam dari sebelah kanan, kiri, hadapan dan belakang mereka. Sentiasa mencari cari peluang untuk menghasut,menyesat dan menakutkan manusia. 

Syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ini iaitu lisan dan perbuatan. Cara lisan lebih hebat daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. Lisan juga merbahaya kepada tubuh manusia kerananya juga akan membawa hidup penuh sengsara di dalam Neraka. Sayidina Mu’adz pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang dapat memasukkan ke dalam Syurga dan menjauhkan daripada api Neraka.

Maka Rasulullah SAW memegang lidahnya sendiri lalu bersabda: Bermaksud: “Jagalah lisanmu, kecuali untuk berkata baik, sebab dengan demikian itu engkau dapat mengalahkan godaan Syaitan”. (Riwayat at-Thabrani)

Bagi menghindari dari Syaitan menguasai diri kita, maka antaranya hendaklah kita sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan memohon perlindungan daripada-Nya, sentiasa membaca ayat-ayat suci al-Quran, mencegah diri dari berbicara yang berlebihan, memelihara mata, telingga, hati dan segala anggota, membuang amalan-amalan Syaitan seperti ketawa yang berlebihan, berjalan di waktu senja dan yang terakhirnya yang mesti kita lakukan ialah jihad melawan segala bentuk tipu daya Syaitan.

Dalam kehidupan hari ini ramai manusia yang bertopengkan Syaitan atau dengan kata lain menjadikan Syaitan sebagai saudara mereka. Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kejadian pembunuhan manusia, penyeksaan sesama manusia, membunuh diri, menentang hukum Allah SWT dan melakukan kejahatan, kezaliman  keatas makhluk-makhluk Allah adalah perbuatan yang dipengaruhi Syaitan. Mereka yang menjadikan Syaitan sebagai kawan atau idola akan sesat dalam kehidupan mereka.  Golongan ini tidak akan diberi petunjuk oleh Allah SWT dan di akhirat kelak mereka akan di azab dengan api neraka yang amat pedih.

Marilah sama-sama kita merenung diri kita, dimanakah sebenarnya kedudukan kita, adakah dilandasan kebenaran atau masih lagi berada dijalan yang berliku yang penuh dengan duri-duri syaitan. Marilah sama-sama kita kembali ke jalan yang benar dengan melakukan amal soleh, menilik wajah kita agar ianya berseri-seri dengan amalan mulia di sepanjang kehidupan ini dan tidak bertopengkan wajah Syaitan.

Akhir sekali marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al- Hadid ayat 21: Maksudnya:Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya; itulah kurniaan Allah; diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki; dan Allah mempunyai kurnia yang besar

Masjid Solatiah GR

http://picasion.com