Huraian Hadith:
Rumah tangga orang beriman adalah benteng mempertahankan maruah dan harga diri. Rumah yang didiami bukan sekadar tempat berlindung dari panas dan hujan bahkan ia merupakan tempat untuk beristirehat, membina kasih sayang antara ahli keluarga, anak dan isteri dan mencari keredhaan Allah S.W.T. Sesungguhnya, alasan yang paling kukuh mengapa manusia itu perlu berkahwin adalah disebabkan tuntutan psikologi.
Dengan perkataan lain ia adalah fitrah yang dijadikan oleh Allah S.W.T. Maka atas tuntutan tersebut, tanpa adanya perkahwinan kadangkala manusia akan terjerumus ke lembah perzinaan dan maksiat. Sebab itulah Islam memuliakan sebuah perkahwinan dan amat menggalakkan umatnya supaya berkahwin sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
"Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)." (Bukhari)