Wahai anakku,
Pada suatu hari, ada seorang lelaki melalui sebuah
kawasan perkuburan di suatu malam yang kelam dan sunyi. Dia tetiba
dikejutkan dengan suatu cahaya cukup bersilau terang terpancar dari
sebuah kubur, dan terus menjulang ke langit. Pandangan itu sungguh
cantik tapi juga merasa sedikit ketakutan dan berdebar.
Si lelaki
terpegun seketika dan bertanya pada diri apakah kemungkinan kubur ini
adalah kubur seseorang yang sangat istimewa? Apakah ia seorang
waliyullah atau ulamak atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di
sisi tuhan? Jika tidak, mengapa kuburnya bercahaya? Si lelaki
memberanikan diri dan mengambil sebatang kayu lalu dipacak di atas
kuburan yang bercahaya itu kerana ingin melawat kubur itu keesokan
harinya.
Wahai anakku,
Pada keesokannya, si lelaki itu datang
menyelidik kubur siapakah yang sangat ajaib itu. Dibisik di hatinya,
“Mesti allahyarham ini seorang tuan guru atau waliyullah atau alim
ulamak atau orang soleh yang terkenal…”
Si lelaki bertanya-tanya
kepada orang kampung sekitar dan mendapati kubur itu adalah milik
seorang lelaki tua yang meninggalkan seorang isteri di sebuah pondok di
hujung kampung. Si lelaki tidak berputus asa dan terus menyelidik dan
melawat rumah si mati. Di sana si lelaki terjumpa dengan isteri si mati
dan diceritakannya perkara yang ajaib yang berlaku semalam.
Wahai anakku,
Mendengar
cerita si lelaki, isteri si mati terasa aneh, terkejut dan kehairanan.
Suaminya cuma seorang petani kecil. Tidak pernah seorang yang kaya, lagi
bukan seorang ahli ibadah mahupun orang soleh. Juga bukan seorang tuan
guru atau waliyullah atau alim ulamak atau orang soleh yang terkenal
yang disangka si lelaki. Malah menurut isteri si mati, suaminya tidak
pandai membaca Quran dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca
Quran.
Si lelaki cukup hairan dengan penjelasan isteri si mati.
Apakah beliau bermimpi melihat cahaya di kubur itu? Takkanlah orang yang
tak baca Quran boleh bercahaya di kuburnya.
Wahai anakku,
Namun
lelaki itu tetap tidak berputus asa. Si lelaki inginkan mencari jawapan
di sebalik cahaya di kubur itu dan bertanya apakah perkara-perkara aneh
yang si mati selalu lakukan dalam kehidupan sehari-harinya.
Lalu,
isteri si mati menjawab, suaminya akan mengambil wuduk setiap malam
sebelum tidur, dan bersendirian di dalam bilik. Setelah seketika, isteri
si mati baru sedar bahawa setiap malam suaminya selepas mengambil wuduk
akan mengambil al-Quran di atas rak, lalu dicium dan dipeluknya dengan
penuh kecintaan dan kasih sayang.
Si isteri si mati turut berkata
suaminya akan duduk dan membelek al-Quran itu sehelai demi sehelai
seperti sedang membaca. Diraba-rabanya ayat-ayat Quran itu di atas Quran
dengan tangannya, seolah-olah sedang menyentuh dan membelai sesuatu
yang sangat dikasihi. Malah kata isteri si mati, dia pernah dikejutkan
tengah malam oleh rintihan dan desakan tangisan suaminya yang sangat
sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.
“Tapi suamiku seorang yang buta al-Quran,” terang isteri si mati.
Wahai anakku,
Mendengar
penjelasan isteri si mati, si lelaki bertambah hairan. Lalu si lelaki
bertanya, apakah yang dirintihkan dan dinangiskan si mati. Isteri si
mati menjawab:
“Tuhanku! ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimahMu. Janganlah engkau hukum aku di atas kebodohanku ini.”
“Wahai
Kalam Allah, maafkan kesalahan ku. Aku tidak mampu membaca kalimahMu.
Aku tidak dapat bersahabat denganMu. Aku tidak dapat memahamiMu. Tapi
aku sangat mengasihiMu. Aku sangat mencintaimu.”
“Wahai Kalam Allah, jangan lah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku di hadapan Tuhan di akhirat nanti.”
Malah,
kata isteri si mati lagi, kadang-kadang suaminya tidak balik tidur
bersamanya kerana tertidur di dalam bilik itu memeluk al-Quran dengan
penuh erat.
Wahai anakku,
Mendengar penjelasan isteri si mati, si lelaki meminta izin untuk melihat al-Quran yang dimiliki suaminya.
Dibelek
al-Quran itu, si lelaki terus bergenang air mata. Melihat naskah yang
mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan selalu dibelek
berkali-kali cukup mengharukan. Dibisik di hati si lelaki, “Aku pun
tidak sampai begitu membelek al-Quran.”
Si lelaki tidak dapat
menahan air matanya apabila benar melihat ada bekas-bekas air mata di
halaman Quran milik si mati. Benarlah apa yang diceritakan isteri si
mati, suaminya sering menangis berjurai air matanya tatkala membuka
lembaran yang maha suci ini.
Di hati si lelaki, terus tersenyum
kerana beliau dah jumpa jawapan mengapa kubur itu bercahaya. Hati si
mati telah bersatu dengan roh al-Quran. Dia sangat mengasihi kalimah
Tuhannya dengan sesungguhnya dan perkara ini boleh dirasai si lelaki
selepas membelek al-Quran milik si mati. Sungguh mulia si mati ini. Ini
bererti ia mengasihi Tuhan dengan seluruh jiwa dan raganya.
Wahai anakku,
Aku
sengaja menceritakan ini kerana bimbang kamu merasai buku Quran teramat
berat untuk dibuka untuk Ramadhan ini. Aku sangat berharap cerita di
atas dapat membuka hatimu, menguatkan jiwamu dan meringankan tanganmu
untuk mengangkat kalimah Allahmu untuk dibaca.
Wahai anakku,
Jangan
sesekali kamu terpedaya dengan bisikan syaitan yang membisikkan
perasaan malasmu untuk membaca Al-Quran. Syaitan terkadang menanam
perasaan tidak pandai membaca untuk menjauhkan kamu dari Al-Quran.
Sedangkan engkau membaca dengan mengeja satu-persatu diganjar pahala dua
kali ganda oleh Allah.
Lantaran itu, berusahalah mempelajarinya.
Jangan kamu merasa malu mempelajari Al-Quran, kerana tiada manusia
dilahirkan dalam keadaan alim. Marilah kita bersama-sama menghidupkan
al-Quran di dalam masjid kita, di dalam rumah kita, di dalam diri kita,
sepanjang bulan Ramadhan, bulan pengampunan ini.
http://bm.harakahdaily.net