Di
pagi hari yang mulia dan penuh berkat ini, marilah sama-sama kita perbanyakkan
rasa syukur dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa.
Ketakwaan yang bersungguh-sungguh sehingga membawa kita kepada rasa
bertanggungjawab untuk kita mentaati segala
perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya, mudah-mudahan kita dikasihi
Allah, mendapat perlindungan-Nya di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini
akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: ““SERUAN AL-BARZAKH”.
Sidang Jemaah muslimin dan muslimat
yang dirahmati Allah,
Kini berakhirlah bulan Ramadhan yang kita hayatinya selama sebulan.
Pemergiannya amat terasa oleh sesiapa sahaja dari kalangan kita yang berpeluang
mendapat sentuhan barakahnya yang tersimpan rapi di antara malam dan siang
melalui siyam dan qiyam. Pemergian Ramadhan banyak menjana pengajaran dan iktibar yang sungguh bermakna sebagai
persiapan dan bekalan bagi menjalani kehidupan selepas Ramadhan. Apa yang kita
perolehi dari Ramadhan adalah bingkisan pahala bersekala besar yang di janjikan
Allah SWT sebagai bonus lumayan yang
merupakan rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka. Firman Allah SWT di
dalam surah Ali- Imran ayat 185:
Maksudnya: “ Maka
sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya
ia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang
memperdayakan”.
Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,
Pada hari ini, dengan kedatangan 1 Syawal adalah saat umat
Islam di seluruh dunia dari pelbagai bangsa dan peringkat umur, bersama-sama melafazkan takbir,
tahmid, dan tasbih sebagai tanda mengagungkan kebesaran Allah SWT, tanda
kejayaan mendidik nafsu dan menginsafi bulan Ramadhan yang berkat ini telah
meninggalkan kita dan tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana berkesempatan merayakan
Idulfitri pada hari ini serta tanda perpaduan antara kita sebagai umat yang
berasaskan kepada akidah yang sama.
Gema
takbir dengan memuji Allah SWT ini menggegarkan jiwa, perasaan, fikiran dan memberi keinsafan
kepada kita kerana sambutan Idulfitri yang ditetapkan oleh agama kita dimulai
dengan mentauhidkan Allah SWT. Mimbar berharap sambutan di seluruh negara pada
hari ini dipenuhi dengan amalan-amalan yang sihat, tidak bercanggah dengan ajaran
Islam, tidak menghina Islam dan tidak mencemarkan keberkatan Ramadhan yang baru
saja berlalu dan Syawal yang mulia ini. Idulfitri bererti merayakan kemenangan kerana menundukkan
hawa nafsu dan membolehkan kita kembali
kepada jati diri sebagai hamba Allah SWT yang bertakwa, hamba Allah SWT yang
cintakan keamanan dan keharmonian.
Kemuncaknya maka pada saat dan di pagi yang syahdu ini,
kita berkumpul di rumah Allah bagi menunaikan solat Idulfitri. Dalam detik
sebeginilah kita merasa begitu teruja kerana dapat bersama-sama dan menjalinkan
tautan kasih antara kita dalam pelbagai golongan samada fakir, miskin,
anak-anak yatim dan golongan yang lemah.
Justeru itu, cuba
tuan-tuan dan puan sekelian perhatiankan disebelah kiri dan kanan, depan dan
belakang tuan sekelian, siapakah yang tidak bersama-sama dengan kita pada pagi
ini, sedangkan pada raya aidil fitri tahun lepas, mereka solat, bertakbir,
solat terawikh bersama-sama dengan tuan. Kemana mereka pergi pada pagi ini.
Mereka telah pergi buat selama-lamanya mengadap allah snw dan mereka tidak akan
kembali kedunia ini lagi. Persoalannya sekarang ialah adakah kita boleh sampai
ke ramadhan tahun hadapan. adakah kita boleh sampai ke ramadhan tahun hadapan.
Sebagai seorang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadith, kita
mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati adalah
peringkat kewujudan yang wajib dilalui oleh semua manusia. Dalam peringkat
kehidupan kita
di dunia, jarang umur manusia melebihi 100 tahun tetapi
puratanya mencapai umur antara 60 hingga
80 tahun . Umur pendek atau panjang tidak menjadi persoalan kerana akhirnya
manusia pasti mati. Bagaimana sihat seseorang, bagaimana megah kuasa dan kayanya,
namun manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah para Nabi,
Rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan tuhan, bahkan manusia yang menjadi
kekasih Allah SWT pun tidak dapat lari dari kematian, menghadapi alam barzakh
dan hari penghakiman di padang Mahsyar.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 78:
Yang bermaksud: “ Di mana sahaja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu,
sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat”.
Malaikat maut telah menghantar
beberapa seruan dan perutusan kepada manusia. Contohnya tumbohnya uban,
pandangan mulai kabur kerana rabon, kulit yang beransur kendor, sengal-sengal
pada sendi, sakit-sakit disana sini dan sebagainya.
Seruan malaikat maut itu seolah-olah berbunyi” wahai manusia yang berusia
40 tahun, inilah masanya untuk kamu mencari bekal akhirat kerana tubuh badan mu
tengah kuat dan gagah, hati dan fikiran waras dan tidak nyanyok.
Manusia pada umur 20 tahun hingga 30tahun tidak begitu menghiraukan seruan
kerana mereka mungkin sedang mabuk remaja, namun kepada golongan remaja itu
malaikat maut tetap mengingatkan mereka bahawa banyak buah-buah masih muda juga
gugur.kepada manusia yang berumur 50 dan 60 tahun malaikat maut hanya menunggu
arahan dari allah sahaja untuk berkunjung tiba bila tiba masanya.
Setiap manusia pasti mati kerana mati bermakna manusia kembali kepada asal
kejadiannya. Ia berasal dari tanah, maka pastilah ia akan kembali menjadi tanah
agar menjadi peringatan kepada manusia. Persoalan mati adalah suatu kejadian
yang paling hebat, suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan. Bila seseorang
manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri manusia kerana
jasadnya menjadi hancur lebur kembali menjadi tanah dan roh telah keluar dari
badan manusia. Rohlah yang menyebabkan kita hidup, boleh mendengar, melihat,
berakal, merasai dan berfikir.
Sidang Jemaah muslimin dan muslimat
yang dirahmati Allah,
Menurut kamus Mukhtar al-Shahhah (مختار الصØاØ) oleh Abu Bakr al-Razi, Barzakh bermaksud dinding
pembatas antara dua benda. Berdasarkan iktikad al-Sunnah wa
al-Jama'ah, setiap manusia akan berada di dalam satu alam yang dinamakan alam
Barzakh. Ia terletak di antara alam dunia dan alam akhirat sebelum
dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati sehingga dibangkitkan. Alam Barzakh juga tempat permulaan manusia di hukum
segala amalannya di dunia.
Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian,
maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran siksaan kubur di alam barzakh.
Sebaik sahaja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengkebumikan dan dalam
perjalanan pulang ke rumah maka dalam suasana yang gelap gelita dua malaikat
iaitu Munkar dan Nakir datang menghampiri dan mendudukkan jenazah. Bagi jenazah
yang beriman dan berbekalkan amal soleh serta ketakwaan yang unggul maka alam
barzakh adalah suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar,
sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah SWT, maka alam barzakh
adalah episod ngeri yang dipenuhi gelombang azab sengsara hingga datangnya hari
kiamat. Mereka berkeadaan seperti orang yang lemas dalam air yang meraung
meminta pertolongan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya kubur itu ialah
penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu
terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih
mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada
(seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras).” (Riwayat
al-Tirmizi).
Sahabat Nabi
bernama Ubaid bin Umair al-Laitsi pernah berkata, “ setiap mayat yang hendak
meninggal, pasti liang lahad di mana mayat itu di kubur akan memanggilnya,
“Akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sendiri. Jika waktu hidupmu kau taat
kepada Allah SWT maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu. Jika kau
derhaka, maka hari ini aku akan menjadi seksa bagimu. Siapa memasukinya dengan
taat, akan keluar dengan bahagia. Dan sesiapa masuk dengan derhaka, dia akan
keluar dengan penuh penyesalan.”
Sidang Jemaah muslimin dan muslimat
yang dirahmati Allah,
Renungkanlah
bagaimana perjalanan seseorang akan berakhir di alam kubur. Seorang ulama
al-Rifa’i pernah berkata: “ Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan
menghindarinya, kecuali alam kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya
melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan
apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali buat
selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan, dahulu
dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dahulu
lidahnya fasih bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dahulu dia
sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.” Khalifah Umar bin Abdul Aziz
pula pernah berkata kepada beberapa orang rakannya di dalam satu majlis, “Wahai
fulan, engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir tentang
alam kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu keadaan sebenarnya dalam kubur,
pasti kau tak akan berani mendekatinya .”
Ketika khalifah
Umar mengiringi jenazah sahabatnya lalu kubur memanggilnya dan bertanya, “
Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukah aku ceritakan kepadamu apakah yang
akan aku lakukan terhadap jenazah yang kau cintai ini? Ya jawab Umar. Kubur
itu menjawab: Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut
darahnya serta aku kunyah dagingnya. Mahukah engkau tahu apa yang akan aku
lakukan pada anggota badannya? Tentu jawab Umar. Aku cabut satu persatu dari
telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke
bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, Peha dari lututnya.aku cabut
lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya. Khalifah Umar
menangis dan berkata.” Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit.
Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Yang muda akan menjadi tua dan yang
hidup akan mati. Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku dan
bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan
dunia? Keputusan apakah yang diturunkan oleh tuhanku.
Mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa pada akhir zaman
ini, semakin kurang atau amat sedikit dari kalangan manusia yang bercakap
tentang kematian, alam berzakh dan Mahsyar, kerana manusia sedang sibuk dengan
pembangunan kerjaya, kemewahan dan kelazatan kehidupan dunia serta hiburan.
Akhirnya mereka terkejut besar apabila malaikat Izrael datang dengan mencabut
nyawanya. Saididna Ali RA pernah berkata, “ bahawa
manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya.
Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai
atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara
mendadak”.
Kesibukan mencari keseronokan dan kelazatan dunia merupakan penyumbang
terbesar kelalaian manusia mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi
kematian. Sebagai contoh mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti
penagihan dadah, arak, pengamal seks
bebas sanggup melakukan apa saja termasuk mengambil ubat-ubat jalanan yang
mengandungi dadah dan bahan-bahan terlarang bagi menambah lagi nikmat
keseronokan. Perbuatan ini seolah-olah mengali lubang kubur sendiri. Mereka ini
akan menanggung siksaan hidup dengan penyakit-penyakit kronik yang akhirnya
membawa kepada kehancuran dan kematian. Justeru mimbar menyeru kepada jemaah
sekalian insaflah dan sedarlah tentang kehidupan yang sebenarnya dan jangan kita
lalai dari mengingati kematian kerana ianya akan menambah lagi ketakwaan kita
kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud: “Ziarahilah
kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian” (Riwayat Muslim)
Sidang Jemaah muslimin dan muslimat
yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada pagi ini, mimbar menyeru insaflah
dan sedarlah bahawa kematian merupakan perjalanan hidup yang tidak akan
kembali lagi ke dunia yang fana ini.
Kita sering bercakap tentang kematian rakan dan sahabat kita yang telah kembali
menyahut seruan Ilahi. Bagaimanapun sayang sekali apakah kematian rakan-rakan
kita itu telah menimbulkan keinsafan dan kesedaran untuk kita membuat persiapan
serta menyediakan bekalan yang mencukupi menghadapi kematian yang pasti itu.
Ingatlah dan sedarlah bahawa alam barzakh sentiasa menanti-nanti kehadiran kita
dan sentiasa membuka pintunya untuk kita. Tidak kira di mana kita berada atau
bila masanya kematian pasti mendatangi dan menjemput diri kita, cuma
persoalannya adakah kita sudah bersedia menghadapi kematian ini. Sebagai
renungan marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT surah
al-Jumu’ah ayat 8:
Maksudnya :
“Katakanlah: Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu,
tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah)
yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada
kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya). ”
Sidang Jemaah muslimin dan muslimat
yang dirahmati Allah,
Ketika kita sedang bergembira menyambut Idulfitri ini,
kita perlu insaf dan sedar bahawa terdapat saudara mara, kaum kerabat, jiran,
sahabat-kenalan dan saudara seagama kita yang menyambut Idulfitri dalam keadaan
sukar, bersendirian, daif dan sebagainya. Mereka ini terdiri daripada orang
miskin, anak-anak yang terbiar dan mereka yang berada di pusat-pusat Serenti, Penjara, rumah orang tua, rumah anak yatim, rumah
kebajikan dan sebagainya. Justeru, mimbar menyeru marilah sama-sama kita
menghidupkan suasana Idulfitri ini dengan amalan ziarah-menziarahi, kunjung
mengunjungi dan menghubungkan silaturahim terutama sekali terhadap kedua ibu
bapa kita dengan memohon kemaafan atas kesalahan, perbuatan zalim dan perbuatan
dosa yang telah dilakukan samada yang disedari ataupun yang tidak disedari.
Dengan demikian jiwa kita dapat merasai ketenangan,kebahagiaan yang sejati.
Sabda rasulullah SAW:
Bermaksud: “Tiga perkara adalah diantara budi pekerti yang
mulia disisi Allah SWT; Hendaklah engkau memaafkan orang yang telah menganiaya
dirimu. Hendaklah engkau menolong orang yang telah memutuskan pemberiannya
kepadamu. Hendaklah engkau menghubungkan dengan orang yang telah memutuskan
perhubungan denganmu.” (Riwayat al-Khattib)
KHUTBAH KEDUA IDULFITRI
Marilah pada hari yang penuh bahagia ini kita melafazkan rasa kesyukuran di atas
nikmat Iman dan Islam yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sesungguhnya Idulfitri yang disyariatkan oleh Islam adalah untuk
memperbaharui kehidupan kita sebagaimana yang digariskan bagi orang yang
beriman dengannya, iaitu kehidupan persaudaraan, kesatuan dan kekuatan
menghadapi musuh. Merayakan Idulfitri ialah merayakan hari kemenangan dalam jihad
nafsu ketika melakukan ibadah puasa di bulan Ramadhan dan berjaya
melaksanakannya dengan sempurna. Justeru
jihad melawan hawa nafsu ini perlulah diteruskan pula di bulan Syawal ini
dengan melakukan puasa enam yang mana pahalanya menyamai dengan puasa sepanjang tahun. Puasa ini boleh dilakukan
berturut-turut atau berselang. Sabda Rasulullah
SAW dalam hadithnya:
Maksudnya:“barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, dan kemudian diikuti
dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa
selama setahun”.(Riwayat Muslim)
Idulfitri juga hari perdamaian kerana
pada hari ini dinyatakan perdamaian hidup dalam rumah tangga, hubungan kaum
kerabat dan sanak saudara. Seluruh umat Islam sama ada dalam lingkungan desa
mahupun kota, wajah berseri-seri, hati riang ria, tangan bersalam-salaman
mengucapkan salam Idulfitri serta ampun dan maaf sebagai tanda keakraban dan silaturrahim.
Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,
Mimbar mengingatkan sekali lagi bahawa perpaduan asas keutuhan Idulfitri. Melalui
zakat fitrah dan zakat harta yang telah kita bayar di bulan Ramadhan telah
memberi kecerian dan keriangan kepada golongan fakir miskin untuk sama-sama
menyambut hari kemenangan ini. Keberkatan Ramadhan juga mengingatkan kita
bahawa perpaduan yang ditetapkan Islam
adalah melangkaui sempadan negara dan benua. Umat Islam di mana mereka berada
adalah sama, kita sama dari segi makan minum, kita sama dari segi peraturan, halal dan haram dan kita juga sama dari sudut akidah. Namun kehidupan umat
Islam hanya teristimewa dengan iman kepada Allah SWT. Kita perlu insaf terdapat
saudara-saudara kita di luar negara hidup dalam keadaan sukar sepanjang hayat, membesar
dalam keadaan perang, generasi silih berganti
terus hidup menderita terutama saudara kita di Palestin, pelarian muslim
Rohingya dan lain-lain umat Islam yang sedang mengalami musibah.
Berdasarkan pemerhatian mimbar terdapat umat Islam yang
menjadi penduduk minoriti di beberapa buah negara terutama di rantau ini juga
menghadapi keperitan hidup. Mimbar ingin menarik perhatian jemaah sekalian cuba
bayangkan bagaimana umat Islam di negara yang mengalami peperangan dan
kehidupan yang sukar menjalani puasa dan
sambutan Idulfitri. Selari dengan dasar perpaduan, maka mimbar pada hari ini, menyeru
marilah kita bersama-sama membantu saudara seagama yang hidup daif dan
menderita. Keberkatan Ramadhan mengingatkan kita supaya mengulurkan bantuan
yang diadakan dari masa kesemasa melalui masjid-masjid, akhbar-akhbar dan
sebagainya, mudah-mudahan rezeki kita ditambah, umur dipanjangkan Allah SWT dan
kasih sayang di kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.
Sidang Jemaah Yang di Rahmati Allah,
Pada
hari ini marilah kita memperbanyakkan ucapan salawat dan salam ke atas Baginda
Nabi Muhammad SAW kerana telah menyampaikan Islam kepada kita melalui berbagai
bentuk pengorbanan dan jihad. Tanda kasih kita kepada Baginda hendaklah
dirakamkan dalam bentuk ucapan selawat dan salam sebagaimana Firman Allah SWT
di dalam Surah al-Ahzab ayat 56:
Bermaksud:
“Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala
penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Wahai orang-orang yang
beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan
penghormatan yang sepenuhnya.”
sesiapa pun boleh copy untuk khotbah