Pada
prinsipnya setiap manusia adalah pemimpin. Pemimpin yang berjaya adalah
seseorang yang mengetuai dirinya sendiri, keluarga, organisasi atau
pertubuhan, meneraju membuat perubahan ke arah mencapai matlamat yang
ditentukan. Tanggungjawab ini bukan mudah kerana banyak cabaran dan
ujian yang akan dihadapi.
Peranan penting seorang pemimpin ini pernah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:
Mafhumnya: “Ingatlah! Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya”.(Riwayat al-Bukhari)
Rasulullah
SAW adalah pemimpin yang memenuhi fitrah manusia sejagat melalui
sifat-sifat mulia seperti amanah, siddiq, tabligh dan fatanah. Menurut
sirah, sebelum dari kerasulannya pemimpin Quraish pernah memberi gelaran
“al-Amin” kerana keunggulan Baginda dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran “ al-Amin” ini telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraish kepada Baginda.
Walau
bagaimanapun cabaran yang dihadapi oleh Baginda juga cukup hebat.
Sebagai contoh Abu Jahal seorang pemimpin kanan Quraish, pernah
menawarkan jawatan Raja, perempuan cantik, dan harta kekayaan, supaya
Rasulullah SAW tidak meneruskan perjuangan Islam. Namun, berdasarkan
keunggulan dan maruah kepimpinan Islam, maka Rasulullah SAW menolak
semua tawaran itu.
Selain
Abu Jahal, al-Qur'an juga menyebut beberapa watak kepimpinan korup yang
tidak bermaruah sehingga merosakkan negara, memecah belahkan
masyarakat, dan kesengsaraan kepada keluarga, yang akhirnya semasa di dunia lagi telah menerima balasan azab terhadap kekejaman yang dilakukannya antaranya ialah Fir'aun, Haman, dan Qarun.
Menurut Prof Dr Sheikh Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa:
Fir'aun adalah pemerintah diktator,
mempunyai bidang kuasa mutlak menghukum musuhnya sesuka hati dan
mendakwa dirinya tuhan kerana meyakini tidak ada kuasa lain boleh
menggugat pemerintahannya.
Haman pula seorang yang sentiasa berlegar mengelilingi Fir'aun menjalankan tugas untuk memperkukuhkan kekuasaan Fir'aun.
Qarun
pula seorang tokoh korporat yang kaya raya mengambil peluang daripada
pemerintah. Beliau membantu pemerintah dengan kewangannya dengan harapan
akan mengaut habuan lebih besar tanpa mempedulikan penderitaan orang
lain. kesemua watak-watak pemimpin ini yang dirakamkan di dalam
al-Quran memperlihatkan golongan yang tamak kuasa, mengejar jawatan ,
mengaut keuntungan dan kemewahan dunia di atas penderitaan orang lain,
yang akhirnya mereka ini dimusnahkan oleh Allah SWT di dunia dengan
menjadi sehina-hina manusia.
Setiap
kali kita solat, kita sering membaca al-Qur'an, takbir, tasbih,
syahadah dan selawat kepada Nabi SAW. Semua ini adalah amalan Islam
untuk mengukuhkan keunggulan dan jati diri umat Islam selari dengan
al-Qur'an dan as-Sunnah. Jika solat dan ibadah khusus lain yang
dilaksanakan dari masa ke masa gagal membentuk kita menjadi pemimpin
yang jujur, amanah, telus atau berintegriti, maka kita tergolong
daripada manusia yang rugi dan menipu diri sendiri.
Malahan
keunggulan seorang pemimpin berkait rapat dengan imej dan amalan
individu itu sendiri. Lihat sahaja bukti kepimpinan Rasulullah SAW yang
mengasihi umatnya, sehinggakan di waktu sakaratulmaut pun Baginda masih terkenang mengenai nasib umatnya di dunia ini dengan keluhan yang berat. Berulang kali Baginda menyebut umatku! umatku! umatku!. Apa
yang tidak terjangkau oleh fikiran kita ialah keunggulan kepimpinan
Rasulullah SAW membawa kepada terselamatnya umat Islam dari azab Allah
SWT
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Kita
(umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang
terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu
masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita
sedangkan kita sesudah mereka”.(Riwayat al-Bukhari).
Begitu juga umat yang senantiasa mengingati Rasulullah SAW dengan bersalawat kepadanya akan mendapat pelbagai manfaat antaranya dikurniakan kebajikan, dimakbulkan berbagai do’a, mendapatkan syafa’at dan selamat dari kebakhilan.
Berdasarkan kepada sirah ini menunjukkan bahawa kasih sayang Rasulullah
SAW kepada umatnya senantiasa tertanam dalam jiwanya dan terpahat di
hati sehingga ke akhirat.
kepimpinan
yang beramanah dan bertanggungjawab dalam masyarakat mencerminkan
suasana kepimpinan yang cemerlang. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam
surah al-Baqarah ayat 124:
Maksudnya: “Dan
(ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa
Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya.
(Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi
imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon
dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari
keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman:
"(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati.”
Apa yang jelas, dalam
ayat ini bahawa kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin
dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara
pemimpin dengan Allah SWT dan sebagai seorang pemimpin hendaklah
mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.
Ketinggian
akhlak dan keunggulan Rasulullah SAW terus dikagumi umat Islam walaupun
Baginda telah lama wafat. Keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak
senang hati di kalangan golongan tertentu sehingga sanggup menyebarkan
fitnah dan mengaibkan Rasulullah SAW dan umat Islam.
Pada
masa yang sama, semua pihak hendaklah menginsafi diri dengan
mempertingkatkan kualiti jati diri dan keunggulan yang telah dicontohi
Rasulullah SAW dan para sahabat melalui langkah berikut:
Pertama: Memantapkan urus tadbir negara, masyarakat, dan keluarga dengan mencontohi Rasulullah SAW dan berpandukan syariat Islam.
Kedua: Menjauhi daripada mencontohi watak tokoh pemimpin yang korup dan tidak beretika.
ketiga:
Mereka yang tiada integriti dan akauntabiliti walaupun terlepas hukuman
di dunia tetapi tidak terlepas daripada hukuman Allah SWT pada hari
akhirat.
keempat: Pemimpin
yang unggul akan lebih dihormati, dikagumi dan disayangi oleh
masyarakat. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita
merenung firman Allah SWT dalam surah al-Saff ayat 2-3:
Maksudnya: “ Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!. Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukannya. ”
petikan: email
petikan: email