Mungkin kita tertanya-tanya mengapa dikatakan mati sebelum ajal, bukankah mati berlaku apabila ajal menjelma. Setiap hari, setiap saat pasti aka ada kematian di atas muka bumi ini, pasti ada yang bertukar tilam, dari empuk dan berhawa dingin kepada tanah yang keras dan sempit lagi gelap. Ada orang bertanya kepada saya, mengapa saya gemar membicarakan topik kematian. Saya mempunyai alasan saya yang tersendiri kerana mati itu juga adalah titik permulaan kehidupan seorang spiritualis.
Jika matinya membawa bahagia maka beruntunglah dia namun jika mati itu pembuka pintu neraka jelas kerugian sudah melanda. Apalah gunanya kita hidup bermewahan tetapi apabila mati kemiskinan menjadi teman. Apalah gunanya kita dikelilingi sanak saudara serta teman taulan tetapi sewaktu di alam barzah kita keseorangan tanpa bekal, tanpa pertolongan. Pada saya, setelah mengamati kehidupan yang berlalu setiap hari, saya melihat tidak kira siapa pun kita, sedalam mana kasih sayang anak-anak kita kepada kita, sekuat mana ikatan cinta pasangan kita, yang pastinya apabila kematian datang kepada kita, kesedihan, kesugulan hanya datang buat sementara waktu, hanya ketika tanah kubur merah.
Setelah itu mereka juga seperti kita sekarang, sibuk menyempurnakan tanggungjawab dunia dan ingatan kita pada si mati hanya tinggal ingatan, sedikit demi sedikit berlalulah doa yang pada awalnya kita panjatkan. Justeru hal inilah yang mengingatkan saya agar menyiapkan bekal untuk diri sendiri, supaya nanti tidak keseorangan dan kegelapan. Bekal paling perlu bagi saya adalah perasaan saya dengan Allah swt kerana dari rasa itu datang perbuatan dan mencetuskan keikhlasan. Kita harus terus hidup sehingga tibanya ajal yang ditetapkan.
Janganlah kita mati sebelum ajal kerana kerugian yang besar sudah pasti menyusahkan. Mati sebelum ajal seperti kita hidup tapi tidak bernyawa, kita makan tetapi tiada rasa, kita minum tak hilang dahaga. Mati sebelum ajal adalah keadaan di mana hati kita sudah mati walau jasad tegap berdiri. Hati sudah terkunci walau bicara petah tiada henti. Jiwanya sudah kering, biar jasadnya bermandi berendam di dalam air tidak pernah kering. Maka apabila jiwa kita sudah kering, hati kita sudah mati, kita sepertinya sudah tidak disukai Allah swt.
Jika ini berlaku maka siapakah yang mahu kita ambil menjadi tuhan, bukankah kita kini dalam kerugian. Dek kerana itu kita perlu memastikan yang kita tidak mati sebelum ajal. Orang yang sudah mati sebelum ajal, sukar menerima ilmu, sukar menerima hal-hal berkaitan agama dan jiwa mereka kosong. Kehidupan mereka juga tidak keruan, mereka resah, mereka gelisah, mereka merasakan ada kekosongan dalam hidup tetapi keegoan mereka menutup kekosongan hati mereka. Hati menjadi hidup apabila kita mengingati Allah swt dan mengingati Allah swt cukup indah jika kita melakukannya dengan rasa.
Merenung kematian merupakan jalan mudah untuk melembutkan hati kerana apabila kita merenung kematian maka bermainlah di benak kita, adakah kita diterima Allah swt atau kita sebenarnya dibenci Allah swt. Orang yang mengingati mati, akan sentiasa melihat kematian di hadapannya, dia tidak takut mati kerana mati adalah jalan bertemu Tuhannya tetapi yang ditakutinya adakah dia diterima Alah swt. Kematian itu pasti, kehidupan itu realiti. Kematian itu abadi, kehidupan itu titi maka berhati-hatilah dalam meniti jangan sampai terjatuh mati kerana ‘kematian’ hati itu punca sepi.
Justeru marilah kita berlatih untuk mati agar kita dapat bersedia menghadapi hari yang mana hanya kita yang mengetahui sakit tak terperi. Jika kita berlatih setiap hari dalam menyediakan diri, insya Allah kita siap untuk berdikari. Tetapi harus kita ingat persedian itu berbentuk fizikal yang paling penting adalah ikatan rasa justeru itu awal sifat dua puluh itu wujud… merasa kewujudan Allah swt. Latihan fizikal yang perlu untuk kita menghadapi mati adalah solat. Mengapa? Cuba kita renung kembali, selain orang solat siapakah yang melakukan qiam… jawapannya orang yang meninggal.
Maka falfasah paling mudah untuk kita lihat dalam solat itu adalah melatih kita untuk mati. Maka solat itu penuh ketenangan dan jika kita mampu melaksanakan solat dengan penuh kualiti maka kita akan dapat melihat erti kematian dan kita akan mula merasa perlunya mengingati kematian. Orang yang bijak akan sentiasa mengingati hari matinya, kerana ianya akan membawa mereka untuk lebih mencintai Allah swt. Solat itu jalan mudah untuk merasa kematian justeru seharusnya sebelum solat kita sudah mematikan dunia, kita sudah meninggalkan dunia.
Namun apa yang sering berlaku, kita masih membawa dunia yang penuh masalah ke dalam solat hingga terabai rasa cinta kita dengan Allah swt. Saya sering mengingat diri saya serta mereka yang bersama saya, marilah kita berhati kering dengan dunia tetapi basah dengan cintaNya. Janganlah sampai dunia menjadi tuhan dalam solat kita dan seandainya itu berlaku maka kita sudah pun hampir mati bahkan mungkin sudah mati sebelum ajal. Belajarlah untuk mati lima kali sehari, bertatihlah untuk diri, jangan berlari nanti jatuh lupa diri.
Cinta Ilahi tidak terperi, wajah berseri hidup bererti. Jika cinta sudah terpatri, biar aku mati dari sendiri. Cinta itu sungguh bererti, hidup dan mati ku untuk Ilahi. Semoga kita dapat memulakan langkah mendalami erti kematian dalam solat. Amiin.