PERIHAL mengenai pembunuhan anak yang tidak berdosa, dirangkaikan oleh al-Quran dalam surah al-Takwir ayat satu hingga lapan dengan peristiwa-peristiwa besar yang akan terjadi seperti kehancuran matahari, bintang-bintang berjatuhan, gunung-gunung dihancurkan, lautan dipanaskan dan dipertemukannya kembali roh dengan badan.
Bersamaan dengan semua itulah, al-Quran bertanya: "Kerana dosa apakah dia (anak perempuan) dibunuh (dikuburkan hidup-hidup) ?, Yang pastinya, ayat terakhir itu tidak bertanya siapa yang membunuh kerana pada hakikatnya sesiapapun pelakunya, ia pasti telah melakukan perkara yang kejam, di luar batas-batas perikemanusiaan dan mendapat kemurkaan Allah SWT.
Itu semua satu isyarat betapa besarnya kebencian dan kemurkaan Allah sehingga si pelaku (pembunuh bayi) tidak wajar untuk di pandang atau diajak berdialog dengan Allah SWT. Namun yang ditanya oleh ayat di atas adalah 'disebabkan dosa apakah anak perempuan itu dibunuh?' Semacam ayat itu bukan sahaja mengisyaratkan larangan pembunuhan, tetapi mengajak si pembunuh untuk menyedari betapa buruk, kejam perbuatannya serta memahami mengapa dia harus menerima hukuman.
Walaupun anak perempuan dikuburkan hidup-hidup pada zaman jahiliah hanya terbatas pada beberapa kabilah sahaja, namun kecaman al-Quran terhadap perbuatan keji itu tidak terperi lagi sehingga dikaitkan dengan kehancuran alam.
Demikianlah juga apa yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, di mana pembunuhan ke atas bayi-bayi adalah sekadar ingin menutup malu akibat perbuatan zina yang mereka lakukan. Mereka malu kepada ahli masyarakat tetapi tidak pada Tuhan. Perbuatan mereka tidak jauh bezanya dengan hubungan yang terjadi di dunia atau alam binatang. Siapa saling suka, ia akan melakukan apa sahaja.
Manusia sebagai makhluk yang terhormat sepatutnya tidak layak untuk menempuh kehidupan seperti haiwan dalam memenuhi hajat biologinya. Sesungguhnya Allah SWT telah mensyariatkan pernikahan dengan syarat dan rukunnya bagi tujuan menyucikan hubungan antara dua insan yang telah berniat untuk menjalinkan hubungan suami dan isteri. Inilah perlindungan yang paling efektif bagi mengelak fenomena zina yang melanda dari pelbagai sudut kehidupan hari ini.
Seingat kita pada zaman jahiliah, yang dibunuh atau yang ditanam hidup-hidup adalah anak perempuan, tetapi kini yang dibunuh adalah anak lelaki dan juga anak perempuan. Di zaman itu, anak yang akan dikuburkan hidup-hidup akan dihiasi terlebih dahulu, tetapi sekarang pembunuhan anak dilakukan sewenang-wenangnya - dibuang dan dibakar. Sungguh ironis dan kejam.
Kalau zaman jahiliah mereka membuang bayi-bayi perempuan yang dianggap memalukan keluarga mereka, tetapi sebaliknya apa yang berlaku pada zaman di mana Islam telah bertapak dan berkembang maju dengan kukuhnya, bayi-bayi perempuan mahupun bayi lelaki dibuang sekali gus menjadikan bayi sebagai sama taraf dengan sampah. Di manakah perikemanusiaan dan harga diri atau maruah masyarakat sekarang jika bayi yang tidak berdosa itu yang sepatutnya dibelai dengan kasih sayang dibuang begitu sahaja.
Berkali-kali al-Quran dan sunnah memperingatkan betapa bernilainya hidup makhluk Allah SWT. Jangankan manusia yang telah menginjakkan kaki di persada bumi, janin yang baru berada dalam perut ibu pun, walaupun masih dalam proses awal, bahkan binatang dan tumbuh-tumbuhan dilarang untuk dicabut hidup-hidup kecuali berdasarkan ketentuan yang dibenarkan Allah SWT.
Dalam Islam adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk mendidik anak-anak. Sikap tidak bertanggungjawab dan tidak mahu memelihara anak-anak sebenarnya melambangkan sikap tidak berperikemanusiaan. Sedangkan haiwan sayangkan anaknya, inikan pula manusia yang perlu bertanggungjawab untuk memelihara zuriatnya.
Pada zaman jahiliah yang lampau, anak dibunuh oleh mereka yang tidak berpengetahuan dan yang belum mengenal apa yang dinamakan hak asasi manusia. Tetapi semasa zaman jahiliah moden ini, anak dibunuh oleh ibu bapa yang berpengetahuan. Apapun alasan pelaku pembunuhan bayi, ia sebenarnya lebih buruk dan kejam daripada alasan mereka yang terpaksa melakukan pembunuhan bayi pada zaman jahiliah.
Sebagai anggota masyarakat dan atas peranan kita sebagai hamba Allah, kita turut bertanggungjawab untuk sama-sama mencari jalan dan kaedah yang berkesan untuk menangani gejala sosial yang serius ini. Ada pihak yang mahu peraturan undang-undang dan hukuman lebih berat dijatuhkan ke atas pelaku. Ada juga pihak mencadangkan agar institusi keluarga iperkukuhkan.
Ini langkah-langkah yang perlu. Namun, faktor agama perlu diutamakan. Ia meliputi aspek pendidikan (baik dalam keluarga, di sekolah atau melalui dakwah) serta kempen besar-besaran melalui saluran sesuai agar masyarakat lebih faham dan sama-sama berperanan menangani gejala ini secara Islamik. Kita juga perlu menyediakan pintu taubat kepada mereka yang menyesali perbuatan mereka dan ruang yang lebih besar kepada pihak NGO dalam usaha menyelamatkan nyawa bayi yang tidak berdosa sejajar dengan matlamat kempen Masyarakat Penyayang.