Setiap
yang bernyawa pasti akan mati, begitu jugalah dengan manusia tiada
seorang pun boleh lari dari ajalnya yang telah ditetapkan oleh Allah
SWT. Apabila ajal seseorang itu telah sampai malaikat Izrail tetap akan
mencabut nyawanya tidak kira di mana seseorang itu berada. Sebagaimana
firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 8 yang bermaksud:
Maksudnya : " Katakanlah:
Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetaplah ia
akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang
mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada
kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).
Begitulah
apabila nyawa seseorang telah terpisah daripada jasadnya, maka
tinggallah segala apa yang dimilik sama ada ahli keluarga,anak-anak,
saudara mara, pangkat,harta benda dan sebagainya. Jasad yang terbujur
kaku akan diurus dan dihantar ke kubur untuk dikebumikan. Pada saat itu,
terpisahlah ia ke alam lain iaitu alam kubur atau alam barzakh
sementara menunggu hari hisab dan pembalasan di akhirat.
Menurut
kamus Lisanul Arab oleh Ibni Manzur, makna alam kubur ialah suatu
tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar
daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna
dinding pemisah antara dua alam sejak dari waktu kematian seseorang
sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh atau alam kubur. Alam
kubur juga merupakan tempat permulaan seorang manusia itu dihukum
segala amalannya semasa hidup di dunia ini. firman Allah SWT dalam surah
al-An’am ayat 62 yang bermaksud:
Maksudnya : " Kemudian
mereka dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar.
Ketahuilah, bagi Allah jualah kuasa menetapkan hukum dan Dialah
secepat-cepat Penghitung.
Ketika
berada di alam kubur seseorang itu dapat menjangkakan sama ada dia akan
mendapat kenikmatan atau kesengsaraan di akhirat kelak. Perkara ini
disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya
kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka
sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan
datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu
tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang
sesudahnya akan lebih sukar (keras)."
Bagi
orang yang beriman kehidupan mereka di alam kubur dipenuhi dengan
segala macam kenikmatan kurniaan Allah SWT. Sebaliknya bagi orang yang
syirik, kufur dan ingkar terhadap suruhan dan perintah Allah sudah pasti
seksaan dan azab kubur diterima sebagai tanda hukuman yang akan
diterima di hari akhirat. Sahabat Nabi bernama Ubaid bin Umair al-Laitsi
berkata, “ setiap mayat yang hendak meninggal, pasti liang lahad di
mana mayat itu di kubur memanggilnya, “Akulah rumah yang gelap gelita,
sunyi dan sendiri. Jika waktu hidupmu kau taat kepada Allah SWT maka aku
hari ini akan menjadi rahmat bagimu. Jika kau derhaka, maka hari ini
aku akan menjadi seksa bagimu. Siapa memasukinya dengan taat, akan
keluar dengan bahagia. Dan sesiapa masuk dengan derhaka, dia akan keluar
dengan penuh penyesalan.
Sesungguhnya
nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita percayai dan
yakini kewujudannya kerana ia dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan
kita kepada Allah SWT. Rasulullah SAW memerintahkan kita agar sentiasa
memohon pelindungan daripada Allah SWT dari azab kubur sebagaimana
maksud hadis Rasulullah SAW yang menyuruh para sahabat agar mengamalkan
doa seperti berikut:
“Wahai
Tuhanku! Sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku
mohon berlindung dari azab kubur.”(Riwayat Muslim)
Kita
wajib berlindung diri dari azab kubur, kerana alam kubur merupakan
persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur
kita mendapat kenikmatan, itulah tanda bahawa kita akan mendapat
kemudahan dan kebahagiaan di alam akhirat nanti. Sebaliknya, apabila
mendapat azab kubur, itulah petanda bahawa orang tersebut akan mendapat
kesulitan di akhirat sebagaimana maksud hadis nabi SAW:
“Sesungguhnya
kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah
itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi.
Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar
lagi.” (Riwayat at-Tirmizi)
Ramai
umat manusia pada hari ini melupai tentang hakikat sebenar kehidupan
dengan gagal mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian dan menyedari
bahawa dirinya akan menjadi penghuni kubur. Ramai daripada kita leka
dengan kehidupan dunia. Jika ada di kalangan
kita yang mengingati kematian, itu pun hanya dilakukan dengan sambil
lewa tanpa merasa takut dan gentar akan kedasyatan azab alam kubur ini.
Mengapa ini berlaku, hal ini berpunca disebabkan hati kita yang terlalu
cinta dan sibuk dengan perkara dunia sehingga menyebabkan hati kita
keras dan gelap dari cahaya.
Ingatlah bahawa jalan
Allah SWT tidak dapat kita tempuhi dengan telapak kaki tetapi ia dapat
ditempuh dengan kekuatan dan kesucian hati. Jika kita merasakan hati
kita keras dan beku rawatilah ia dengan melaksanakan beberapa perkara
seperti berikut:
Pertama: Gunakanlah masa yang berkualiti ini dengan sentiasa membaca al-Quran dan berzikir.
Kedua: Bersikap tawaduk dan sentiasa merendah diri di hadapan Allah SWT.
Ketiga:
Menghadiri majlis-majlis ilmu. Sedarilah, semakin tinggi ilmu agama
seseorang semakin takut dia kepada tuhan-Nya. Di samping itu juga
elakkan diri dari menghadiri majlis-majlis yang tidak berfaedah dan
membuang masa.
Keempat: Mengingati
mati. Seseorang yang sentiasa ingat akan kematian menyebabkan hatinya
tertumpu kepada alam akhirat, sekaligus meremehkan dunia dan tidak
panjang angan-angan.
Kelima:
Menziarahi kubur. Jika hati kita tidak dapat disembuhkan dengan cara
sebelum ini maka inilah cara yang paling berkesan dalam mengubati hati
yang keras. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian” (Riwayat Muslim)
marilah
sama-sama kita menghitung diri kita, bagaimana nasib kita di alam kubur
nanti, adakah kita sebahagian dari umat yang akan dirahmati atau akan
di azab oleh Allah SWT. Renungilah kehidupan kita selama ini, adakah
kita sudah bersedia untuk meninggalkan alam dunia ini, bagaimana dengan
amalan kita? adakah sudah mencukupi untuk bertemu dengan Alllah SWT di
akhirat kelak. Ingatlah segala amalan kita akan diperhitungkan samada ia
berpahala atau berdosa dan semuanya terserah kepada neraca keadilan
yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
lngatlah
wahai muslimin sekalian bahawa setiap pergerakan kita sentiasa diawasi
oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid. Elakkan daripada terjerumus ke
dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, prasangka buruk serta bercakap
bohong. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah
al-Zalzalah ayat 7 dan 8:
Maksudnya: " Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! . "