Berapa ramai umat Islam
yang bangun melakukan mandi sunat Aidilfitri? Wanita yang uzur juga
tidak harus
ketinggalan untuk melakukan mandi sunat. Kalau begitu semua umat Islam patut
melakukannya tanpa gagal.Begitu juga dengan amalan berkunjung ke tempat solat Aidilfitri, wanita yang uzur masih ada tempat dan ruang untuk sama-sama mendengar khutbah raya. Kalau semua umat Islam datang lebih awal untuk mengambil tempat yang sesuai tentulah besar ganjaran untuk mereka. Wanita uzur walaupun tidak boleh solat mereka boleh duduk di tempat khas di luar masjid untuk sama-sama mendengar khutbah hari raya.
Tetapi saya tidak pasti, berapa buah masjidkah yang menyediakan tempat khas untuk wanita uzur? Atau adakah wanita uzur sendiri tidak berminat untuk mendengar khutbah, lalu tempat mereka tidak disediakan? Realitinya wanita yang uzur lebih selesa berada di dalam rumah semasa orang lain bersolat hari raya. Alangkah ruginya mereka kerana tidak mendapat nasihat yang baik pada pagi hari raya.
Sebenarnya solat sunat hari raya dan khutbahnya amat besar faedahnya. Selain solat berjemaah itu mendapat pahala berlipat kali ganda, dapat pula umat Islam berkenal mesra antara satu sama lain. Ya, kadang-kadang jiran rumah pun kita tidak berpeluang bercakap, maka pada hari ini kita berpeluang berbual sambil mengucap tahniah atas kejayaan menjalankan ibadah puasa.
Namun tidak dinafikan, ada umat Islam yang walaupun berkumpul ramai-ramai, mereka tidak mahu mengambil perluang berkenalan dengan rakan solat di sebelahnya. Adakah mereka malu untuk berkenalan atau mereka sombong kerana menilai orang tidak layak berkenalan dengannya. Kalau itu yang difikirkan bagaimana kita boleh berjaya dalam menempuh ujian Allah. Boleh jadi inilah tanda awal kita gagal melaksanakan ibadah puasa.
Sebaiknya sewaktu bersalaman kita memperlawa mereka ke rumah anda. Inilah amalan orang soleh sejak zaman berzaman. Mereka akan berziarah jiran terdekat selain sanak saudara dengan saling mengucap tahniah kerana berjaya memenuhi ibadah puasa. Cuma dalam amalan masyarakat Melayu, kita sering ucapkan “Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin” kepada orang yang kita temui. Semoga ucapan itu dinilai sebagai doa juga.
Bagi menambah baik ucapan itu bolehlah juga kita susuli dengan ucapan; “tahniah anda berjaya beroleh takwa, tahniah anda berjaya melaksanakan puasa dengan sempurna" dan yang seumpamanya. Bagi masyarakat Arab mereka sering ucapkan ucapan yang bermaksud, “Semoga setiap tahun kamu dalam keadaan baik.”
Sebenarnya pada zaman Rasulullah ada satu ucapan yang turut dipakai, ini berdasarkan sebuah hadis daripada Wasilah bin al-Asqa’ katanya, “Aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya lalu aku berkata: تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ maka baginda berkata: ya تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ maksudnya: “Semoga Allah terima amalan daripada kami dan kamu juga.”
Amalan yang diucapkan oleh sahabat ini untuk Rasulullah adalah untuk menunjukkan adab memberi ucapan tahniah. Selain itu apabila baginda membalas dengan ucapan yang sama menunjukkan ucapan itu boleh digunakan oleh umat Islam.
Berdasarkan itu ucapan sebegini masih releven diucapkan sewaktu kita berziarah ke rumah orang yang kita hormati juga kawan-kawan yang kita sayangi. Semoga amalan ini juga boleh dijadikan hiburan buat kita sepanjang berhari raya.