Siti Fatimah adalah anak Rasulullah yang mempunyai budi pekerti yang baik dan beliau amat taat kepada ajaran Islam
dan sifat-sifatnya sama seperti bapanya yakni Nabi Muhammad S.A.W.
Pada suatu hari ketika Rasulullah sedang bercerita tentang kenikmatan syurga kepada Siti Fatimah, maka baginda pun bersabda, “Aduhai anakandaku, ada seorang perempuan kebanyakan (orang biasa) yang akan masuk syurga lebih dahulu daripadamu”.
Pada suatu hari ketika Rasulullah sedang bercerita tentang kenikmatan syurga kepada Siti Fatimah, maka baginda pun bersabda, “Aduhai anakandaku, ada seorang perempuan kebanyakan (orang biasa) yang akan masuk syurga lebih dahulu daripadamu”.
Mendengar
sahaja kata-kata ayahandanya itu, maka berubahlah air mukanyaa lantas
menangis dan berkata, “Siapakah perempuan itu wahai ayahanda? Macam mana
halnya dan bagaimana pula amalannya sehingga dia dapat lebih dahulu
masuk ke dalam syurga daripada anakanda? Ayahanda, khabarkanlah di mana
dia sekarang”.
Lalu
Rasulullah S.A.W bersabda, “Dia adalah seorang wanita yang miskin,
tinggal di Jabal Uhud, kira-kira 3 batu dari Madinah”. Tanpa membuang
masa, Siti Fatimah pun keluar pergi mencari perempuan yang dikatakan
masuk syurga terlebih dahulu daripadanya. Setelah dia sampai ke rumah
perempuan itu, lalu dia mengetuk pintu sambil memberi salam.
Perempuan
yang Rasulullah maksudkan itu membuka pintu dan bertanyakan hajat Siti
Fatimah datang ke sana tanpa menjemputnya masuk ke dalam rumah. Siti
Fatimah berkata, “Saya datang ke mari kerana hendak berjumpa dan
berkenalan dengan awak”. Perempuan itu menjawab, “Terima kasih cik,
tetapi saya tidak dapat membenarkan cik masuk kerana suami saya tidak
ada di rumah. Nanti saya minta izin apabila dia balik nanti. Silalah
datang pada esok hari”.
Dengan
perasaan sedih dan dukacita Siti Fatimah pulang kerana tak dapat masuk
dan bercakap panjang dengan perempuan itu. Esoknya dia kembali lagi ke
rumah perempuan itu dengan membawa anaknya yang bernama Hasan. Apabila
tiba di pintu rumah perempuan tersebut dan hendak dipersilakan masuk,
tiba-tiba perempuan itu melihat ada budak bersama-sama Siti Fatimah,
lalu dia berkata, “Ini siapa?”. Anakanda Rasulullah menjawab, “Ini anak
saya, Hasan”. Perempuan itu lantas berkata, “Saya dukacita kerana saya
belum meminta izin untuk anak ini masuk dari suami saya”.
Siti
Fatimah jadi serba salah lalu dia pun balik kembali ke rumahnya.
Esoknya Siti Fatimah datang lagi ke rumah perempuan itu tapi kali ini
dia membawa kedua-dua anaknya iaitu Hasan dan Husin. Perempuan ahli
syurga itu terkejut melihat ada seorang budak lagi yang belum diminta
izin dari suaminya untuk masuk ke dalam rumah. Siti Fatimah tersipu malu
lalu dia balik dengan perasaan hampa.
Dalam
perjalanan pulang, hatinya berkata-kata, “Perempuan ini sangat takut
kepada suaminya, sehingga perkara yang begini pun dia tak berani
melakukannya. Pada hal jika dia membenarkan aku masuk, takkan suaminya
marah? Tak usahlah pandang aku ini siapa dan dua budak ni cucu siapa,
pandanglah kepada tetamu dan orang jauh sudahlah” bisik hatinya sambil
menangis teresak-esak.
Sebaik
sahaja suami kepada perempuan itu pulang, perempuan itu memberitahu
perihal budak yang seorang lagi yang dibawa oleh Siti Fatimah. Sumainya
yang terkejut dan hairan pun berkata, “Kenapa awak tahan sampai begitu
sekali? Bukankah Siti Fatimah itu puteri Rasulullah S.A.W dan dua orang
anaknya itu cucu baginda. Lebih daripada itu pun awak patut benarkan
kerana keselamatan kita berdua kelak bergantung pada keredhaan
Rasulullah. Jangan awak buat seperti itu lagi, jika dia membawa sesiapa
pun, terimalah mereka dengan baik dan hormatlah mereka semua”.
Isterinya
menyahut, “Baiklah, tetapi maafkanlah kesalahan saya kerana saya
mengerti bahawa keselamatan diri saya ini bergantung pada keredhaan
awak, suami saya. Oleh itu saya tak berani membuat perkara yang akan
membawa kemarahan atau menyakiti hati awak”. “Terima Kasih” sahut
suaminya.
Pada
hari seterusnya, Siti Fatimah datang lagi dengan membawa dua orang
puteranya. Setelah diterima masuk dan dijamu dengan buah kurma dan air,
mereka pun memulakan perbualan. Dalam pada itu, perempuan itu berjalan
ke arah muka pintu rumahnya sambil memandang ke arah jalan seolah-olah
sedang menantikan kedatangan seseorang dengan tak berepa memperdulikan
Siti Fatimah. Sambil itu Siti Fatimah melihat di tangan perempuan itu
terdapat sebatang tongkat dan sebuah bekas berisi air manakala tangan
yang sebelah lagi menangkat hujung kain sehingga menampakkan betis dan
pehanya dan mukanya penuh dengan senyuman yang manis.
Melihat
keadaan sebegitu rupa dengan perasaan resah kerana tidak diperdulikan
lalu Siti Fatimah bertanya, “Mengapa jadi begini?” Perempuan itu
menyahut, “Cik, harap maafkan saya kerana saya sedang menantikan
kepulangan suami saya”. “Buat apa dengan bekas air itu?” tanya Siti
Fatimah. Jawab perempuan itu, “Kiranya suami saya dahaga pada ketika dia
balik, saya akan segera menghulurkan air ini kepadanya supaya tak
terlambat. Jika terlambat nanti dia akan marah”.
Kemudian
Siti Fatimah bertanya lagi, “Buat apa pula tongkat itu?” Perempuan itu
menjawab, “Jika suami saya marah, mudahlah dia memukul saya dengan
tongkat ini”. Siti Fatimah bertanya lagi, “Kenapa pula awak selak kain
awak sehingga menampakkan aurat, bukankah itu haram?” Maka perempuan itu
berkata, “Jika dia berkehendakkan saya, lalu dia pandang saya begini
tentulah menambahkan syahwat dan nafsunya yang memudahkan kepada
maksudnya”.
Selesai
sahaja perempuan itu menjawab segala pertanyaannya, Siti Fatimah
termenung dan hairan lalu dia berkata, “Jika begini kelakuan dan
perangainya terhadap suaminya, tidak dapatlah aku mengikutnya. Patutlah
dia masuk ke syurga dahulu daripada aku serta wanita-wanita lain.
Ternyata benarlah bahawa keselamatan seorang perempuan yang bersuami itu
bergantung pada ketaatan dan keredhaan suami terhadapnya”.
Sambil
teresak-esak menangis dan menitis air matanya, Siti Fatimah meminta
izin untuk pulang dan dia segera mengadap ayahandanya Rasulullah S.A.W
lalu berkata, “Anakanda berasa sangat sedih dan lemah segala sendi
kerana tak dapat meniru dan melakukan sebagaimana perangai dan amalan
perempuan yang ayahanda maksudkan itu”.
Sebaik
sahaja Rasulullah S.A.W mendengar rintihan puterinya lalu baginda
bersabda sambil tersenyum, “Anakanda, janganlah susah hati, perempuan
yang anakanda jumpa itu ialah perempuan yang akan memimpin dan memegang
tali ras kendali tunggangan anakanda tatkala masuk ke syurga. Jadi
dialah yang masuk terlebih dahulu”. Setelah mendengar penjelasan itu,
barulah Siti Fatimah tersenyum ketawa.
Dari
kisah yang aku ceritakan di atas, dapat lihat bahawa ketaatan seorang
isteri kepada suaminya adalah sangat penting dalam institusi rumah
tangga. Oleh itu kepada semua wanita yang bergelar isteri, sahutlah
seruan cerita ini dan taatlah serta berbuat baiklah kepada suami korang,
nescaya korang akan diredhai oleh suami. Fikirkanlah sejenak, di mana
kedudukan korang sekarang di sisi Allah kerana keredhaan Allah adalah
keredhaan suami korang.