Ibu-bapa
merupakan insan yang paling mulia kerana itulah agama
Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada kedua-duanya. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam
rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar dan tinggi nilainya. dan bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita
sehingga dewasa ter masuk mengorbankan nyawa dan kepentingan
diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk masa depan anak-anak.
Marilah
kita merenung kembali semasa kita kecil dulu apa yang telah dilakukan
oleh kedua ibu-bapa kita, merekalah yang memberi susu kepada kita,
menyuap makanan ke mulut kita, memandikan kita, memakai pakaian kepada
kita, mendodoi dan menidurkan kita, membersihkan najis dan segala
kotoran di badan kita, menghantar kita ke sekolah demi melihat anaknya
ini menjadi insan berguna di kemudian hari.
Mungkin
ada antara kita pada ketika ini ibu-bapanya telah pergi buat
selama-lamanya, kita mendoakan roh-roh mereka ini ditempatkan dikalangan
suhada dan solihin. Sekiranya ibu-bapa kita masih bersama dengan kita
di dunia ini, marilah sama-sama kita mengingati mereka, mungkin pada
ketika ini ibu-bapa kita berada jauh di kampung sana, di rumah yang
usang, ketika hujan mereka kebasahan, ketika kemarau mereka kekeringan,
kadang-kala ibu-bapa kita berada dalam kelaparan dan keperitan akibat
kesempitan hidup, sedangkan kita sebagai anak-anaknya yang berada di
kota ini dalam kemewahan dan tidak merasa itu semua. Kasih sayang kepada
anak-anak sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang-malam,
hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Segala
kesusahan dan penderitaan tidak pernah dikongsi bersama dengan
anak-anak.
Ingatlah
apa yang kita miliki pada hari ini, harta, pekerjaan, pangkat,
kesenangan dan keluarga kita adalah hasil dari pengorbanan mereka. Tanpa
mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan
pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini. Sehubungan
itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik
terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak
dan membalas jasa ibu bapa mereka.
Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 23-24:
Maksudnya:“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Maksudnya:“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Tidak
dapat dinafikan bahawa kasih sayang seorang ibu mengatasi segalanya,
tidak dapat dinilai dengan emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan
wang ringgit. Tidak hilang dihati seorang ibu perasaan rindu terhadap
anak-anaknya walaupun sesaat, kadang-kala ibu tidak dapat menyuap
makanan ke mulutnya dan melelapkan matanya kerana teringatkan
anak-anaknya ini dan ada ketikanya air mata berlinangan mengalir
membasahi dipipinya kerana mengenang dan merindui akan anak-anak.
Cuba
ingatkan bilakah kali terakhir kita bertemu dengan mereka, menatap
wajah dan mencium tangan mereka?. Cukupkah dengan sekadar kita mengirim
duit sebagai penganti diri bagi membayar setitis air mata ibu akibat
rindu kepulangan si anak?. Ambillah kesempatan yang ada semasa hidup
sebelum mereka pergi buat selama-lamanya.
Kebiasaan
kita sebagai anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika
kita ada masalah kita akan luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi
perasaan dengan ibu, jika kita sakit, kita lebih suka ibu yang jaga.
Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan.
Sehinggakan untuk memasuki gerbang perkahwinan pun, masih mengharapkan
bantuan ibu. Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan
pengorbanannya.
Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 14:
Maksudnya:“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.”
Maksudnya:“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.”
Rasulullah SAW ketika menjawab pertanyaan seorang sahabat bersabda :
Maksudnya:“Siapakah
yang paling berhak saya pergauli dangan baik? Nabi bersabda “Ibumu”,
Orang itu bertanya kemudian siapa lagi? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu
bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersanda “Ibumu”. Orang itu bertanya
kemudian siapa lagi, Nabi bersabda : Ayahmu.” (Riwayat al- Bukhari)
Al-Bazzar
meriwayatkan, ada seorang lelaki sedang tawaf dengan mengendung ibunya,
maka lelaki itu bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah dengan ini saya telah melaksanakan kewajipan saya kepadanya? Rasulullah SAW menjawab “Tidak, tidak sebanding dengan satu kali hembusan nafas ketika ibumu melahirkanmu.”
Imam
Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata bahawa
beliau pernah bertanya Rasulullah SAW tentang amalan paling utama.
Baginda bersabda: Solat pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian
apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Beliau
bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan
Allah”.
Betapa
besarnya pengorbanan ibu-bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula
pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta
pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Ada anak-anak yang sanggup
membuang dan menyisih ibu-bapanya.Mereka ini sanggup meninggalkan
ibu-bapa mereka di rumah kebajikan atas alasan tidak sanggup melayan
kerenah ibu-bapa yang semakin tua. Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat
sehingga kini seramai 1857 orang ibu-bapa di tempatkan di rumah Seri
Kenangan tanpa kasih-sayang dari anak-anak. Mereka ini merintih
keseorangan dengan mengharap anak-anak sentiasa mendampingi mereka.
Islam
menganjurkan agar setiap anak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa
selagi suruhan tersebut tidak melanggari syariat Islam. Jika anak-anak
mengingkari perintah ibu-bapa, maka itu adalah derhaka dan satu dosa
besar.
Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As RA bertanya Rasulullah SAW tentang dosa besar. Sabda Baginda: Antara
dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi:
Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu
bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang
lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga
sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya
lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.
menyayangi
ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup sahaja tetapi
sebenarnya berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam
kubur. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah. Menurut Abu Darda’,
Allah SWT telah menempatkan roh orang mukmin di sebuah perkampungan di
langit ketujuh yang diberi nama Darul Baida’.Dari sana roh orang mukmin
sentiasa diberi peluang oleh Allah SWT untuk melihat amalan atau
kegiatan manusia yang masih hidup di dunia khususnya anak-anak atau kaum
kerabat mereka.
Roh
sentiasa bertanya khabar kepada jenazah yang baru tiba di alam arwah
terutama tentang kehidupan keluarga mereka di dunia. Setiap hari amalan
umat Muhammad diangkat ke langit dan segala amalan tersebut dipertonton
kepada roh ibu- bapa kita. Oleh itu gembirakanlah roh ibu-bapa kita
dengan amalan soleh semasa kita masih hidup di duna ini. Roh ibu-bapa
akan sakit, tersiksa dan menderita jika melihat amalan anak-anak mereka
terlibat melakukan dosa besar seperti berzina, berjudi, minum arak,
rasuah, memfitnah orang, bersubahat melakukan kezaliman, penganiayaan
dan perbuataan maksiat lain.
Perbuatan
anak di dunia menjadi ukuran dan bukti adakah kita yang masih hidup ini
sebenar-benar menyayangi ibu-bapa kita. Apalah gunanya anak-anak
mengadakan majlis kenduri tahlil dan doa selamat setiap minggu, setiap
tahun sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan maksiat, kejahatan
dan melakukan dosa besar.
Rasulullah SAW bersabda:Mafhumnya: “Sesungguhnya
amal-amal kamu dibentangkan kepada keluarga dan kaum kerabat kamu yang
telah mati; maka kalau amal perbuatan kamu itu baik-mereka gembira
mengetahuinya, dan kalau sebaliknya, mereka (berdoa untuk kamu dengan)
berkata :‘ Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kaum kerabat kami yang hidup
itu hidayah petunjuk, sebagaimana engkau telah memberi hidayah petunjuk
kepada kami (sehingga kami mati dalam iman)”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi)
marilah
sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap ibu-bapa
setiap masa. Memberi kasih sayang kepada mereka bukan sekadar memberi
hadiah bahkan seluruh jiwa dan raga kita serahkan kepada mereka.
Gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta perbanyakkanlah
doa keampunan kepada mereka. Budayakanlah amalan memuliakan dan
menghormati ibu-bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya
dibuat pada masa-masa tertentu sahaja.
Perlu
kita insafi bahawa ketidakredhaan ibu-bapa kepada sikap keji anak-anak
ini mengundang kemurkaan Allah SWT. Selama mana kita tidak diredhai oleh
ibu-bapa, selama itu juga kita hidup dalam kemurkaan dan derhaka
terhadap Allah SWT Ambillah kesempatan yang ada ini untuk menyayangi
sebelum mereka didatangi ajal.
Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 24: Maksudnya: “Dan
rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih
sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua
sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”(Surah al-Israa’:24)