Istilah “kubur” hanyalah berdasarkan kebiasaan setiap manusia yang meninggal
dunia akan dikuburkan. Adakah
setiap manusia mesti ada kubur jika mereka meninggal dunia?. Sudah
pasti tidak, kerana kadang-kadang terdapat manusia yang tidak diketahui
di mana kuburnya, seperti orang yang mati dimakan binatang buas, mati
terbakar hangus, mati hancur berkecai jasadnya kerana kemalangan, mati
hilang di laut dan sebagainya.
Namun
menurut keyakinan ahli sunnah wal jamaah setiap manusia yang mati tetap
akan berada di alam kubur atau di alam barzakh iaitu alam di antara
alam dunia dengan alam akhirat. Ini berdasarkan Firman Allah dalam surah
al-Mukminun ayat 99 -100:
Maksudnya: “Kesudahan
golongan yang kufur ingkar apabila sampai ajal maut kepada salah
seorang di antara mereka berkatalah ia “Wahai Tuhanku kembalikanlah daku
(hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh
dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat?
Sesungguhnya perkataanya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang
mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka
tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari
kiamat).”
Menurut
kamus Lisanul Arabi oleh Ibni Manzur, makna alam barzakh ialah suatu
tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar
daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna
dinding pembatas antara dua benda sejak dari waktu kematian seseorang
sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh atau alam kubur.
Banyak
perkara di dunia ini yang kita tidak dapat saksikan dengan mata kasar
tetapi kita tetap meyakini kewujudannya. Contohnya beberapa orang yang
tidur nyenyak di atas satu hamparan. Ada di antara mereka bermimpi indah
dan ketika ia bangun, jasadnya merasai nikmat yang dirasakan oleh
rohnya ketika bermimpi. Demikian sebaliknya, orang yang bermimpi buruk
dan mengerikan, bukan sahaja rohnya terseksa tetapi badannya juga rasa
terseksa. Sedangkan mereka yang tidur berhampiran pula tidak mengetahui
apa yang dirasakan oleh rakannya. Jika perkara seperti inipun diakui
hakikat kewujudannya maka demikianlah dengan alam barzakh, malahan alam
barzakh lebih hebat dari itu.
Sesungguhnya
nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita imani dan yakini
kewujudannya walaupun ia tidak dapat dibuktikan secara nyata tetapi ia
termasuk dalam perkara “sam’iyyat” yang wajib kita yakini. Kerana
Rasulullah SAW memerintahkan agar kita berlindung dari azab kubur
sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang
menyuruh para sahabat agar mengamalkan doa berikut:
"اللَّهُمَّ اِنِّي اَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابٍ فِيْ النَّارِ وَعَذَابٍ فِيْ الْقَبْرِ"
Maksudnya : “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku mohon berlindung dari azab kubur.”
Kita
wajib berlindung diri dari azab kubur, kerana alam kubur merupakan
persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur
kita mendapat kenikmatan, itulah tanda bahawa kita akan mendapat
kemudahan dan kebahagiaan di alam akhirat nanti. Sebaliknya, apabila
mendapat azab kubur, itulah petanda bahawa orang tersebut akan mendapat
kesulitan di akhirat nanti. Sabda Rasulullah SAW:
"إِنَّ
الْقَبْرَ أَوَّلُ مَنَازِلَ الآخِرَةِ فَإِنْ نَجَا مِنْهُ فَمَا
بَعْدَهُ أَيْسَرُ، وَإِنْ لَمْ يَنْجَحْ مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَشَدُّ
مِنْهُ."
Maksudnya: “Sesungguhnya
kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah
itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi.
Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar
lagi.”
(Hadis riwayat at-Tirmizi)
Pernahkah kita terfikir bagaimana bentuk azab atau nikmat kubur?. Rasulullah SAW bersabda:
"اِنَّ
اَحَدَكُمْ اِذَا مَاتَ عُرِضَ عَلَيْهِ مَقْعَدُهُ بِالْغَدَاةِ
وَالْعَشِيِّ اِنْ كَانَ مِنْ اَهْلِ الْجَنَّةِ فَمِنْ اَهْلِ الْجَنَّةِ
وَاِنْ كَانَ مِنْ اَهْلِ النَّارِ فَمِنْ اَهْلِ النَّارِ يُقَالُ هَذَا
مَقْعَدُكَ حَتَّى يَبْعَثَكَ اللَّهُ اِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ."
Maksudnya: “Apabila
salah seorang di antara kamu mati, akan ditunjukkan kepada-Nya setiap
pagi dan petang tempat tinggalnya. Bila ia penghuni syurga, akan
ditunjukkan kepada-Nya kenikmatan syurga, dan bila ia penghuni neraka,
akan ditunjukkan kepada-Nya keazaban neraka. Lalu dikatakan kepada
mereka : “itulah tempat tinggalmu, sampailah Allah membangkitkanmu pada
hari kiamat.”
(Hadis riwayat Muslim)
Berdasarkan
hadis tersebut nyatalah bahawa azab dan nikmat kubur pasti akan
terjadi. Bagi mereka yang mempunyai keimanan yang mantap, ilmu Agama
yang cukup, yakin akan kudrat dan kuasa Allah yang tiada tandingannya
pasti akan yakin dengan adanya siksaan dan nikmat kubur. Hanya orang
yang jahil dan sesat serta suka mendustakan Rasulullah SAW akan meragui
dan mengingkari adanya azab kubur.
Sebenarnya di dalam Al-Quran terdapat lebih kurang 300 ayat
yang menyatakan tentang kematian dan keadaan-keadaan kehidupan selepas
daripada mati seperti di alam barzakh dan di akhirat. Nas-nas Al-Quran
dan hadis-hadis Rasulullah SAW menerangkan bahawa roh itu kekal, ada
roh yang mendapat nikmat kerana amalannya di dunia dahulu baik dan ada
roh yang terseksa lantaran amalannya di dunia dahulu jahat.
Atas
sebab itulah, gambaran tentang azab seksa dan nikmat kubur wajib kita
imani dan yakini. Apa lagi hadis-hadis yang menerangkan tentang azab
seksa dan nikmat kubur sebagaimana yang dinyatakan adalah hadis sahih
dan kuat darjatnya.
Apabila
kita mengingati tentang kewujudan azab yang ditanggung selepas mati
oleh orang-orang yang derhaka kepada Allah, maka kita terasa gementar
kerana takut akan azab Allah yang menggerunkan dan insyaAllah akan
mendekatkan diri kita kepada-Nya.
Justeru,
kita boleh kasihkan harta tapi tidak lupakan soal hisab, kita boleh
kasihkan rumah tapi tidak lupakan soal kubur, kita boleh kasihkan hidup
tapi tidak lupakan soal maut, kita boleh kasihkan dunia tapi tidak
lupakan soal akhirat.
Untuk
itu, tidak ada jalan pintas melainkan kita wajib mematuhi segala yang
diperintahkan Allah sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran. Patuh
segala perintah Allah adalah syarat untuk mendekatkan diri kepada Allah
dan menjadi kekasihnya.
Dengan
mengingati azab kubur juga insyaAllah kita akan menjadi semakin takut
untuk meninggalkan solat, meninggalkan puasa, tidak mengeluarkan zakat,
merosakkan harta awam, melanggar batas-batas hukum syariat dan
sebagainya. Dengan yang demikian akan memberi rangsangan kepada kita ke
arah melakukan kebaikan yang sangat dituntut oleh Islam.
Yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab api neraka.” ( Ali-Imran: 16)