Dikuasakan oleh Blogger.

About Me

Foto Saya
ipoh, perak
X KAGAT....?.

SMS ampang ipoh 24 /6/ 11

gif webcam

DI SMA Chemor 13/5/12

pictures to gif

Di SMA Chemor

animated gif maker

Guru Pendidikan Islam Ulu Kinta Jun 13

http://picasion.com/i/1VkmT/

9 Apr 2014

Tanggongjawab siapa...?.


Ibu bapa perlu didik anak mengenai aurat, hubungan berlainan jantina elak terjebak maksiat. ISLAM agama yang indah, lengkap dan memenuhi aspek kehidupan sejagat. Tiada satu persoalan pun dalam kehidupan di dunia ini melainkan Islam menyediakan garis panduan, peraturan dan penyelesaiannya supaya manusia menjalani kehidupan dengan sejahtera.

Antaranya ialah persoalan seks. Apabila berbicara mengenai seks, Islam menganjurkan umatnya bertanya segala masalah itu kepada orang yang lebih alim. Saidatina Aisyah memuji sifat wanita Ansar yang berani bertanya Rasulullah dalam masalah agama yang mereka tidak ketahui. Tambahan pula persoalan seks amat berkait rapat dengan soal maruah yang menjadi satu daripada enam perkara asasi dan tonggak kesejahteraan serta keamanan sejagat selain agama, harta, nyawa, akal dan keturunan. Pengabaian persoalan seks dikatakan antara faktor menyumbang kepada kemelut sosial yang semakin meruncing di kalangan masyarakat kini. Justeru, pendidikan seks perlu diberi perhatian yang serius oleh ibu bapa secara khususnya ketika mendidik anak supaya mereka menjadi insan yang bertakwa kepada Allah.


Seks memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Menurut kamus, seks ialah keinginan nafsu syahwat yang disalurkan pada tempat sebenarnya. Dengan nafsu syahwat inilah keturunan manusia dilanjutkan. Sehubungan itu, Islam tidak ketinggalan menyediakan garis panduan kepada manusia supaya mendidik nafsu syahwat selaras nilai Islam sehingga berubah menjadi nafsu yang dirahmati dan diredai Allah. Dari sini, baru terbina sebuah mahligai rumah tangga yang bahagia dihiasi haruman sakinah , mawaddah dan rahmah. Dari institusi kekeluargaan inilah, lahir generasi manusia yang akan menyambung keturunan untuk terus mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.


Menurut perspektif Islam, pendidikan seks sebahagian daripada pendidikan akhlak yang didasari asas iman. Contoh, seorang Muslim yang beriman tidak akan menyalurkan naluri keinginan seks untuk berzina atau melakukan seks bebas, berkhalwat dan sebagainya. Pendek kata, iman bertindak sebagai perisai utuh menghalang seorang Muslim melakukan larangan Allah. Sebaliknya iman tohor menyebabkan mereka bertuhankan hawa nafsunya dan sanggup melakukan apa saja asalkan dapat memuaskan kehendak hawa nafsunya.


Konsep awal pendidikan seks dalam Islam dimulai dengan pengertian aurat iaitu bahagian tubuh yang wajib ditutup, tidak boleh diperlihatkan dan kita pun tidak boleh melihat aurat orang lain. Bagi lelaki, auratnya antara pusat hingga ke paras lutut. Aurat wanita pula seluruh tubuhnya kecuali muka dan dua tapak tangan. Dalam hal ini, tiada kelonggaran atau keuzuran bagi seseorang mendedahkan aurat kepada orang lain kecuali untuk tujuan perubatan dan sebab yang dibenarkan syarak.
Malah aurat adalah bahagian tubuh yang boleh membangkitkan nafsu syahwat. Sebab itu, Islam memerintahkan umatnya menutup aurat supaya tidak terdedah kepada gejala terlarang.


Seterusnya, Islam memerintahkan ibu bapa memisahkan tempat tidur anak mereka apabila sampai masa dengan menyediakan bilik khusus untuk anak lelaki dan anak perempuan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah bermaksud:

“Suruhlah anak kamu menunaikan solat apabila berusia tujuh tahun dan pukul mereka apabila berusia sepuluh tahun (jika masih belum menunaikan solat) serta asingkan tempat tidur mereka.” (HR Tirmizi dan Abu Daud).

Selain itu, anak sewajarnya dijelaskan adab sopan dalam rumah dan luar rumah. Ibu bapa perlu mendidik mereka sejak kecil mengenai adab meminta izin dalam rumah tangga iaitu meminta izin untuk masuk ke bilik ibu bapanya. Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya:

 “Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umurnya) yang tersebut dahulu meminta izin.” (Surah al-Nur: 59)

Pendidikan seks juga bererti mendidik diri anak dan orang dewasa sentiasa menjaga pandangan mata. Ini bermakna seorang Muslim dilarang memandang benda haram seperti menonton filem lucah, membaca bahan lucah, melihat gambar seks dan sebagainya. Malah, lelaki wajib menundukkan pandangannya apabila melihat perempuan seperti dinyatakan Allah dalam (Surah al-Nur: 30) yang bermaksud: 


“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan- Nya tentang apa yang mereka kerjakan.”
 
Perintah menundukkan pandangan mata bukan hanya kepada lelaki malah perempuan yang turut dituntut memelihara aurat dan kehormatan mereka. Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya:

 “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mata mereka (daripada memandang yang haram), memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur: 31)

Anak juga hendaklah diajar jangan bergaul bebas antara lelaki dan perempuan dan tidak berdua-duaan dengan yang bukan mahram. Bergaul bebas antara mukadimah zina yang dilarang Islam selain perangkap yang dipasang syaitan untuk menjeremuskan umat manusia ke lembah perzinaan.


Huraian Al-Quran dan juga penjelasan hadis Rasulullah berkaitan dengan proses kejadian manusia bermula dari setitik air mani hingga kepada proses kelahiran bayi, hendaklah disampaikan dan dijelaskan kepada anak dengan sebaik-baiknya untuk maksud membuktikan kekuasaan Allah.


Akhirnya, apabila anak mencapai umur kematangan yang melayakkan mereka membawa haluan hidup masing-masing maka ibu bapa perlu menerangkan etika hidup bersuami isteri dan berkeluarga mengikut cara Islam. Mudah-mudahan mereka dapat membina sebuah mahligai rumah tangga bahagia yang berada di bawah keredaan Ilahi. Sejarah membuktikan, pengetahuan manusia semata-mata tidak mampu membendung dan mendidik seks tanpa petunjuk Allah.

8 Apr 2014

Pengorbanan ibu....

Ibu-bapa merupakan insan yang paling mulia  kerana itulah agama Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada kedua-duanya. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar dan tinggi  nilainya. dan bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa  ter masuk mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk masa depan anak-anak.

Marilah kita merenung kembali semasa kita kecil dulu apa yang telah dilakukan oleh kedua ibu-bapa kita, merekalah yang memberi susu kepada kita, menyuap makanan ke mulut kita, memandikan kita, memakai pakaian kepada kita, mendodoi dan menidurkan kita, membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita, menghantar kita ke sekolah demi melihat anaknya ini menjadi insan berguna di kemudian hari. 

Mungkin ada antara kita pada ketika ini ibu-bapanya telah pergi buat selama-lamanya, kita mendoakan roh-roh mereka ini ditempatkan dikalangan suhada dan solihin. Sekiranya ibu-bapa kita masih bersama dengan kita di dunia ini, marilah sama-sama kita mengingati mereka, mungkin pada ketika ini ibu-bapa kita berada jauh di kampung sana, di rumah yang usang, ketika hujan mereka kebasahan, ketika kemarau mereka kekeringan, kadang-kala ibu-bapa kita berada dalam kelaparan dan keperitan akibat kesempitan hidup, sedangkan kita sebagai anak-anaknya yang berada di kota ini dalam kemewahan dan tidak merasa itu semua. Kasih sayang kepada anak-anak sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang-malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Segala kesusahan dan penderitaan tidak pernah dikongsi bersama dengan anak-anak.

Ingatlah apa yang kita miliki pada hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan keluarga kita adalah hasil dari pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini. Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.  

Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 23-24:
Maksudnya:Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.


Tidak dapat dinafikan bahawa kasih sayang seorang ibu mengatasi segalanya, tidak dapat dinilai dengan emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Tidak hilang dihati seorang ibu perasaan rindu terhadap anak-anaknya walaupun sesaat, kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan ke mulutnya dan melelapkan matanya kerana teringatkan anak-anaknya ini dan ada ketikanya air mata berlinangan mengalir membasahi dipipinya kerana mengenang dan merindui akan anak-anak. 

Cuba ingatkan bilakah kali terakhir kita bertemu dengan mereka, menatap wajah dan mencium tangan mereka?. Cukupkah dengan sekadar kita mengirim duit sebagai penganti diri bagi membayar setitis air mata ibu akibat rindu kepulangan si anak?. Ambillah kesempatan yang ada semasa hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya. 

 Kebiasaan kita sebagai anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah kita akan luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika kita sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Sehinggakan untuk memasuki gerbang perkahwinan pun, masih mengharapkan bantuan ibu. Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya. 

Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 14:
Maksudnya:Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.


Rasulullah SAW ketika menjawab pertanyaan seorang sahabat bersabda :
Maksudnya:Siapakah yang paling berhak saya pergauli dangan baik? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersanda “Ibumu”. Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersabda : Ayahmu.” (Riwayat al- Bukhari)


Al-Bazzar meriwayatkan, ada seorang lelaki sedang tawaf dengan mengendung ibunya, maka lelaki itu bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah dengan ini saya telah melaksanakan kewajipan saya kepadanya? Rasulullah SAW menjawab “Tidak, tidak sebanding dengan satu kali hembusan nafas ketika ibumu melahirkanmu.”

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata bahawa beliau pernah bertanya Rasulullah SAW tentang amalan paling utama. Baginda bersabda: Solat pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah”.

Betapa besarnya pengorbanan ibu-bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Ada anak-anak yang sanggup membuang dan menyisih ibu-bapanya.Mereka ini sanggup meninggalkan ibu-bapa mereka di rumah kebajikan atas alasan tidak sanggup melayan kerenah ibu-bapa yang semakin tua. Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga kini seramai 1857 orang ibu-bapa di tempatkan di rumah Seri Kenangan tanpa kasih-sayang dari anak-anak. Mereka ini merintih keseorangan dengan mengharap anak-anak sentiasa mendampingi mereka.

Islam menganjurkan agar setiap anak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selagi suruhan tersebut tidak melanggari syariat Islam. Jika anak-anak mengingkari perintah ibu-bapa, maka itu adalah derhaka dan satu dosa besar.

 Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As RA bertanya Rasulullah SAW tentang dosa besar. Sabda Baginda: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.

menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup sahaja tetapi sebenarnya berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah. Menurut Abu Darda’, Allah SWT telah menempatkan roh orang mukmin di sebuah perkampungan di langit ketujuh yang diberi nama Darul Baida’.Dari sana roh orang mukmin sentiasa diberi peluang oleh Allah SWT untuk melihat amalan atau kegiatan manusia yang masih hidup di dunia khususnya anak-anak atau kaum kerabat mereka. 

Roh sentiasa bertanya khabar kepada jenazah yang baru tiba di alam arwah terutama tentang kehidupan keluarga mereka di dunia. Setiap hari amalan umat Muhammad diangkat ke langit dan segala amalan tersebut dipertonton kepada roh ibu- bapa kita. Oleh itu gembirakanlah roh ibu-bapa kita dengan amalan soleh semasa kita masih hidup di duna ini. Roh ibu-bapa akan sakit, tersiksa dan menderita jika melihat amalan anak-anak mereka terlibat melakukan dosa besar seperti berzina, berjudi, minum arak, rasuah, memfitnah orang, bersubahat melakukan kezaliman, penganiayaan dan perbuataan maksiat lain.

Perbuatan anak di dunia menjadi ukuran dan bukti adakah kita yang masih hidup ini sebenar-benar menyayangi ibu-bapa kita. Apalah gunanya anak-anak mengadakan majlis kenduri tahlil dan doa selamat setiap minggu, setiap tahun sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan maksiat, kejahatan dan melakukan dosa besar.

Rasulullah SAW bersabda:Mafhumnya: “Sesungguhnya amal-amal kamu dibentangkan kepada keluarga dan kaum kerabat kamu yang telah mati; maka kalau amal perbuatan kamu itu baik-mereka gembira mengetahuinya, dan kalau sebaliknya, mereka (berdoa untuk kamu dengan) berkata :‘ Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kaum kerabat kami yang hidup itu hidayah petunjuk, sebagaimana engkau telah memberi hidayah petunjuk kepada kami (sehingga kami mati dalam iman). (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi)

marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap ibu-bapa  setiap masa. Memberi kasih sayang kepada mereka bukan sekadar memberi hadiah bahkan seluruh jiwa dan raga kita serahkan kepada mereka. Gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta perbanyakkanlah doa keampunan kepada mereka. Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu-bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa-masa tertentu sahaja.

 Perlu kita insafi bahawa ketidakredhaan ibu-bapa kepada sikap keji anak-anak ini mengundang kemurkaan Allah SWT. Selama mana kita tidak diredhai oleh ibu-bapa, selama itu juga kita hidup dalam kemurkaan dan derhaka terhadap Allah SWT  Ambillah kesempatan yang ada ini untuk menyayangi sebelum mereka didatangi ajal. 

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 24:  Maksudnya: Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”(Surah al-Israa’:24)

7 Apr 2014

Redha suami kesyurga

maksud hadis:
 Daripada Ummu Salamah R.ha katanya, sabda Rasulullah SAW, “Mana-mana wanita yang meninggal dunia sedang suaminya redha terhadapnya nescaya dia akan masuk ke syurga”. 
Huraian Hadith: 
  1. Suami yang redha terhadap isterinya yang telah meninggal dunia membolehkan isterinya dimasukkan ke dalam syurga.
  2. Isteri-isteri hendaklah melakukan suatu perkara yang diredhai oleh suaminya.
  3. Setiap sesuatu yang hendak dilakukan oleh seseorang isteri hendaklah dipersetujui oleh suaminya.
  4. Keizinan suami atas suatu perkara yang dilakukan oleh isterinya adalah menunjukkan keredhaan suami.

    JAKIM

6 Apr 2014

3 watak manusia

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 204-205: 

Maksudnya: Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah) bahwa Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang sangat-sangat keras permusuhannya. Dan apabila ia berpaling, berjalanlah ia di bumi, untuk melakukan kerosakan padanya, dan membinasakan tanam-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada kerosakan.”

Antara watak  tersebut adalah:

          Watak Pertama: Manusia yang bermulut manis dibibir tetapi hati penuh dengan racun berbisa. Manusia jenis ini sangat pandai berkata-kata dan mempunyai daya tarikan yang mempersonakan hati ramai orang. Dia boleh dianggap mempunyai hati yang baik, jujur, sentiasa berbuat kebaikan dan seorang pemikir yang sentiasa memikirkan kepentingan umum tetapi pada hakikatnya adalah lain dibibir lain dihati.

        Pada pandangan agama Islam, manusia seperti ini adalah seorang yang munafik. Zahirnya mengatakan ’Ya’ tetapi batinnya mengatakan ’Tidak’. Manakala dalam masyarakat Melayu, dia dipanggil ’Musuh Dalam Selimut’, ’Musang Berbulu Ayam’ atau ’Telunjuk Lurus Kelingking Berkait’.


Watak Kedua: Manusia perosak masyarakat. Manusia jenis ini tidak mempunyai rasa malu dan sanggup melakukan apa sahaja untuk merosakkan masyarakat. Kerosakkan yang dilakukan adalah semata-mata kerana tidak dapat mengawal perasaan dan emosi apabila melihat orang lain mendapat kebaikan.

        Antara musibah yang menimpa masyarakat dengan adanya manusia sebegini adalah lahir kumpulan yang suka menyalahkan orang lain atau kumpulan lain. Ada yang sanggup mencaci, menghina, memaki orang lain. Kita perlu ingat bahawa watak ini tidak dapat menyelesaikan masalah ummah tetapi menambahkan beban masalah buat masyarakat dan negara. Justeru itu, manusia yang terlibat dalam kelompok ini, gemar mencela, mengumpat, mengutuk, memfitnah tanpa dasar yang betul. Adalah suatu kezaliman sekiranya seseorang menuduh orang lain melakukan perbuatan yang tidak dilakukan olehnya.

        Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan kita dalam sebuah hadith baginda yang diriwayatkan oleh at-Thobarani:

Mafhumnya:Janganlah kamu mencaci maki para pemimpin. Doakanlah kebaikan untuk mereka kerana sesungguhnya kebaikan mereka membawa kebaikan untuk kamu juga”.


Salah satu perkara yang dilakukan oleh mereka ini ialah melalui penyebaran berita palsu dan fitnah. Fitnah dilakukan sama ada melalui perkataan, ucapan atau tulisan. Pada zaman era globalisasi ini pelbagai fenomena fitnah telah muncul. Justeru, umat Islam hendaklah berusaha menolak dan menjauhi daripada terlibat. Alat-alat tekonologi yang maju patut digunakan untuk faedah dan kebaikan manusia dan bukannya disalahgunakan.

        Sedarilah bahaya fitnah tersebut boleh menjatuhkan maruah seseorang. Jika fitnah terkena kepada pemimpin, maka jatuhlah kepimpinannya. Jika fitnah itu mengenai guru, maka hilanglah kewibawaannya sebagai pendidik. Dan jika fitnah itu mengenai suami isteri, maka bergoncanglah keharmonian rumah tangga dan keluarga.

Firman Allah SWT dalam surah alk-Anfal ayat 25:

Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada dosa yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya”.

          Watak Ketiga pula ialah: Manusia yang tidak boleh ditegur atau tidak boleh menerima kritikan, tidak bersikap terbuka dan tidak boleh menerima pendapat orang lain serta menghormati perbezaan pendapat. Mereka ini jika diajak membetulkan kesilapan diri, diseru mengikut jalan yang betul, diajak secara jujur, maka mereka menjadi sombong, angkuh dan bongkak.

        Watak manusia sebegini adalah disebabkan mereka tidak dapat melihat kesalahan diri sendiri atau kumpulan mereka. Mereka selalu berasa benar dan bijak, manakala kesilapan datangnya daripada orang lain. Lantaran itu manusia seperti ini akan menjadikan sesiapa sahaja sebagai ‘Kambing Hitam’ untuk menutup segala kesalahan dan kelemahan yang ada pada diri mereka.

        Kesemua watak manusia yang dinyatakan tadi mengajak kita semua berfikir dan berwaspada supaya tidak menjadi golongan berkenaan. Untuk itu mimbar menyeru semua pihak dan sidang jemaah sekalian, sedarilah bahawa masyarakat yang bertamadun akan mengelakkan diri daripada sebarang perbuatan jahat yang boleh memusnahkan agama, masyarakat dan negara. Semoga dengan sikap sedemikian kita tidak terjerumus ke dalam perbalahan, perpecahan, pencerobohan hak, pertumpahan darah dan sebagainya.



Maksudnya: “Katakanlah: Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu, atau jika Ia memberikan rahmat kepada kamu? Dan mereka tidak akan beroleh sesiapapun selain Allah, pelindung atau penolong mereka.”
(Surah al-Ahzab:17)

3 Apr 2014

Penghulu segala hari

maksud Hadith: 
Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani.
(Riwayat: al-Bukhari) 
 
Huraian Hadith: 
 
1. Islam menyerlahkan perbezaan yang begitu ketara dengan agama-agama lain agar umatnya tidak terkeliru seperti membezakan arah qiblat, kitab suci, hari raya, hari kebesaran dan sebagainya.

2. Islam menetapkan bahawa hari Jumaat adalah sebagai penghulu segala hari. Ini berbeza dengan Yahudi yang membesarkan hari Sabtu dan Kristian yang membesarkan hari Ahad.

3. Perbezaan-perbezaan yang ditetapkan oleh Islam ini hendaklah diamalkan dan dihayati secara praktikal oleh umat Islam kerana dengan cara ini akan menyerlahkan lagi jati diri setiap muslim serta menjauhkan mereka daripada terpengaruh dengan adat dan budaya yang cuba dibawa masuk oleh musuh Islam.

4. Kegagalan umat Islam dalam mempromosikan Islam terhadap masyarakat bukan Islam akan mengakibatkan umat Islam dipandang hina dan Islam dipandang sepi. Dengan itu umat Islam hendaklah berhati-hati agar tidak terikut dengan semua adat dan budaya orang-orang bukan Islam sehingga membawa kepada rosaknya aqidah dan terpadamnya garisan yang telah ditetapkan oleh syarak.

2 Apr 2014

Hikmah bersedekah

Maksud Hadith: 
Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, pada suatu ketika kami sedang dalam perjalanannya bersama-sama rombongan Nabi SAW, tiba-tiba datanglah seorang lelaki di atas kenderaan, maka ia menoleh pandangannya ke kanan dan ke kiri, kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang mempunyai kenderaan yang melebihi dari keperluannya sendiri hendaklah bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai kenderaan dan sesiapa yang mempunyai lebihan bekalan makanan hendaklah ia bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan. Selanjutnya junjungan menyebut berbagai-bagai harta benda hingga kami ketahui bahawasanya tidak ada hak bagi sesiapa daripada kami kadar yang lebih daripada keperluan.
(Riwayat:Muslim )

Huraian Hadith: 
 
  1. Islam menggalakkan umatnya supaya memberi pertolongan dan bantuan kepada orang-orang yang susah dan orang-orang yang memerlukan bantuan sama ada dari segi harta benda, kewangan dan sebagainya.
  2. Hikmah digalakkan bersedekah ialah untuk mengelakkan daripada mementingkan diri sendiri sebaliknya mengeratkan persaudaraan di dalam Islam.
  3. Islam telah mendahului segala pertubuhan atau individu menggalakkan pengikutnya membantu orang lain dan memberikan lebihan keperluannya kepada yang memerlukan.

6 langkah

1. Agar wajah selalu segar, berseri-seri dan cantik, cucilah minima 5 kali sehari dengan air
wudhu. Jangan langsung dikeringkan, biarkan menitis dan kering sendiri. Lalu ambillah sajadah, shalat, berdzikir, dan berdo’a.

2. Untuk menghilangkan stress, perbanyaklah ‘olahraga’. Cukup dengan memperbanyakkan solat. Ketika solat, kita mengerakkan seluruh tubuh. Lalu berkonsultasilah pada Allah SWT dengan dzikir dan doa.

3. Untuk pelembab, agar awet muda, gunakanlah senyuman. Tidak hanya di bibir tapi juga di hati. Jangan lupa bisikkan ‘kata kunci’, “Allahuma Kamma Hassanta Khalqii Fahassin Khuluqii” (Ya Allah sebagaimana engkau telah memperindah kejadianku, maka perindah pula akhlaqku). (HR Ahmad).- (DOA TENGOK CERMIN).

4. Untuk punya bibir cantik, bisikkan kalimat-kalimat Allah, tidak berbohong atau menyakiti hati orang lain, tidak menyombongkan diri atau takbur.

5. Agar tubuh langsing, mulus, diet yang teratur dengan berpuasa seminggu 2 kali, Isnin dan Khamis. Jika kuat, lebih bagus lagi puasa Nabi Daud AS i.e. selang satu hari. Makanlah makanan halal, perbanyak sayuran, buah-buahan, dan air putih.

6. Untuk mengembangkan diri, sebarkan salam dan sapaan. Dengan demikian kita akan banyak dikenal dan disayangi.

1 Apr 2014

7 langkah berjaya


Perkara terbaik yang Anda patut lakukan di waktu pagi, adalah:
1. Bersyukur, bersyukur, bersyukur.
Bersyukurlah sebab Anda masih diberi peluang untuk meneruskan hidup, Anda masih ada kesempatan untuk melakukan yang terbaik hari ini, lebih baik dari yang kelmarin. 
2. Tekad Bermotivasi.
Pasang niat dalam hati yang Anda mahu jadi bersemangat sepenuhnya. Ambil beberapa artikel-artikel motivasi pendek dan baca dalam seminit dua.  Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi  mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang Anda dari bermotivasi sepanjang hari. 
3. Dekatkan Diri Dengan Sesi Motivasi.
Ikuti sesi-sesi motivasi di media, misalnya Motivasi Pagi di TV3 dan sebagainya. Luangkan masa 3-5 minit memberi motivasi pada diri sendiri melalui sesi-sesi motivasi pendek ni.  Motivasi harus dijaga, sebab kalau tak di jaga Anda ia mudah turun. Kesannya, Anda jadi tak bersemangat, lemah longlai dan lemas. 

4. Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah.
Bila Anda start punch card nak masuk kerja, baca Bismillah, moga Anda dijauhkan dari bisikan syaitan yang membuat Anda lalai, mengantuk, macam tak cukup „cas betri. saja.
Andai kata Anda seorang pelajar, start nak masuk kelas, duduk di kerusi Anda dan start nak bukak buku, mulakan semuanya dengan Bismillah. Moga apa jua yang Anda lakukan mendapat keberkatan.  Masuk aje kelas, pasang niat Anda mahu menuntut ilmu. Bila istiqamah melakukannya, Anda punya peluang cerah untuk menjadi cemerlang! 
5. Set Target Kemajuan Diri Sendiri
Ini juga kurang dititikberatkan. Bila dah keluar rumah sama ada ke kelas atau ke tempat kerja, kita tak tahu apa yang kita nak capai hari tu. Betul tak?  Kita hanya nak sampai di sana, bekerja (atau menghadiri kelas) lepas tu nanti petang balik rumah, berehat, makan, minum, pastu tidur. Esok pagi, bangun dan perkara sama berulang lagi. Hidup Anda bagai dalam 1 bulatan, situ-situ saja. Mulai hari ini, ubah sikap Anda. Set target apa yang Anda mahu capai, lagi best setkan untuk setiap hari.
Andai Anda seorang pelajar, set target berapa bab yang Anda nak ulangkaji, berapa buah buku yang Anda nak baca dalam minggu ni, berapa soklan Anda nak tanya dengan lecturer Anda nanti. 
Andai Anda seorang usahawan, set target berapa jualan yang Anda nak capai hari ini dan berapa keuntungan yang Anda nak dapat hasil dari bisnes Anda. Set juga apa yang Anda nak pelajari hari ni dalam bidang bisnes Anda.
Andai Anda seorang pekerja, set berapa tugas yang Anda nak siapkan dan set limit masa untuk Anda menyiapkan segalanya. Kecekapan seorang pekerja di nilai dari kepantasan, ketepatan dan kekemasan. 
6. Lihat Warna Cerah
Warna boleh mempengaruhi mood. Warna cerah membuat kita jadi energetik, ceria dan penuh dengan idea.  Setiap hari, lihat warna-warna yang cerah seperti kuning, merah, biru dan hijau. Cara ni saya dah test sendiri, berkesan sungguh!
Dekatkan diri dengan benda-benda berwarna cerah sebab ia mampu merubah mood Anda menjadi positif. 
7. Penuhkan Hati Dengan Kemaafan
Lepaskan segala yang dulu-dulu. Maafkan orang diwaktu pagi, maafkan kesalahan semuanya dari dulu sampai sekarang.  Lepaskan dendam, rasa tak puas hati, geram, sakit hati dan yang sewaktu dengannya. 
Andai emosi-emosi negatif ni bersarang di hati (walaupun sedikit) ia menghalang motivasi. Kesannya, Anda jadi orang yang tak bersemangat langsung.  Lebih teruk, Anda jadi orang yang berfikiran negatif, hanya nampak yang negatif dalam diri setiap orang, setiap situasi dan setiap benda. 
Anda mesti berubah untuk kemajuan diri. Berani Berubah Untuk Kecemerlangan Hidup! “Peluang yang besar itu datang secara tiba-tiba, datang tidak menentu masa, datang di saat kita kesempitan atau kesusahan. Nilailah peluang yang besar itu dengan bijaksana. Rebutlah peluang yang besar itu kerana peluang yang besar itu boleh berlalu dengan secara tiba-tiba. Jangan jadikan seribu alasan untuk tidak merebut peluang yang besar itu.” - Prof. Dr. Hamka
Renung-renung, fikir-fikir dan muhasabah diri.....

Masjid Solatiah GR

http://picasion.com