Dikuasakan oleh Blogger.

About Me

Foto Saya
ipoh, perak
X KAGAT....?.

SMS ampang ipoh 24 /6/ 11

gif webcam

DI SMA Chemor 13/5/12

pictures to gif

Di SMA Chemor

animated gif maker

Guru Pendidikan Islam Ulu Kinta Jun 13

http://picasion.com/i/1VkmT/

6 Sep 2010

RENUNG LAH SEBELUM DATANG SYAWAL


Tidak lama lagi Ramadan akan pergi meninggalkan kita dan Syawal akan menjelma. Kedatangan Syawal diterima dalam dua keadaan, satu golongan bersedih kerana menyedari kurangnya ibadat yang dapat dilakukan disebabkan sibuk, sakit dan terlalai dan golongan ini amat bimbang kalau Ramadan tahun ini merupakan yang terakhir baginya,manakala satu golongan lagi amat gembira kerana sudah tidak perlu berpuasa lagi dan menganggap berpuasa hanyalah sesuatu yang amat membebankan. Termasuk golongan manakah kita?,fikir-fikirkanlah.
Walaubagaimanapun kita tidak boleh menahannya, Ramadan tetap akan pergi, kehidupan perlu diteruskan sebaiknya. Oleh itu mari kita renungkan dan fikirkan pula bagaimana seharusnya kita menyambut Aidilfitri tahun ini.Apakah kita sudah bersedia dengan pengisian menyambut kehadirannya ? Sebaik sahaja jatuh matahari akhir Ramadan, umat Islam dituntut bertakbir, bertasbih dan bertahmid memuji kebesaran Allah kerana mencucuri rahmat ke atas kita. Penuhkan malam satu Syawal dengan perkara-perkara yang baik yang dituntut dan janganlah hendaknya meniru budaya negatif kerana ia tidak dibenarkan oleh agama.Jauhkan diri dari apa-apa hiburan yang melalaikan. Janganlah diulangi amalan bathil yang dilakukan sebelum Ramadan.
Kalaupun kita tidak gembira dengan cara-cara yang dituntut agama, maka janganlah kita pula jadi penghalangnya atau menjadi penyubur kemungkaran, mudah-mudahan dengan ini kita akan terus mendapat kurniaan rahmat Allah sampai bila-bila. Kedatangan Aidilfitri perlu disambut secara yang wajar. Jadikan satu Syawal untuk mengukuhkan persaudaraan dan persahabatan terutama antara ahli keluarga.
Semasa menyambut Aidilfitri kita dianjurkan menziarahi satu sama lain dan perbuatan menyendiri di rumah atau tempat-tempat tertentu tidak digalakkan. Membiarkan anak-anak menyendiri di rumah boleh menyemai sikap sombong dan bongkak serta tidak mempedulikan orang lain.
Hubungan silaturahim perlu disemarakkan asalkan dijaga tatasusila sesama anggota masyarakat. Suami dan isteri sepatutnya mesti saling bermaafan antara satu sama lain, tiada berdendam dan tiada perselisihan, bermaaf-maafanlah sepanjang masa, jangan tunggu pagi satu Syawal kerana itu bukan tuntutan agama.
Menunggu pagi Syawal baru bermaafan hanyalah suatu adat dan amalan yang tidak menguntungkan, kita masih tidur dengan berdosa di akhir Ramadan jika masih ada membuat kesalahan kepada suami, isteri atau orang lain.
Bermaaf-maafan mesti dilakukan secepat mungkin bila kesalahan disedari, bermaafan dan bersalaman di pagi Syawal, hanya sesuai bagi mereka yang sudah lama tidak berjumpa disamping mengasuh kanak-kanak menghayati amalan yang baik sedangkan bagi kanak-kanak sebenarnya mereka tiada dosa, mereka belum mengerti apakah dosa dan pahala.Orang Islam juga dituntut menyediakan makanan untuk dirasai oleh saudara mara dan sahabat handai tetapi mestilah halal dan disediakan tanpa perasaan riak dan tanpa membazir.
ZIARAH IBUBAPA
Anak-anak yang terpisah, tidak tinggal bersama ibubapa mesti menjadikan hari ini hari yang paling baik untuk pulang dan menziarahi mereka. Alangkah sedihnya jika ada anak tetapi berhari raya seorang diri. Jika boleh baliklah awal sebelum satu Syawal dan tuntutlah kemaafan dari mereka sebelum jatuhnya akhir Ramadan bukan seperti biasa hanya pada pagi Syawal.
Sesungguhnya ganjaran bila melakukan kebaikan dalam bulan Ramadan tidak sama dengan yang dilakukan dalam bulan-bulan yang lain. Bila menziarahi ibubapa atau orang yang lebih tua, bawalah sedikit buah tangan untuk menggembirakan mereka walaupun bukan itu yang mereka harapkan. Firman Allah, ” Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya yang mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu, dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Luqman 14
Anak-anak yang diwasa yang tidak dapat pulang atau tidak dapat pulang awal terutama yang berkeluarga jangan lupa untuk menghubungi ibubapa dengan cara yang lain supaya ganjaran pahala kebaikan tersebut masih kita dapati. Jangan anggap ia sesuatu yang remeh. Kecanggihan alat komunikasi memungkinkan segala masalah perhubungan antara ahli keluarga dapat diselesaikan dengan mudah. Sewaktu bersama ibubapa, gembirakanlah mereka dengan isi perbualan yang baik-baik tetapi benar dan elakkan pendengaran mereka dari yang tidak menggembirakan seperti kehidupan susah masa lalu serta masalah kewangan yang kita hadapi.
Tanggungjawab sewaktu mendidik dan membesarkan kita, sudah cukup membebankan mereka. Insaflah, walau apa pun yang telah berlaku kita tidak akan dapat membalas jasa mereka kepada kita.Jangan memberatkan ibubapa dengan perbelanjaan dan kerja. Kita sepatutnya mengambilalih tugas rumahtangga seperti menyediakan makanan, layanan kepada tetamu dan sebagainya dan benarkan ibubapa berehat dan bergembira dengan tetamu atau cucu-cucu jika ada.
Ibubapa yang sakit atau kurang sihat memerlukan masa yang panjang dan layanan yang lebih istimewa dari anak-anaknya. Bagi ibubapa pula; Elakkan membuat perbandingan status dan keberadaan sesama anak menantu kerana ini boleh mendatangkan rasa rendah diri atau kecil hati terutama bagi yang kurang berada atau kurang mampu. Hariraya adalah hari untuk bergembira. Tanpa sedar ibubapa kadangkalanya banyak berbicara kearah merenggangkan hubungan kekeluargaan.
Limit dan fokuskan pertuturan dan perbualan kepada yang positif dan baik-baik sahaja.
ZIARAH SAHABAT HANDAI DAN AHLI KELUARGA YANG LAIN
Di Hariraya, kita dituntut untuk menziarahi sesama muslim sebanyak mungkin terutama orang yang pernah menjadi sahabat ibubapa kita.Gunakan peluang ini untuk bermaaf-maafan dan mengucapkan syukur kehadrat Allah atas limpah kurnia rahmat dan rezekiNya. Sayugia diingat bersalaman sesama ajnabi dalam majlis sebegini adalah dilarang walaupun berlapik kerana ia adalah tidak perlu dan boleh mendatangkan fitnah.
Bersentuhan secara berlapik atau tidak bagi ajnabi hanya dibolehkan atas perkara-perkara terdesak sahaja.
Disamping itu dalam Islam kita tidak digalakkan berlama-lamaan dalam melakukan ziarah begini, kerana ini akan membuka ruang kepada perkara-perkara yang tidak baik seperti fitnah dan sebagainya. Kebanyakan kita tidak mampu menjaga isi perbualan daripada memperkatakan benda-benda yang tidak baik dan melalaikan. Berlama-lamaan juga mungkin akan membebankan orang yang kita lawati. Bergeraklah sebelum gembira bertukar sebaliknya. Mungkin tuan rumah juga mempunyai agenda mereka sendiri atau untuk menerima tetamu yang lain pula.
Sewaktu melakukan ziarah atau sebagainya, hormatilah waktu solat. Jagalah tertib berpakaian sepertimana yang dianjurkan Islam. Sesungguhnya sudah terlalu banyak yang kita terlepas pandang dalam perkara aurat dan pakaian yang diamalkan sehari-hari.
Dalam Islam tidak ada beza aurat dalam solat dengan luar solat, cuma mungkin bentuk dan warna pakaian sahaja yang berbeza. Hariraya juga memberi peluang kepada kita untuk merapatkan hubungan yang sudah lama terputus samaada keluar bekerja, belajar atau lain-lain.
Apa-apa persengketaan antara dua pihak juga perlu ditamatkan dengan hadirnya hari yang mulia ini. Firman Allah “ Tolaklah kejahatan yang ditujukan kepadamu dengan cara yang lebih baik, apabila kamu berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib” Fussilat 34
Mengadakan jamuan dan menjemput seramai mungkin orang Islam dan bukan Islam untuk bergembira beramai-ramai menyambut Aidilfitri adalah satu perkara yang baik tetapi perlulah dijaga adab pergaulan supaya selari dengan keperluan agama.
ZIARAH PERKUBURAN
Orang lelaki digalakkan membersih dan menziarahi perkuburan bagi mencetuskan kesedaran terhadap kematian, manakala ziarah perkuburan kepada kaum wanita pula ada pendapat mengatakan haram dan ada yang hanya mengharuskan sahaja iaitu tidak digalakkan. Jika kaum wanita ingin juga pergi, maka perlulah dijaga adab-adab dengan sewajarnya. Di perkuburan, bacalah doa-doa yang baik yang diharapkan boleh membantu mereka yang telah meninggal dunia. Perlu diingat, ziarah tanah perkuburan tidak semestinya dilakukan bila menyambut Aidilfitri sahaja.
DUIT RAYA
Memberi duit raya terutama untuk kanak-kanak adalah amalan yang baik tetapi mestilah berlaku adil. Kanak-kanak tidak berupaya menyimpan rahsia sekiranya ada perlakuan dan agihan secara tidak adil. Oleh itu berhati-hatilah. Di samping itu orang diwasa seharusnya tidak menyuburkan budaya mengemis di kalangan anak-anak sewaktu melakukan ziarah terutama di hari kebesaran Islam ini. Meminta-minta sebegini bukan budaya Islam.
Tujuan asal amalan ziarah adalah untuk merapatkan silaturrahim dan ianya bukanlah satu cara untuk mengumpul wang. Selain dari perkara-perkara di atas, banyak lagi yang boleh dilakukan seperti menziarahi dan memberi makan atau pakaian kepada anak yatim, orang miskin, rumah orang tua, orang kurang upaya dan sebagainya. Firman Allah “ Dan bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa ( Aali Imran 133 ).
Hadis Rasulullah ( Dari Ibnu Hibban ) “ Sukakah kamu aku tunjukkan orang yang paling dicintai Allah, dan yang paling dekat denganku di hari kiamat’ Mereka menjawab “Sudah tentu” Rasulullah menyatakan “ Iaitu orang yang paling baik akhlaknya di antaramu
Hadis Rasulullah ( Dari Uqbah ), “Ya Uqbah, sukakah kamu aku khabarkan tentang akhlak ahli dunia dan ahli akhirat yang paling afdal ? iaitu kamu menjalinkan hubungan dengan orang yang memutuskan hubungan denganmu, memberi kepada orang yang tidak memberi kepadamu dan kamu memaafkan orang yang berbuat zalim kepadamu”
Mudah-mudahan dengan sedikit catatan ini dapatlah kita menghayati Ramadan dan Syawal secara yang disenangi Allah subhanahuwataala.
DRS. KHALIL IDHAM LIM

Masjid Solatiah GR

http://picasion.com