
Bagaimana mahu menjadi
wanita atau isteri solehah. Adakah perlu warak (kuat beribadat), memakai purdah
atau pandai membaca al-Quran?
Wanita solehah ialah mereka yang pandai menghibur dan melayan suami dengan
mempersembahkan segala kemesraan, kemanjaan dan cinta sepenuh hati sehingga
suami sentiasa rindukan dirinya malah tidak mahu berpisah walaupun sekejap.
Bukan perkara yang susah mahu menjadi wanita solehah. Hanya dengan senyuman
yang manis dan menambat hati suami, mereka boleh menduduki carta itu.
Ada yang berkata senyuman isteri yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata untuk
suami lebih baik daripada menggunakan produk alat solek jenama mahal yang
berharga ratusan ringgit.
Pandangan yang mesra dan lembut ibarat celak yang paling indah menghiasai
sepasang matanya. Kelembutan dan kehalusannya berbicara seperti pakaian yang
paling cantik dipakainya.
Suami mana akan memandang ke belakang apabila isterinya sentiasa harum dan
bersih. Malah, aroma itu pasti memikat selera suami untuk sentiasa berada di
samping isteri daripada berborak bersama rakan di kedai kopi.
Berapa ramai isteri yang memberikan senyuman manis, pandangan yang mesra dan
lembut serta wajah yang berseri-seri ketika mengiringi suami keluar rumah atau
menyambut kepulangannya di muka pintu.
Rasululullah s.a.w pernah bersabda bahawa isteri solehah ialah yang
menggembirakan suaminya apabila suami melihat kepadanya.
Bayangkan suami yang pulang dalam keadaan letih kerana beban tugas di pejabat
ditambah kesesakan jalan raya, isteri yang menyambut di muka pintu menguntum
senyuman, wajah yang dihiasi cantik, menolong membawa beg, membuka sarung kaki
dan menyediakan minuman untuk menghilangkan dahaga.
Memang sukar mencari ciri-ciri wanita sedemikian kerana kebanyakan isteri
terutama yang bekerja terlalu terbawa-bawa perangai mereka di pejabat sehingga
suami tidak diberi perhatian. Akhirnya, suami jemu dan sengaja balik lewat ke
rumah.
Kadangkala kita tertanya-tanya mengapa sesetengah lelaki suka mencari pelacur
untuk memuaskan nafsu. Tidakkah mereka takut dengan hukum Allah dan risiko
jangkitan penyakit yang boleh mereka dapat.
Sebenarnya, sesetengah lelaki gemar mencari perempuan lacur kerana mereka
mendapat layanan kelas satu ketika bersama wanita berkenaan. Mereka tidak
mendapatnya ketika di rumah apatah lagi isteri yang terlalu sibuk dengan kerja
sehingga mengabai nafkah batin kepada suami.
Mungkin ada yang berkata, wanita lacur memberi layanan kelas satu kerana mereka
dibayar atau mendapat tip.
Adakah isteri juga mahu suami memberi bayaran kepada mereka semata-mata untuk
mendapatkan layanan kelas satu? Jika isteri mempunyai pandangan sedemikian,
jangan melenting jika dikatakan mereka juga sama dengan pelacur.
Layanan isteri kepada suami tidak perlu kepada unsur kewangan. Sebagai ketua
rumah tangga, suami perlu menyediakan keperluan kepada isteri termasuk makan
minum, pakaian, perhiasan dan belanja isteri.
Jika perkara ini dilaksanakan, apa alasan isteri untuk tidak memberi layanan
kelas satu kepada suami.
Beruntung isteri yang tahu melayan dan menghiburkan suami kerana selain
mendapat kenikmatan, mereka juga mendapat ganjaran pahala daripada Allah.
Isteri yang sengaja enggan melayan nafsu suami akan dilaknat malaikat kerana
tidak menunaikan tanggungjawab sebagai suri rumah tangga.
Kajian mendapati suami yang mendapat belaian dan kasih sayang isterinya akan
cemerlang di tempat kerja dan masyarakat. Mereka tidak memerlukan apa-apa lagi
melainkan isteri di sisi.
Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa semangat suami lebih tinggi jika
mendapat kasih sayang isteri. Suami manusia biasa, walaupun segagah atau
segarang mana mereka, jika dimanja atau dibelai, mereka ibarat harimau jinak.
Justeru, isteri perlu mempunyai teknik atau kaedah untuk memikat suami, bukan
semata-mata wajah yang jelita atau harta yang banyak.
Bayangkan ketika kecil, anak mendapat perhatian dan kemanjaan ibu bapa, tentu
anak membesar menjadi manusia yang baik. Tetapi jika tiada kasih sayang ibu
bapa, anak pasti membesar sebagai manusia yang tidak terkawal.
Oleh itu, isteri perlu faham, walau setinggi mana pangkat, kedudukan, harta dan
darjat mereka, jangan lupa memberi kasih sayang dan kemanjaan kepada suami.
Senyuman, kemanjaan, pakaian dan haruman adalah senjata untuk memancing manusia
bernama lelaki.
petikan: Al-Islam