Jika saya seorang yang menghayati Islam dan hidup untuk memperjuangkan Islam maka tentulah bentuk serta corak hidup saya berbeza dengan manusia yang lain. Antara bentuk dan corak tersebut ialah:
i. Benar-benar Terikat dan Menurut Ajaran Islam.
Iman itu bukanlah hanya dengan angan-angan sahaja, tetapi ia adalah suatu yang tertunjang di dalam hati dan dibuktikan oleh perbuatan. Di dalam firman Allah selalu sahaja mengaitkan antara iman dan amal.
Di antaranya:
إِلَّا الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ
Yang bermaksud:
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. (Surah Al-Asr, Ayat: 3).
أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنْسَوْنَ أَنْفُسَكُمْ وَأَنْتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Yang bermaksud:
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?. (Surah Al-Baqarah, Ayat: 44).
كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ
Yang bermaksud:
Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. (Surah As-Saff, Ayat: 3).
Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali berkata: "Dua lelaki telah memberi musibah ke atas diriku, pertama orang alim yang melanggar larangan agama dan kedua orang jahil yang beribadat. Si jahil memperdayakan orang ramai dengan ibadatnya manakala si alim pula memperdaya orang ramai dengan pelanggaran terhadap agama". Rasulullah s.a.w berwasiat kepada seluruh umat Islam supaya berjaya-jaga:
"Jadilah kamu orang-orang yang memelihara ilmu dan janganlah kamu menjadi tukang riwayat". (Riwayat Abu Nu'aim).
ii. Mengutamakan Kepentingan Islam.
Berhubung dengan tuntutan ini Rasulullah s.a.w bersabda:
"Berkisarlah kamu bersama-sama dengan Kitab Allah (untuk kepentingan Islam) di mana kepentingan berkisar-kisar".
Baginda juga bersabda:
"Sesiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat perihal orang Islam maka dia bukanlah dari golongan mereka".
Rasulullah s.a.w menjelaskan perkara ini secara langsung:
"Engkau memegang pos penting dari pos-pos Islam, maka (awas) jangan sampai musuh dapat terlepas dari pengawasan kamu".
Di dalam peperangan Uhud Saad bin Ar-Rabie' ditemui di dalam saat-saat menghampiri maut sedang di tubuhnya terdapat tujuh puluh liang luka kerana rejaman tombak, tetakan pedang dan tusukan panah, lalu ia menoleh kepada Zaid bin Thabit lalu berkata: "Katakanlah (sampaikanlah berita ini) kepada Rasulullah s.a.w, sesungguhnya saya telah mencium bau syurga dan beritahulah kaumku orang-orang Ansar, tidak ada keuzuran mereka di sisi Allah sekiranya mereka benar-benar ikhlas kepad Rasulullah s.a.w selama mata kamu masih belum pejam, kemudian di saat itu juga dia menghembuskan nafasnya yang terakhir".
iii. Merasa Mulia Dengan Kebenaran Islam dan Yakin Kepada Allah.
Ini adalah di antara sifat-sifat orang yang beriman.
Firman Allah s.w.t:
وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ
Yang bermaksud:
Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman. (Surah Al-Munafiquun, Ayat: 8).
Firman-Nya lagi:
وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
Yang bermaksud:
Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.(Surah Aali Imraan, Ayat: 139).
Diriwayatkan pula bahawa ketika orang-orang Islam yang berhijrah mencari perlindungan kerana mempertahankan agama mereka di Habsyah, lalu mereka masuk menghadap raja Najasyi, lantas paderi dan pendeta yang ada di situ meminta mereka sujud untuk menghormati raja. Tetapi Jaafar bin Abi Talib yang menjadi ketua rombongan menjawab: "Kami adalah satu kaum yang tidak sujud kecuali kepada Allah".
Malah di dalam sejarah Islam kita menemui ratusan contoh yang memperlihatkan kemuliaan, ketegasan pendirian dan keberanian yang dirakamkan oleh generasi pertama umat Islam seperti Khubaib bin Adi, Zaid bin Ad-Dathanah, Rub'ie bin Amir, Mus'ab bin Umair, Said bin Jubair, Said bin Al-Musayyab dan lain-lain yang sewajar dipelajari perjalanan hidup mereka untuk dijadikan contoh teladan.
iv. Beriltizam Dengan Kerja-kerja Islam dan Kerjasama Dengan Aktiviti-aktiviti Islam.
Apabila saya mengaku sebagai seorang muslim, maka saya wajib bekerja untuk Islam. Saya patut bekerja dalam satu jemaah, bekerjasama dengan pendakwah lain yang menyeru kepada Allah dan menyuruh kepada kebaikan serta mencegah keburukan. Saya harus bekerja keras untuk mengujudkan individu muslim, rumah tangga muslim, masyarakat muslim dan negara yang benar-benar Islam.
Allah berfirman:
سَنَشُدُّ عَضُدَكَ بِأَخِيكَ
Yang bermaksud:
Kami akan menguatkan tenaga dan daya usahamu dengan saudaramu (Harun).
(Surah Al-Qasas, Ayat: 35).
(Surah Al-Qasas, Ayat: 35).
Firman-Nya lagi:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Yang bermaksud:
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah Al-Maidah, Ayat: 2).
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Seseorang muslim dengan seorang muslim yang lain laksana satu bangunan yang tersusun, saling kuat-menguatkan di antara satu sama lain".
Sabda baginda lagi:
"Tangan (atau pertolongan) Allah itu bersama jemaah. Sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang terpisah (dari kumpulannya)".
Sabdanya lagi:
"Kamu wajib bersama jemaah muslimin dan Iman (pemimpin) mereka".
Sabda baginda yang lain:
"Jemaah itu berkat".
"Jemaah itu rahmat dan perpecahan itu azab".
petikan: Ust Fathi Yakan